KAITAN bayi dan kanak-kanak dengan gejala muntah mungkin normal kerana mereka biasanya akan pulih sendiri. Namun, jangan ambil mudah dan ibu bapa mesti segera dapatkan bantuan perubatan sekiranya anak menunjukkan tanda bahaya.

Ada beberapa perkara yang perlu ibu bapa tahu tentang muntah seperti gejala dan tanda serta bagaimanakah cara pencegahan khusus untuk bayi dan kanak-kanak.

APA ITU MUNTAH?

Muntah ialah situasi pembuangan atau penyingkiran isi kandungan perut yang dikeluarkan dari mulut. Muntah bukan sejenis penyakit tetapi tindak balas kepada pelbagai jenis penyakit. Bagi kanak-kanak, muntah selalunya pulih sendiri dan tidak berbahaya kecuali disebabkan penyakit serius.

JENIS MUNTAH

1. REFLUKS

Berlaku apabila susu yang diminum terkeluar semula dari perut secara perlahan-lahan disebabkan injap yang memisahkan perut dengan saluran esofagus terbuka secara tidak sengaja. Ini situasi biasa yang berlaku di peringkat beberapa bulan pertama umur bayi dan tidak memudaratkan.

2. POSSETTING/REGURGITATION (JELUAK)

Berlaku apabila bayi terjeluak susu melalui mulut sebaik saja selesai menyusu. Ini juga situasi biasa di kalangan bayi.

3. PROJECTILE VOMITING (MUNTAH MEMANCUT)

Berlaku apabila isi kandungan perut bayi terkeluar secara memancut dan mengejut melalui mulut. Kuantiti dimuntahkan selalunya banyak.


SEBAB-SEBAB MUNTAH

  • Jangkitan ringan kepada kanak-kanak seperti jangkitan virus atau stomach flu.
  • Keracunan makanan.
  • Mabuk perjalanan.
  • Terlebih makan.

Tanda-tanda jarang berlaku, tetapi serius:

  • Jangkitan selaput otak atau ensefalitis (meningitis atau encephalitis).
  • Kecederaan/hantukan pada kepala/otak.
  • Ketumbuhan dalam otak.
  • Usus tersumbat/tersekat.
  • Jangkitan saluran kencing.
  • Ketoacidosis diabetik.
  • Kegagalan hati.
  • Kegagalan buah pinggang.
  • Penyakit metabolik.
  • Radang appendiks.
  • Radang pankreas.

GELAJA MUNTAH

1. DEHIDRASI RINGAN HINGGA SEDERHANA

  • Mulut/lidah kering.
  • Bibir merekah.
  • Tiada/kurang air mata ketika menangis.
  • Tidak buang air kencing dalam tempoh 4–6 jam (lampin tidak basah dalam tempoh tersebut).
  • Ubun kepala bayi jadi cengkung.
  • Gelisah.

2. DEHIDRASI TERUK

  • Kulit kering dan berkedut.
  • Tidak bermaya, letih dan tidak aktif.
  • Mata cengkung.
  • Susah bernafas.
  • Denyutan nadi jadi lemah dan sangat cepat.
  • Kaki dan tangan kanak-kanak rasa sangat sejuk.
  • Enggan makan.

AWASI TANDA BAHAYA INI!

  • Muntah memancut terutama kanak-kanak berumur kurang 1 bulan.
  • Demam, suhu badan lebih 38oC.
  • Muntah berdarah.
  • Muntah cecair berwarna hijau.
  • Muntah selepas berlaku kecederaan kepala.
  • Kekeliruan dalam keadaan mengantuk atau lali.
  • Pucat.
  • Mata jadi kuning.
  • Susah bernafas.
  • Sakit perut.
  • Perut mengembung.
  • Muntah berterusan dan sukar untuk makan.

KOMPLIKASI MUNTAH DISEBABKAN DEHIDRASI

  • Organ tidak berfungsi seperti kegagalan buah pinggang.
  • Kecederaan pada saluran esofagus disebabkan muntah berulang-ulang.
  • Komplikasi yang ada kaitan dengan penyakit dihidapi kanak-kanak.

CARA RAWAT MUNTAH MENGIKUT USIA 

1. BAYI KURANG 6 BULAN

  • Berikan air garam rehidrasi (oral rehydration salt – ORS) dalam jumlah sedikit, tetapi kerap. Berikan 2–3 sudu teh setiap 15–20 minit.
  • Jika bayi tidak muntah selepas menerima air garam rehidrasi itu, tambahkan jumlah ORS beransur-ansur (tidak melebihi jumlah pengambilan sebenar dengan setiap penyusuan).
  • Jangan beri air kosong atau ORS berperisa.
  • Jika bayi menyusu susu formula,m boleh mulakan menyusu bayi selepas bayi tidak lagi muntah dalam masa 6-8 jam.
  • Jika bayi diberi susu ibu sepenuhnya, boleh menyusu bayi selama 5-10 minit untuk setiap payudara dan setiap 2 jam. Selepas 6-8 jam bayi tidak lagi muntah, boleh tambah masa penyusuan.

2. 6 BULAN HINGGA 1 TAHUN

  • Berikan bayi air garam rehidrasi (ORS) dengan jumlah sedikit tetapi kerap iaitu berikan 3 sudu teh air garam rehidrasi (ORS) setiap 15–20 minit.
  • Jika bayi tidak muntah selepas menerima air garam rehidrasi, beransur-ansur tambahkan jumlah ORS yang diberi (tidak melebihi jumlah pengambilan yang sebenar setiap kali anak anda makan/menyusu).
  • Jangan berikan air kosong.
  • Air garam rehidrasi (ORS) berperisa mungkin boleh diberikan.
  • Sekiranya anak tidak lagi muntah selepas 6–8 jam, beransur-ansur mulakan penyusuan seperti biasa.
  • Mulakan penyusuan dalam jumlah sedikit dan beransur-ansur tambahkan jumlah susu sekiranya anak dapat terima.

3. KANAK-KANAK 1 TAHUN KE ATAS

  • Berikan bayi air garam rehidrasi (ORS) atau air kosong dengan jumlah sedikit, tetapi kerap iaitu 3 sudu teh setiap 15-20 minit.
  • Air garam rehidrasi (ORS) berperisa boleh diberikan.
  • Sekiranya anak boleh menerima air garam rehidrasi, beransur-ansur mulakan penyusuan seperti biasa (tidak melebihi jumlah pengambilan sebenar setiap kali anak makan/menyusu).
  • Sekiranya anak tidak lagi muntah selepas 6–8 jam, beransur-ansur cuba berikan dia sup kosong dan makanan lembut (roti, bubur/nasi yang tidak pedas dan mi).
  • Jangan paksa anak makan.
  • Selepas 24 jam tidak muntah, beransur-beransur berikan makanan seperti biasa.

APA PERLU BUAT JIKA ANAK…

  • Anak muntah secara berterusan dan enggan makan.
  • Anak menunjukkan mana-mana tanda bahaya yang disebut di atas

Sekiranya ada menunjukkan tanda-tanda di atas, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

BOLEHKAH MUNTAH DICEGAH?

Muntah sukar dicegah sekiranya berpunca akibat jangkitan atau penyakit teruk, tetapi ada langkah pencegahan jika gejala itu disebabkan mabuk perjalanan atau jeluak.

SUMBER: MyHealth

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda