ADAKAH bayi anda mengalami tanda-tanda seperti sebelah matanya sentiasa berair dan bertahi. Bagaimanapun, tiada tanda-tanda mata bayi bengkak atau merah?

Jika ya, bayi anda mengalami satu masalah yang sering ditemui di kalangan bayi baru lahir, iaitu salur air mata yang tersumbat (Blocked tear duct / nasolacrimal duct).

PUNCA SALUR AIR MATA TERSUMBAT

  • Terdapat salur-salur halus di bahagian tepi mata, yang menyalurkan air mata ke dalam rongga hidung.
  • Kadangkala, salur-salur ini tidak terbuka sepenuhnya, atau tersumbat, dalam bayi baru lahir.
  • Ini menyebabkan air mata berkumpul di dalam mata, dan mata kelihatan berair.
  • Apabila air mata tidak mengalir dengan biasa, air yang bertadah ini boleh dijangkiti kuman, dan menyebabkan terbentuknya tahi mata.

Kebanyakan salur air mata yang tersumbat akan membuka dengan sendirinya sebelum umur satu tahun.

BACA>>>> Benarkah Bayi Mandi Air Sejuk Tulang Jadi Kuat?

APA YANG PATUT SAYA BUAT?

1. BERSIHKAN TAHI MATA

Tahi mata perlu dibersihkan dua hingga tiga kali sehari, dengan menggunakan kain lembut yang basah. Bersihkan lebih kerap jika perlu.

2. URUT SALUR AIR MATA

Salur-salur air mata terdapat di bawah kulit di tepi mata, sebelah hidung. Gunakan jari yang bersih, dan urut kulit di tepi mata dengan lembut, bermula di penjuru mata dan menuju ke dalam, ke arah hidung. Lakukan sekurang-kurangnya enam kali sehari. Kaedah ini seringkali dapat membuka salur-salur air mata yang tersumbat.

3. JUMPA DOKTOR

Sekiranya kaedah-kaedah ini tidak membantu, bayi anda mungkin menghidapi jangkitan kuman pada selaput mata (conjunctivitis). Bayi harus diperiksa oleh doktor, dan mungkin memerlukan rawatan dengan ubat titis mata yang mengandungi antibiotik. Jumpa doktor segera jika mata bayi menjadi merah, bengkak atau bayi demam.

BOLEH ATAU TIDAK SAYA TITISKAN SUSU BADAN KE DALAM MATA BAYI?

Ada doktor yang mengesyorkan penggunaan susu ibu sebagai rawatan untuk mata berair. Ini adalah rawatan yang mudah dan tidak berbahaya.

Susu ibu mengandungi bahan protein yang membunuh kuman (lysozyme), antibodi dan sel darah putih yang mampu melawan jangkitan. Beberapa titis susu ibu boleh diletakkan pada jari yang bersih dan dititiskan ke sudut mata berhampiran hidung, pada mata yang berair.

BERAPA LAMA MATA BAYI SAYA AKAN BERAIR DAN BERTAHI?

Biasanya masalah ini akan sembuh sendirinya, apabila bayi membesar dan salur-salur air mata turut membesar. Sekiranya mata bayi terus berair selepas beberapa bulan, doktor anda mungkin akan merujuk bayi anda kepada pakar mata.

Jika bayi sudah menghampiri umur satu tahun dan salur air mata tetap sumbat, pakar mata mungkin akan memasukkan satu wayar halus untuk membuka saluran tersebut. Prosedur ini dipanggil probing, dan dilakukan di hospital, dengan ubat bius. Namun, prosedur seperti ini jarang diperlukan.

BACA>>>> 7 Tip Rawat Selsema Dan Batuk Bayi Semua Ibu Bapa Wajib Tahu!

SUMBERDoktorBudak

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda