RAMAI pesakit tiroid di kalangan wanita sering risau apabila berkahwin dan hamil kerana  memikirkan kesukaran sepanjang tempoh kehamilan yang akan memberikan kesan ke atas diri dan janin.

Kepada wanita yang ada masalah ini dan merancang hamil, bolehlah baca perkongsian Dr Zubaidi Hamid di laman Facebook yang menjelaskan penyakit tiroid ketika hamil, risiko dan kesan kepada kandungan.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


MASALAH KELENJAR THYROID KETIKA HAMIL

“Salam, Dr Zubaidi. Saya mengalami masalah kelenjar tiroid. Adakah ia menjejaskan kehamilan saya? Terima kasih, doktor”

Waalaikumussalam.

Masalah kelenjar tiroid yang tidak dirawat baik sudah pasti akan menjejaskan proses kehamilan dan mungkin memudaratkan bayi dalam rahim.

Jadi, penting bagi wanita yang merancang hamil supaya melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. Ini disebabkan beberapa sebab:

1. Rawatan ketika hamil lebih sukar berbanding rawatan sebelum hamil.

2. Masalah kelenjar tiroid, sama ada kekurangan hormon atau berlebihan hormon, akan menjejaskan kehamilan. Ini bermakna kesihatan ibu dan kesihatan bayi akan terganggu. Malah, mereka mungkin mengalami masalah serius hingga menyebabkan kematian.

Kelenjar thyroid adalah kelenjar yang berada pada leher kita berfungsi mengeluarkan hormon yang bertanggungjawab mengawal metabolisma dan beberapa organ dalam tubuh kita.

Masalah tiroid berlaku apabila daya tahan tubuh melakukan kesilapan ketika menyerang sel-sel dalam kelenjar tiroid. Ada banyak lagi punca lain yang menyebabkan kelenjar tiroid tidak berfungsi baik.

Akhirnya, kelenjar mengeluarkan hormon tiroid berlebihan (hyperthyroidism) atau tidak mengeluarkan hormon tiroid mencukupi (hypothyroidism).

Sesetengah wanita bermasalah ini sebelum hamil. Ada mendapatkan rawatan dan ada tidak mendapatkan rawatan. Tetapi mereka sedar tentang masalah tiroid dhidapi.

Apa yang malang, ada sebahagian wanita yang tidak menyedari mereka mengalami masalah ini. Keadaan ini dinamakan ‘subclinical hyper/hypo thyroidism“.

Mereka mengalami masalah ini tetapi tiada tanda yang menunjukkan masalah tersebut, kecuali pemeriksaan darah sama ada menunjukkan kekurangan atau berlebihan hormon dalam darah. Tubuh bekerja keras untuk mengatasi masalah ini supaya tubuh kekal sihat.

Kehamilan ialah proses semula jadi wanita, tetapi tetap berisiko menyebabkan tekanan emosi dan fizikal. Apabila hamil, tubuh tidak mampu lagi bertahan, maka timbullah tanda-tanda masalah kelenjar tiroid. Ramai wanita yang mengalami masalah ini ketika kehamilan pertama.

Jika puan mengalami masalah hipotiroidism, bayi puan berisiko mendapat:

  • Kecacatan otak
  • Atau sekurang-kuranganya mempunyai tahap IQ rendah. Ini kerana hormon tiroid sangat penting bagi perkembangan otak dan saraf sejak dalam rahim lagi.

Jika puan mengalami masalah hipertiroidisme, puan lebih mudah mendapat masalah seperti tekanan darah tinggi ketika hamil dan pre-eklampsia.

Kebanyakan ubat-ubatan diberikan doktor cumalah selamat. Namun saya mencadangkan puan buatlah pemeriksaan berjadual dan menurut nasihat doktor yang merawat.

Semoga bermanfaat dan semoga Alllah memudahkan urusan puan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda