ANAK dalam lingkungan umur 4 – 6 tahun adalah fasa pembelajaran menulis dan membaca bagi kanak-kanak.

Sebagai ibu bapa pasti kita akan memikirkan cara terbaik agar anak berminat, seronok dan terus fokus pada pembelajaran. Pada masa yang sama berkesan!

Berikut kami kongsikan tip menarik daripada seorang ibu dan juga blogger, Jen yang menggunakan pendekatan garam dan dulang dalam mengajar anaknya menulis dan membaca!

BACA>>> Anak Lambat Bercakap Boleh Pengaruhi Kemahiran Membaca dan Menulis

BAGAIMANA CARA BELAJAR MENULIS DAN MEMBACA DENGAN GARAM

Selain daripada membelanjakan wang untuk membeli kertas-kertas, pen berwarna dan kad belajar yang berwarna-warni. Ibu ini mencadangkan penggunaan bahan-bahan mudah diperoleh di dalam rumah iaitu dulang, pinggan, penutup kotak dan setengah cawan garam.

Apa yang anda boleh lakukan adalah menuliskan perkataan-perkataan mudah yang anda ingin anak anda pelajari di atas kertas kecil. Untuk membuatkannya lebih menarik, pastikan anda menggunakan kertas berwarna atau pen berwarna.

Berikan kad tersebut kepada anak anda, minta dia untuk membacanya, serta tiru tulisan dan ejaan tersebut di atas dulang.

Mula-mula, tuang dan ratakan separuh cawan garam ke dalam dulang yang berwarna-warni. Kemudian, minta anak anda untuk menggunakan jari kecilnya itu untuk menulis perkataan yang ada pada kad belajar atau flash card yang telah anda sediakan tadi.

Jika dia melakukan kesilapan pada tulisan, dia tidak perlu menggunakan pemadam. Si kecil anda hanya perlu menggoyangkan sedikit dulang tersebut untuk ‘memadam’ kesilapan ejaan tersebut dan mencubanya sekali lagi – ianya mudah dan menyeronokkan!

BACA>>> Ibu Bapa Jangan Terlalu Taksub dengan Flashcard untuk Bayi

KENAPA GARAM BUKAN GULA?

Mungkin ada sebab mengapa blogger Jen menyarankan untuk menggunakan garam dalam belajar cara menulis dan membaca dan bukannya gula atau pasir.

Pertama, garam lebih mengurangkan kadar anak anda memasukkan jari ke dalam mulutnya. Ia masin, si kecil pasti tidak tertelan garam tersebut.

Tetapi, kalau anda guna gula, cuba bayangkan… pasti di hujung sesi belajar menulis tersebut, tinggal sedikit saja gula dalam dulang. Selebihnya, dia lebih ralit makan gula tersebut kerana kemanisannya.

Yang kedua, mungkin garam lebih mudah untuk diperolehi. Pasir halus bukanlah benda mudah untuk ditemui atau dibeli terutamanya jika anda tinggal di bandar.

Malah, kalau anda membelinya pun, harga pasir tersebut mungkin sedikit mahal daripada harga garam.

GUNAKAN DULANG BERWARNA- WARNI AGAR ANAK TERHIBUR

Kata kunci bagi memastikan anda suka cara menulis dan membaca menggunakan dulang dan garam ini adalah: Anda harus memastikan salah satu daripada dua bahan ini berwarna-warni.

Ini adalah kerana, kontra warna antara garam putih dan dulang akan membuatkan si kecil anda lebih tertarik dengan aktiviti tersebut.

Jika anda tiada dulang berwarna, anda boleh mewarnakan pula garam tersebut. Caranya? Masukkan garam ke dalam plastik dan campurkan sedikit bahan pewarna makanan.

Goncangkan plastik dan anda akan perasan yang garam itu akan mula menyerap pewarna tersebut dan ia akan menjadi berwarna-warni.

Selain daripada ibu yang sedang mengajar anak mereka menulis, kaedah belajar menulis yang menyeronokkan ini juga sesuai untuk dilakukan oleh guru tadika atau guru sekolah rendah. Cubalah!

SUMBER: TheAsianParent

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda