TABIAT makan makanan tidak berkhasiat sejak kecil boleh jadi punca kepada masalah kerosakan rahim di kalangan wanita pada usia muda. Jangan terkejut jika kami katakan, ada wanita berusia belasan tahun sudah ada masalah rahim.

Menurut pakar sakit puan, Datuk Dr Hamid Arshat, semakin ramai wanita menderita sakit akibat kerosakan rahim pada usia muda. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, kita mesti sedar tentang kewujudan pelbagai penyakit yang mungkin boleh menyerang selain tahu cara mencegah sebelum terlambat.  Berikut perkongsian Dr Hamid Arshat mengenai masalah kerosakan rahim.

* Sudah disunting mengikut gaya bahasa BumBumCak


1. Penyakit ketumbuhan dalam rahim, fibroids dan adenomyosis, pada masa dulu kerap menimpa wanita umur 40-an. Lain pula zaman sekarang, wanita umur 20-an juga sudah mengidap penyakit tersebut. Malah, ada yang mengalami fibroid bersaiz besar.

Fibroid

2. Bagi adenomyosis, tanda awal ialah senggugut, didahului penyakit endometriosis. Dalam endometriosis, tisu-tisu darah haid (endometrium) tumbuh luar rahim. Tisu adenomyosis itu tumbuh dalam otot rahim. Tanda-tanda lain ialah pendarahan banyak atau berpanjangan. Akibatnya, wanita sukar hamil, mandul dan sering keguguran.

Adenomyosis tumbuh dan merosak hampir semua tisu pada otot rahim.

3.Fibroid pula selalunya tiada tanda, tiada gangguan atau gejala. Malah, ramai wanita yang hamil dan melahirkankan anak tanpa gangguan. Banyak kes fibroid dikesan secara kebetulan ketika pemeriksaan untuk tujuan lain. Ada juga mengalami pendarahan, kesakitan, keguguran, sukar hamil, gangguan kencing dan buang najis.

Fibroid

4. Kedua jenis ketumbuhan tersebut ada faktor genetik, maksudnya jika ibu menghidap penyakit tersebut, anak perempuan juga ada risiko.

Adenomyosis telah merosakkan rahim.

5. Jika anak gadis mengalami senggugut, gangguan pendarahan dan kitaran haid yang tidak stabil, sebaiknya lakukan pemeriksaan imbasan ultrabunyi untuk mengesan masalah peranakan. Jika ada masalah bahagian rahim, kita dapat mengambil langkah awal untuk mengawal dan mencegah.

LANGKAH PENCEGAHAN

Didik anak mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat sejak kecil. Pupuk dan sematkan tabiat makan yang baik sejak kecil lagi. Badan kita sangat memerlukan makanan berzat dan berkhasiat. Jika anak tidak suka makan sayur dan buah, paksa mereka!

Kebanyakan kita mengambil jalan mudah jika anak menangis. Pujuk mereka dengan makanan segera yang ada banyak gula. Kesannya, anak gemuk, sistem imunisasi lemah dan mereka bakal diserang pelbagai penyakit lain.

SUMBER: DrHamidArshat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda