DISEBABKAN komitmen dan kesibukan bekerja, mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang tanpa sedar terlupa untuk meluangkan masa untuk anak.

Lebih menyedihkan apabila ibu bapa tidak berada bersama ketika hari bersejarah mereka untuk meraihkan kejayaan bersama.

Sedarlah ibu dan ayah, mungkin nampak kecil pada kita tetapi besar impaknya pada mereka.

Ini adalah perkongsian Cikgu Mohamad Hakim yang mungkin boleh dijadikan pengajaran buat ibu bapa di luar sana.

BACA>>>  4 Sebab Kenapa Ibu Bapa Pilih Kasih. Sayang Mereka Sama Rata, Setiap Anak Bawa Rezeki

 

Ada hal yang mungkin kecil bagi kita, tapi besar bagi mereka.

Aku ada seorang rakan yang sudah bekerjaya. Sudah ada keluarga. Semuanya lengkap pada pandangan mata kita. Tapi ada satu peristiwa yang dia kata, dia akan kenang sampai bila-bila. Satu kenangan yang biasa bagi kita, tapi pahit bagi dirinya.

Pada zaman belajarnya, dia antara murid yang berjaya dalam bidangnya. Cemerlang. Banyak menempa nama dan mengharumkan nama sekolah. Sebut sahaja nama sekolah itu, memang semua orang akan tahu sekolah itu bukan biasa-biasa. Ternama.

Bagi menghargai jasanya, pihak sekolah telah memberikan satu anugerah khas kepada dia. Dia diberikan satu pengiktirafan yang tidak semua murid dapat. Dalam ratusan murid yang ada, dialah satu-satunya murid yang menerima anugerah itu.

Yang menjadi titik hitam baginya adalah apabila orang tuanya tidak dapat hadir bersama untuk melihat dia menerima anugerah itu. Atas alasan bekerja. Dalam masa yang sama, dia mahu tunjukkan kejayaan dan berkongsi rasa gembira itu dengan ibu bapanya. Malangnya ibu bapanya gagal untuk turut serta.

Saat sedih dan hibanya datang apabila melihat rakan-rakan lain bergambar bersama ibu bapa mereka. Sambil senyum dan tawa. Dia hanya mampu memandang dan memujuk hatinya. Jurus selepas tamat sahaja sesi penganugerahan di dewan besar, dia pulang ke asrama dengan kadar segera.

Ini peristiwa 10 tahun yang lepas katanya. Tapi masih terkesan hingga ke hari ini. Selalu dipujuknya hati sendiri. Ibu bapanya tidak dapat hadir kerana bekerja, tapi tetap rasa sedih dan hiba itu ada.

Hal ini mungkin kecil bagi kita. Tapi besar bagi dia.

SIBUK MANAPUN LUANGKANLAH MASA DENGAN ANAK 

Buat ibu bapa di luar sana, sebolehnya usahakanlah sehabis mampu untuk hadir bersama ke setiap acara dan program sekolah anak-anak kalian.

Tidak kiralah program mengambil report card atau sukan sekolah sekali pun. Kehadiran kalian pasti akan memberikan kebahagiaan dan kegembiraan buat diri mereka.

Bayangkanlah kalau rakan-rakan lain disorak oleh ibu bapa masing-masing, tapi bukan anak kalian. Atas alasan sibuk bekerja. Apa yang akan anak kalian rasakan?

Saat rakan lain disambut dengan senyum tawa ibu bapa, anak kalian hanya mampu melihat dan memendam rasa sahaja. Sedangkan dia berjaya dan cemerlang. Pada siapa lagi mahu dikongsikan kejayaan itu kalau bukan dengan kalian?

Tinggalkanlah sebentar hal kerja untuk bersama dengan anak-anak kalian. Hal kerja boleh ditangguhkan. Tapi kenangan dan masa dengan anak-anak janganlah sesekali kalian abaikan.

Kerana, mereka membesar dengan kenangan itu.

BACA>>> Main Bersama Anak Bantu Tingkatkan Asas Komunikasi Berkesan

Kenangan dan moment yang indah ini akan membentuk peribadi mereka. Membentuk masa hadapan mereka.

Buat ibu bapa di luar sana, hal ini mungkin kecil bagi kalian, tapi besar bagi diri mereka.

Mohamad Hakim
Cikgu Matematik

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda