TAHUKAH anda? Mengurut bayi boleh membantu merangsang perkembangan mental dan fizikalnya. Urutan bayi yang dilakukan secara konsisten dapat membantu menguatkan ketahanan tubuh, membentuk tumbesaran fizikal, mengatasi masalah perut kembung dan banyak lagi!

Berikut teknik urutan bahagian kepala dan muka, dada, tangan, kaki, perut dan bahagian belakang yang boleh anda cuba.

URUTAN KEPALA DAN MUKA

  1. Pegang kepala bayi dengan kedua-dua tangan. Urut kulit kepala bayi dengan hujung jari seolah-olah seperti sedang membersihkannya.
  2. Gunakan kedua-dua belah ibu jari, usap kening bayi perlahan-lahan hingga ke dagu.
  3. Letakkan dua jari pada bahagian atas tulang hidung. Sambil itu, tekan lembut sambil menurun ke arah atas tulang pipi dan bawah tulang pipi.
  4. Guba kedua belah jari, usap bahagian atas bibir dari bahagian tengah hingga pipi.

URUTAN DADA

  1. Gunakan kedua-dua tangan, usap dada bayi bermula bahagian tengah dengan pergerakan ke atas dan keluar. Lakukan tanpa mengangkat tangan daripada badan bayi. Kemudian gerakkan tangan anda dalam bentuk hati dan tolak perlahan-lahan ke tengah dada.
  2. Dari sebelah tepi bahu kiri, usap secara menyerong hingga ke bahu kanan. Lakukan tanpa mengangkat tangan anda.
  3. Seterusnya, secara silang-menyilang, gunakan tangan sebelah lagi untuk beri usapan menyerong dari bahu ke bahu sebelah lagi.

URUTAN TANGAN

  1. Urut sebelah tangan pada satu masa. Genggam lembut tangan bayi dan usap dengan pergerakan ke atas dari bahu ke pergelangan tangan. Kemudian bertukar arah dari pergelangan tangan bergerak ke bahu.
  2. Gunakan ibu jari untuk mengusap tapak tangan bayi ke arah jejarinya.
  3. Buka tapak tangan bayi. Pegang hujung jarinya dan urut dengan lembut. Lakukan pada satu jari dalam satu masa.
  4. Olek lengan bayi antara kedua-dua tapak tangan hingga ke bahu. Ulang tangan sebelah lagi.

URUTAN KAKI

  1. Mula dengan gerakan usap ke atas, dari pinggul ke pergelangan kaki hingga ke pinggul.
  2. Genggam lembut peha bayi dengan kedua belah tangan berpusing secara bertentang seolah-olah memerah tuala. Usap dengan lembut.
  3. Urut tapak kaki bayi dengan ibu jari, dari tumit ke hujung kaki.
  4. Pegang kedua belah kaki bayi, kemudian angkat kaki, tekan perlahan-lahan ke arah badannya. Ia dapat tenangkan otot-otot pada perut bayi.

URUTAN PERUT

  1. Gunakan bahagian tepi kedua-dua tangan, lakukan usapan seakan mendayung perut bayi.
  2. Gerakkan jari-jari sekitar pinggang dari sebelah kiri hingga ke sebelah kanan.
  3. Buat satu gerakan ke bawah di bahagian kanan perut dengan menggunakan tangan kiri.
  4. Buat satu gerakan terbalik ‘U’ dari kiri ke kanan. Juga satu gerakan terbalik ‘L’ dari kanan ke kiri.

URUTAN BELAKANG

  1. Letakkan bayi dalam kedudukan meniarap di depan anda. Pastikan tangan bayi di depan dan dalam kedudukan selesa.
  2. Dengan kedua-dua tangan, urut belakang bayi secara melintang.
  3. Gunakan hujung jari untuk mengurut dengan cara membuat bulatan kecil pada bahagian sebelah tulang belakang bayi. Ulangi bahagian sebelah lagi. Elakkan mengurut di atas tulang belakang bayi.
  4. Gunakan sebelah tangan untuk mengusap belakang dari tengkuk ke bawah.

TIP TAMBAHAN

  1. Lakukan pada bila-bila masa, tetapi sebaiknya setiap kali selepas mandi.
  2. Pastikan tangan bersih sebelum menyentuh kulit bayi.
  3. Tiada had masa untuk mengurut. Tetapi, lakukan 15 minit setiap hari dan jadikan rutin.
  4. Disarankan bermula dari kepala hingga hujung kaki. Kemudian baru beralih ke bahagian belakang badan bayi.
  5. Penggunaan minyak bayi yang lembut boleh mengurangkan iritasi geseran ke atas kulit bayi.

SUMBER: MomJunction

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda