WANITA yang menghidap diabetes atau kencing manis mempunyai risiko kehamilan tinggi hingga memerlukan pemantauan terperinci daripada pakar sakit puan sejak awal tempoh kehamilan hingga selepas bersalin.

Terdapat beberapa jenis diabetes perlu diketahui kerana memerlukan rawatan berbeza. Berikut persediaan kehamilan yang perlu dibuat jika anda sedang merancang untuk hamil. Artikel ini dipetik daripada Pakar Perunding Perubatan Maternal dan Fetal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Imelda Balchin.


Mulai Julai 2018, kami akan melatih semua doktor, jururawat dan pengamal kesihatan Malaysia mengikut garis panduan ini untuk ibu hamil yang ada diabetes. Semoga boleh mencapai kesihatan terbaik untuk kedua-dua ibu dan bayi.

Wanita yang ada diabetes boleh mendapat kehamilan dan zuriat yang sihat. Jangan kata tidak boleh. Rahsianya, penjagaan kesihatan yang baik sejak sebelum hamil lagi.

Diabetes yang dikenal pasti sebelum hamil ialah ‘pre-existing diabetes’. Contohnya: Type 1 Diabetes Mellitus (T1DM) atau Type 2 Diabetes Mellitus (T2DM).

T1DM dan T2DM tidak sama dengan diabetes yang hanya muncul ketika kehamilan dan pulih selepas bersalin, iaitu ‘Gestational Diabetes’ atau GDM.

Ramai orang keliru tentang perbezaan antara T1DM/T2DM dan GDM. Ini kerana di Malaysia, sesetengah pesakit yang ada diabetes, tidak tahu pun yang mereka ada diabetes.

Jadi apabila mereka hamil dan tidak tahu diri ada diabetes, dan kemudian menerusi ujian gula dalam darah (OGTT), diambil ketika berpuasa (tidak makan dan minum) atau 2 jam selepas minum air gula, didapati sangat tinggi ketika hamil, ada kemungkinan dia sebenarnya sudah pun ada T2DM sejak sebelum hamil, dan bukan GDM sahaja.

Sebaliknya, jika sebelum hamil anda sihat dan tiada diabetes, tetapi ujian OGTT yang dibuat menunjukkan bacaan tinggi pada minggu 24-28 kehamilan (iaitu selepas pertengahan tempoh kehamilan), dan kembali normal selepas 6 minggu selepas bersalin, itu menunjukkan anda ada GDM.

Inilah sebab semua ibu yang ada GDM disuruh mengulang ujian OGTT pada 6 minggu selepas bersalin bagi memastikan tiada masalah diabetes berterusan. Sebaliknya, ibu yang sudah disahkan mempunyai T1DM atau T2DM tidak perlu lagi membuat ujian OGTT kerana penyakit mereka sudah pun dikenal pasti.


Ibu hamil yang dikenal pasti ada GDM dan tidak mengawal penyakit ini ada lebih risiko kehamilan daripada ibu hamil yang ada GDM yang dikawal dan dipantau dengan baik.

Ibu yang ada diabetes sebelum hamil berisiko kehamilan lebih tinggi berbanding ibu hamil ada GDM.

Tetapi, ibu yang tidak tahu diri ada penyakit diabetes sebelum hamil mempunyai risiko kehamilan paling tinggi sebab penyakit yang tidak dikawal sebelum hamil.


Apakah risiko diabetes yang tidak dikawal sebelum hamil?

1. Kadar keguguran lebih tinggi
2. Kadar kecacatan jantung, tulang belakang dan otak janin ialah DUA kali ganda lebih tinggi.
3. Risiko ibu hamil dapat penyakit jantung, buah pinggang dan kerosakan mata yang lebih tinggi.
4. Risiko ibu hamil dapat tekanan darah tinggi ketika kehamilan dan pre-eklampsia ialah EMPAT kali ganda lebih tinggi.
5. Risiko janin meninggal dunia dalam kandungan ialah EMPAT kali ganda lebih tinggi.
6. Risiko kelahiran pramatang ialah LIMA kali ganda lebih tinggi.
7. Risiko ibu memerlukan pembedahan caesar ialah DUA kali ganda lebih tinggi.
8. Risiko bahu bayi tersekat semasa bersalin, iaitu shoulder dystocia ialah TIGA kali ganda lebih tinggi.
9. Risiko kemasukan bayi ke unit rawatan rapi (ICU) ialah TIGA kali ganda lebih tinggi.
10. Risiko ibu dapat darah beku atau venous thromboembolic disease jadi lebih tinggi.

Semua risiko di atas boleh dikurangkan dan dicegah dengan mengawal diabetes sebelum hamil.


Apa yang ada mesti buat jika anda ada diabetes Type 2 dan mahu hamil?

1. Jangan tinggal janji temu dengan doktor dan beritahu doktor tentang hasrat anda mahu hamil.

2. Gunakan kaedah merancang keluarga BERKESAN hingga diabetes dikawal. Terbaik sekali ialah alat perancang dalam rahim, iaitu IUCD.

3. Pastikan beli kit glukometer dan belajar sendiri memantau bacaan gula dalam darah. Inilah Self-Monitoring of Blood Glucose (SMBG). Pantauan sendiri memberikan penjagaan kesihatan yang lebih baik daripada membuat bacaan di klinik kesihatan. Ini bermakna anda dapat menguasai masa dan tahu apakah makanan sihat atau kurang sihat yang anda selalu makan bagi mengawal bacaan gula. Bawa rekod bacaan gula anda ke klinik dan tunjuk kepada doktor.

4. Apakah diabetes yang dikawal? Pastikan ujian darah HbA1c ialah < 6.5 peratus. Pastikan anda buat SMBG untuk memastikan bacaan gula:

1. Sebelum sarapan pagi < 5.3
2. Bacaan 1 jam selepas makan < 7.8 atau 2 jam selepas makan < 6.7.

5. Kawal diabetes melalui pemakanan sihat. Anda MESTI belajar apakah pemakanan sihat untuk pesakit diabetes. Jika belum, jumpa pakar nutrisi atau dietician, minta doktor anda buat rujukan dan pastikan anda dapat janji temu itu.

6. Kawal diabetes melalui senaman yang kerap. Pastikan bersenam 20-30 minit sehari setiap hari atau 150 minit seminggu.

7. Turunkan berat badan ke tahap sihat, iaitu BMI 23.

8. Jika masih perlukan ubat mengawal diabetes, sila dengar nasihat doktor mengenai ubat yang perlu diambil.

9. Minta doktor buat penilaian kesihatan untuk memastikan anda tiada tekanan darah tinggi, tiada masalah buah pinggang, tiada masalah jantung dan pemeriksaan mata (retinal screen).

10. Jika anda sudah penuhi syarat 1-9 di atas, tahniah kerana anda sudah berusaha dengan jayanya. Sebelum mengeluarkan alat perancang rahim, pastikan anda sudah mula ambil suplemen asid folik 5mg setiap hari, sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil dan teruskan suplemen itu sepanjang kehamilan, hingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan.

Ini boleh mengurangkan risiko kecacatan bayi. Jika anda ada masalah perubatan, sila dengar nasihat pakar sama ada anda perlukan rawatan sebelum bersedia hamil.

11. Bila anda dapati haid tidak datang, buatlah ujian air kencing atau urine pregnancy test. Jika hamil, sila pastikan anda dapat janji temu awal di klinik antenatal.

12. Anda patut dapat rujukan bertemu doktor atau ahli sonografer yang mahir dalam ultrabunyi untuk mengesahkan tarikh EDD (estimated due date) dengan mengukur saiz crown-rump-length janin. Ini mesti dibuat antara 11 dan 14 minggu (bukan terlalu awal dan bukan terlalu lambat). Pada masa sama, penilaian ultrabunyi dibuat untuk memeriksa janin tiada kecacatan anensefali (anencephaly), iaitu tempurung kepala sempurna.

13. Daripada 12 minggu kehamilan hingga bersalin, pastikan anak diberikan preskripsi daripada doktor:

  • Aspirin dos rendah (75mg-150mg, sekali setiap hari)
  • Suplemen kalsium (500mg-2g setiap hari)
  • Multivitamin yang ada cukup vitamin D (sekurang-kurangnya 400iu setiap hari).

Jika ada kekurangan zat lain, doktor akan menasihatkan anda.

JANGAN AMBIL tambahan suplemen vitamin C dan E yang tinggi ketika hamil kerana kajian menunjukkan ia memudaratkan dan boleh menyebabkan kelahiran pramatang.

Kepada wanita yang ada T2DM atau T1DM, anda tidak perlu lagi minum ujian air gula OGTT ketika hamil.

14. Pada awal kehamilan, doctor akan memastikan anda ambil ubat diabetes yang selamat untuk kehamilan, memantau tekanan darah, ujian air kencing, ujian darah fungsi buah pinggang, pemeriksaan jantung dan rujukan untuk pemeriksaan mata.

15. Pastikan teruskan pemakanan sihat, dan senaman berimpak rendah ketika hamil, teruskan pantauan SMBG sendiri dan rekod dalam buku untuk ditunjukkan kepada doktor. Selagi bacaan SMBG memuaskan, inilah pantauan diabetes terbaik.

Kekerapan yang kami galakkan ialah sekurang-kurangnya 2-3 kali sehari, sekurang-kurangnya 2-3 hari seminggu. Ini juga bergantung kepada sama ada anda memerlukan ubat cucuk insulin dan sama ada anda sudah capai bacaan memuaskan. Doktor akan menasihatkan anda.

Tiada keperluan buat ujian darah HbA1C ketika hamil.

16. Jika anda masih perlukan ubat cucuk insulin, jangan kecewa, teruskan dengar nasihat doktor untuk memastikan target SMBG dicapai.

17. Pastikan dapat rujukan untuk imbasan anatomi janin pada 18-20 minggu kehamilan.

18. Pastikan dapat ultrabunyi untuk memantau pembesaran janin pada minggu 28, 32 dan 36 kehamilan.

19. Supaya janin tidak terlalu besar, berikan perhatian kepada kenaikan berat badan. Inilah kenaikan berat badan yang sihat ketika hamil, bergantung kepada apakah BMI sebelum hamil. Sila lihat gambar satu untuk rujukan.

20. Pastikan hadir semua janji temu doktor untuk memantau tekanan darah dan ujian air kencing supaya tahu jika ada pre-eklampsia.

21. Kepada ibu hamil diabetes Type 2 yang tiada masalah, janin sihat dan tidak terlalu besar, anda selalunya akan sampai ke tahap kematangan, tetapi untuk mengurangkan risiko kepada janin, doktor akan mencadangkan anda bersalin sebelum 39 minggu kehamilan.

22. Selepas bersalin, penyusuan bayi secara eksklusif hingga 6 bulan digalakkan dan ini terbukti membantu mengawal penyakit diabetes. Penyusuan eksklusif bermakna hanya beri susu badan ibu kepada bayi selama 6 bulan, tanpa minuman atau makanan lain, melainkan anda ada masalah penyusuan dan mendapat nasihat doktor jika ada masalah kesihatan bayi.

Selepas 6 bulan, sila mula berikan bayi makanan tambahan untuk melengkapkan keperluan zat dan nutrisi yang lebih sambil menyusu badan secara sambilan, iaitu penyusuan bayi bukan eksklusif.

23. Jangan lupa kaedah merancang keluarga berkesan. Selepas 6 minggu bersalin, boleh menggunakan alat rahim IUCD. Ada kaedah lain yang anda boleh bincang dengan doktor.

24. Teruskan gaya hidup sihat dan cergas seumur hidup.

SUMBER: ImeldaBalchin

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda