ADA pasangan suami isteri memilih untuk berpantang sendiri di rumah kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa di kampung.

Pengalaman berpantang bukan mudah, tetapi dengan bantuan, kerjasama dan perancangan awal suami isteri sedikit sebanyak mampu membantu melancarkan proses pemulihan selepas bersalin.

Apakah tip yang perlu setiap dilakukan suami isteri jika merancang berpantang di rumah sendiri.

1. BINCANG DENGAN SUAMI

Sangat penting berbincang dengan suami dan pastikan semua setuju. Terangkan tentang tugasan yang perlu dilakukan suami ketika kita berpantang. Bagi memudahkan tugas suami, apa kata senaraikan apa yang perlu dia lakukan setiap hari seperti membasuh baju, masak dan kemas rumah serta tampalkan di kawasan yang mudah dilihat seperti di peti sejuk.

2. PASTIKAN BILIK BERHAMPIRAN DAPUR DAN TANDAS

Ini bagi memudahkan pergerakan kita ke dapur dan tandas. Jika rumah dua tingkat, pindahlah ke bilik bawah buat sementara waktu.

3. SEDIAKAN STOK MAKANAN 

Sebelum bersalin, pastikan kita sediakan bahan atau stok makanan lebih awal seperti bahan basah dan sayur untuk memudahkan kerja-kerja suami. Jika rajin, senaraikan resepi ringkas lauk yang ingin dimasak kepada suami.

4. SEDIA PAKAIAN DAN UBAT 

Letak pakaian bayi dan isteri, lampin pakai buang, ubat-ubatan dan keperluan harian berhampiran kita seperti tepi katil, yang diletakkan dalam bakul. Mudah untuk kita mengambilnya apabila suami tiada di rumah.

5. KEPERLUAN MANDI BAYI

Sesetengah ibu memang takut memandikan bayi sendiri. Jadi, beli keperluan mandian seperti besen mandian yang memudahkan kita memandikan anak. Ada banyak pilihan dalam pasaran mengikut harga dan bajet tertentu.

6. BELAJAR PAKAI BENGKUNG SENDIRI

Memang sukar memakai bengkung sendiri. Apa kata belajar caranya lebih awal supaya tidaklah jadi beban ketika berpantang. Selain bengkung, jangan lupa sentiasa pakai stoking. Sediakan beberapa pasang stoking ketika berpantang.

7. TEMPAH TUKANG URUT AWAL

Selepas bersalin, kita memerlukan tukang urut khas untuk ibu bersalin. Bagi mengelakkan tukang urut ‘fully booked’ apa kata buat tempahan awal sekurang-kurangnya sebulan lebih awal daripada tarikh bersalin. Kepada yang berkemampuan, boleh tempah pakej berpantang, boleh baca pautan ini: 6 Tip Memilih Pakej Berpantang Terbaik Selepas Bersalin

8. SET BERSALIN

Set bersalin bergantung kepada keperluan ibu selepas bersalin. Baca pautan ini: 10 Check List Perlu Buat Sebelum Beli Set Bersalin

9. SIMPAN NOMBOR RUNNER ATAU JIRAN

Simpan nombor runner yang kita kenal atau jiran untuk tujuan kecemasan. Biasanya runner untuk membantu kita belikan barang keperluan, manakala jiran diperlukan ketika kecemasan yang memerlukan bantuan segera ketika suami tiada di rumah atau luar kawasan.

10. MINUM AIR

Jangan lupa sediakan air minum secukupnya berhampiran katil. Minum banyak air dapat membantu kita menambah jumlah susu, mengecutkan rahim dengan lebih cepat dan mengelakkan sembelit.

11. HANTAR ANAK LAIN KE RUMAH PENGASUH ATAU TASKA

Bagi meringankan beban kita ketika berpantang, minta bantuan suami hantar anak lain ke rumah pengasuh atau taska hingga kita betul-betul sihat dan cergas atau mungkin sepanjang tempoh berpantang.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda