AKU terpanggil bercerita semua ini sebab aku rasa aku pernah buat salah dengan isteri aku. Sebenarnya sudah lima tahun kami kahwin dan aku sangat sedar sepanjang perkahwinan, isteri lebih banyak menangis daripada bahagia.

Kami bercinta dan kahwin. Masa awal perkahwinan, aku sangat gembira. Tetapi selepas sebulan, aku mula tidak sukakan isteri sebab aku rasa dia ada kekurangan. Masa itu, dia mengandung. Walaupun itu anak pertama kami, aku langsung tidak rasa gembira. Sebaliknya aku rasa membebankan.

Aku hendak balik kerja pun aku rasa menyampah sebab fizikal isteri sudah tidak menarik perhatian aku macam kami kali pertama kenal dulu. Dulu rasa tergila-gila sangat mahu jumpa dia. Pendek kata, isteri aku sudah tidak cantik dan menawan.

Dipendekkan cerita, sebab sebenarnya banyak perkara kejam yang aku sudah buat di belakang isteri.

Perkara yang aku sendiri tidak dapat maafkan apabila aku teringat kekasih lama aku semula! Kemudian mulalah aku membandingkan dan membezakan dua wanita ini. Aku siap beritahu isteri yang kekasih lama aku lagi sempurna untuk aku.

Sekarang, apabila aku fikir-fikirkan semula, memang rasa malu dan mahu melutut minta maaf kepada isteri sebab menduakan dia. Bayangkanlah, tiga tahun lebih aku tipu dia.

Aku hendak cerita, tapi janganlah marah aku pula. Aku cuma mahu kau orang semua yang ada perangai macam aku ini cepat sedar.

Ada satu masa, aku balik dari kerja. Aku suruh isteri sediakan makanan. Dia cakap, “Tak lalu nak masuk dapur.” Aku memang tengking dan marah dia pada masa itu, siap kata dia perempuan tak guna dan paksa juga dia masak untuk aku.

Masa hendak tidur satu hari itu, dia bagi aku bertambah stres. Dia kata aku busuk, bau rokok. Ini aku memang tidak boleh terima sebab dulu dia langsung tidak kisah pun. Aku tengking dia, “Kalau aku busuk, berambuslah!”

Aku paling tidak suka isteri aku ini sebab dia terhegeh-hegeh. Aku faham perut dia sudah besar masa itu. Tapi boleh jalan laju sikit? Siap pegang-pegang pinggang pula. Menyesal, kenapa aku kahwin!

Kau orang yang baca pun mesti sakit hati dengan akukan? Sebenarnya aku pun sakit hati dengan aku sendiri. Tetapi itu dulu, sekarang aku dah lain disebabkan satu benda. Kawan rapat aku, Azman. Dia kacak macam Aaron Aziz.

Masa di universiti pun kami panggil dia Aaron. Yang aku pelik, dia kahwin dengan seorang perempuan ‘kampung’ yang aku boleh kata tidak secocok dengan dia langsung.

Kali terakhir aku jumpa Azman, masa kami kerja bersama empat tahun dulu. Masa itu dia mekanik dengan aku di kedai pakcik aku. Sebulan lepas, aku terserempak dengan dia. Alangkah terkejutnya aku yang dia sudah ada syarikat sendiri.

Aku tahan dia dan ajak minum sebab hendak tahu macam mana dia boleh capai kejayaan seperti ini. Ternganga aku mendengar semua cerita dia.

Azman beritahu punca dia boleh berjaya ialah isterinya.

Aku tergamam. Azman beritahu lagi, disebabkan dia jujur dan sayangkan isteri, dia rasa dia cepat berjaya. Walaupun Azman belum ada anak, tetapi dia sentiasa bersyukur dan cakap perkara baik tentang isteri dia. Serius aku kagum dan tak sangka.

“Kau tahu tak, lagi banyak kita sayang dan hormat isteri, lagi banyak kita peluk cium dan gembirakan hati dia, kau sendiri akan terkejut dengan rezeki dan kebahagiaan yang tidak disangka-sangka,” kata Azman.

“Benda yang kau terkejar-kejar dalam hidup kau sebenarnya ada di depan mata kau saja (isteri). Kau pelihara itu dulu, kau bahagiakan dia, baru yang lain akan datang,” kata Azman

Aku tidak tahu tahu apa yang jadi dengan aku selepas itu. Dalam perjalanan balik, aku menangis, aku sedar yang aku ego saja selama ini. Aku teringat balik setiap kali aku paksa isteri masak, dia akan sapu balm di hidung dia.

Kemudian aku akan dengar bunyi dia muntah teruk. Pernah sekali aku tengok dia lembik sangat. Aku bodoh masa itu. Aku cakap aku hendak keluar makan dan biarkan dia dalam tandas macam tu saja.

Baru aku tau, ibu hamil ini rupa-rupanya sangat sensitif. Masa aku halau dia tidur di sebelah sebab dia kata aku busuk rokok, dia tidur atas lantai. Aku dapat rasa dia menangis teruk setiap malam sebab aku tengok mata dia selalu bengkak.

Apa aku paling benci dengan diri aku, aku tidak pernah urut dia. Aku biarkan isteri aku buat itu dan ini tetapi aku tidak hargai dia. Aku rasa dia sakit pinggang pun sebab dia tidur atas lantai setiap hari. Mesti sakit badan isteri aku.

“Setiap kali aku nak balik rumah, aku akan belikan sesuatu untuk isteri aku sebab aku tahu dia akan gembira,” kata Azman.

Apabila teringat kata-kata Azman, aku mula terfikir mahu belikan sesuatu untuk isteri aku. Dalam perjalanan pulang, aku nampak kedai bunga, tapi tidak ada jumpa bunga ros pula. Jadi aku pun belilah apa yang ada.

Tiba di rumah, masa nak masuk, jantung berdegup kencang sebab selama ini aku bersalah terhadap isteri dan sangat berharap dia sudi memaafkan aku. Belum sempat aku ketuk pintu, isteri bagi salam dengan dua biji mangga di tangan. Dia cakap jiran bagi, aku tahu dia mengidam.

Masa dia salam aku, aku minta maaf pada dia dan bagi bunga kepada dia. Tiba-tiba dia tergelak besar. Apahal pula isteri aku ni?

“Bang, bunga ini orang guna untuk upacara sembahyanglah abang. Abang beli kat mana?”

Adoi, manalah aku tahu, patutlah aci tadi senyum-senyum kat aku. Buat malu. Tak apalah, sekurang-kurangnya aku berjaya buat dia tergelak dan nikmat bila aku cium dan peluk isteri, masa itu rasa indah sangat. Aku dapat rasa penuh malaikat di tepi aku yang mendoakan kami.

Jadi itulah cerita tiga tahun lalu. Memang indah hidupp berkasih sayang dan bermanja ini. Aku sudah lama tinggalkan keegoan aku. Lantaklah orang mahu kata apa, yang penting aku dapat bahagiakan bidadari aku.

Semalam isteri ada cakap, “Kalau ada rezeki untuk pergi ke Langkawi, dia nak makan *beronok.” Kampung akulah ni. Korang rasa apa yang aku akan cakap? Haha!

Aku serta merta terus minta dia bersiap dan kami pun gerak ke Langkawi. Sayang punya pasal, aku beli tiket penerbangan on the spot walaupun untuk seorang, trip sehala saja RM210. Sementara anak pertama kami masih kategori bayi, untuk dia percuma lah.  Kalau dulu mungkin aku kisah tetapi sekarang hidup aku sudah lain, Alhamdulillah. Aku juga sudah buka bengkel kereta sendiri. Dah jadi bos macam kawan aku, Azman.

Ini bukan beronok tetapi sebab aku terlampau sayangkan isteri aku. Aku tidak malu pun untuk beritahu satu dunia yang aku sangat cintakan dia dan disebabkan cinta aku kepada isteri, aku sanggup buang semua ego aku. Aku pun terkejut dengan rezeki yang tak disangka-sangka untuk kami sekeluarga.

Terima kasih ya Allah. Terima kasih sebab sedarkan hamba-Mu ini.


* Beronok atau nama saintifiknya Acaudina molpadioides, ialah sejenis hidupan laut yang seakan-akan gamat dan hidup di kawasan pantai yang berselut.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda