APABILA hamil, salah satu tanda yang kelihatan pada perut ialah garisan hitam menegak dari pusat hingga kawasan sulit wanita, dikenali sebagai Linea Nigra.

Semakin perut membesar, semakin ketara kesan garisan itu. Bagaimanapun, tidak semua wanita hamil ada Linea Nigra. Tetapi apakah sebenarnya Linea Nigra itu? Benarkah garisan hitam di perut itu mampu menentukan jantina bayi dalam kandungan?

APAKAH LINEA NIGRA?

Garis hitam di perut ketika hamil ialah titik pertemuan jaringan ikatan otot perut. Sebenarnya, garis ini mungkin sudah ada di perut kita sebelum mengandung lagi dengan warna lebih terang atau pucat mengikut warna kulit kita yang dikenali sebagai Linea Alba.

Garis ini berubah jadi lebih gelap ketika kita hamil dan dikenali Linea Nigra.

Linea Nigra (garis hitam di perut ketika hamil) biasanya akan kelihatan pada perut kita  dari sekitar pusat hingga tulang kemaluan, yang mana mempunyai lebar sekitar 0.6 cm hingga 1.3 cm.

Garis hitam ini juga akan mula kelihatan ketika usia kandungan 23 minggu atau mungkin lebih awal.

BAGAIMANA LINEA NIGRA TERJADI?

Tidak semua wanita hamil ada Linea Nigra, terutama jika kulit wanita hamil terlalu putih dan pucat. Namun, tidak bermakna ia menandakan ada sesuatu yang tidak betul pada kehamilan kita.

Ini kerana ada atau tiada Linea Nigra bukan menjadi masalah kepada ibu hamil. Ia sekadar tentang bagaimana tubuh ibu hamil bertindak balas terhadap perubahan hormon tertentu.

Linea Nigra akan kelihatan kerana berlaku perubahan hormon pada tubuh. Peningkatan hormon estrogen dan progesteron ialah faktor utama penyebab muncul garis hitam itu.

Hormon akan menstimulasi melanosit untuk memproduksi melanin, pigmen warna yang membuat kulit gelap. Bukan itu saja, hormon itu juga bertanggungjawab terhadap perubahan warna sekitar puting susu (areola) yang jadi lebih gelap.

Pada trimester kedua kehamilan, badan kita akan menghasilkan hormon kehamilan yang lebih banyak hingga produksi melanin atau pigmen dapat mengubah warna kulit, yang mana Linea Alba akan berubah jadi lebih gelap.

Jika kita mempunyai kulit lebih gelap mungkin akan mempunyai Linea Nigra dengan warna yang lebih menonjol dibandingkan ibu hamil yang ada kulit lebih cerah.

BAGAIMANA HILANGKAN LINEA NIGRA

Kita boleh biarkan saja kerana ia akan pudar sendiri perlahan-lahan. Tetapi ada juga beberapa tip yang boleh kita amalkan untuk mempercepatkan garisan hitam itu hilang lebih awal.

1. PAKAI PAKAIAN MENUTUP PERUT

Gunakan pelindung matahari atau sunblock (sekurang-kurangnya SPF 15) atau pakai baju menutup perut.

2. JAGA MAKAN

Ada beberapa bukti yang menunjukkan perubahan warna kulit berkaitan dengan kekurangan asid folik. Pastikan diet kehamilan kita sihat dengan asid folik daripada sayur-sayuran berdaun hijau, oren, roti gandum dan bijirin.

BENARKAN LINEA NIGRA BOLEH TENTUKAN JANTINA ANAK BAKAL LAHIR?

Kata orang tua dulu-dulu  jika garisan itu hanya sampai sehingga pusat, kita akan melahirkan bayi perempuan, manakala, jika garisan melalui pusat hingga berhampiran tulang rusuk, kita akan mendapat bayi lelaki.

Kepercayaan itu ialah salah satu mitos kehamilan yang masih ramai percayai hingga hari ini. Linea Nigra bukan petanda mengetahui jantina bayi dalam kandungan. Jika betul pun, itu hanya kebetulan!

SUMBER: HelloSehat | TheAsianParent

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda