KEJUTKAN anak bangun pagi merupakan antara masalah utama setiap ibu bapa kerana memerlukan kesabaran yang tinggi. Macam-macam ragam anak-anak kan? Sebab itu, ibu bapa perlu belajar teknik kejut anak bangun pagi yang betul ini.

Kami kongsikan tip buat ibu bapa yang menghadapi kesulitan untuk mengejutkan si anak di awal pagi agar anak bangun dengan mudah dan gembira.

PERSEDIAAN SEBELUM TIDUR

1. MAKAN MALAM AWAL

Makan lebih awal supaya anak-anak boleh tidur lebih awal. Jangan makan lewat dan berat sebelum waktu tidur boleh menggangu tidur dan membuatkan anak susah untuk bangun.

2. TIDUR AWAL

Tidak dinafikan masalah anak sukar bangun pagi disebabkan oleh tidur lewat pada waktu malam. Jika boleh hadkan penggunaan gadjet mahupun televisyen yang boleh melekakan anak-anak sehingga berjaga ke larut malam.

3. SIAPKAN KELENGKAPAN SEBELUM TIDUR

Siapkan juga kelengkapan untuk esok pagi seperti kerja sekolah, alat tulis, pakaian sekolah, beg sekolah dan sebagainya dengan lebih awal. Bila semua sudah sedia, urusan pada waktu pagi insya Allah akan berjalan dengan lebih lancar.

BACA>>> Kenapa Penting untuk Anak Tidur Awal?

WAKTU TIDUR 

  • Berikan motivasi sebelum tidur. Cetuskan keghairahan dengan cerita-cerita persekolahan yang menaikkan semangat mereka untuk seronok pergi ke sekolah. Beri dorongan dengan menjelaskan bahawa guru-guru dan kawan-kawan pasti tertunggu-tunggu kehadiran mereka di sekolah esoknya. Dan guru-guru suka siapa yang datang awal pagi ke kelas.
  • Sebelum tidur, pesanlah untuk mereka baca doa sebelum tidur beserta surah Al-Muawwizat (3 Qul).
  • Elakkan konflik sebelum tidur. Jika ada, selesaikan dengan segera. Pujuk anak dan terus bermaaf-maafan. Berikan pelukan dan ciuman pada si manja sebelum mereka tidur. Pastikan mereka tidur dalam keadaan gembira dan mencium tangan ibu bapa terlebih dahulu.
  • Ketika mereka dalam zon separa sedar (tidur-tidur ayam), selitkan juga doa ibu bapa dan programkan minda untuk mereka mudah bangun awal untuk ke sekolah.
  • Pastikan anak-anak tidur dalam suasana aman, jauh dari gangguan dan kebisingan. Jika memasang rakaman bacaan Al Quran semasa anak-anak tidur, minimakan kelantangan bunyinya.

KEJUTKAN DENGAN KASIH SAYANG

1. BERI SALAM

Beri salam kepada anak yang sedang tidur. Gunakan nada suara yang lembut, bukan suara yang tinggi seperti, “Assalamualaikum anak soleh. Bangun sayang, anak ibu ni suka bangun awal”.

2. GERAKKAN MEREKA DENGAN SOPAN

Gerakkan mereka dengan sopan, bukan agresif. Sentuh hujung ibu jari kaki mereka dan goyangkan perlahan-perlahan. Jangan direntap ibu jari kaki mereka, kelak mereka menyimpan dendam.

Elakkan mengetuk pintu bilik mereka dengan keterlaluan sehingga menyebabkan anak bangun dalam keadaan terkejut dan ketakutan.

3. KEJUTKAN ANAK SECARA BERPERINGKAT

Kejut anak secara berperingkat. Jangan memaksa mereka. Jangan terus disimbah air ke atas mereka.

Panggil nama mereka dengan lembut dan teruskan menggoyang kakinya. Jika masih belum sedar, kuatkan sedikit suara dan goyang badannya. Teruskan memanggil namanya dan panggillah panggilan yang baik.

Kejutkannya sambil memujinya : “Bangun sayang, anak umi yang baik, anak umi yang soleh, anak umi yang rajin. Anak ummi ni senang bangun. Ummi kejut, terus bangun.”

4. PELUK DAN CIUM ANAK

Sebaik saja anak bangun, terus berikan anak ganjaran ciuman dan pelukan supaya timbul rasa gembira pada diri mereka untuk bangun tidur. Usap kepalanya sambil bercakap dengan lembut agar si manja terus mandi, solat subuh dan bersegera ke sekolah untuk menjadi anak yang bijak pandai.

Berilah ganjaran dari sudut pujian dan galakan apabila memberikan kerjasama yang baik untuk bangun tidur di awal pagi sebelum ke sekolah. Hargailah setiap perkembangan mereka, teruskan mendorong dan berdoa.

BACA>>> 5 Tip Urus Anak Setiap Pagi, Tiada Lagi Stres dan Lewat Masuk Ofis

TOLONG JANGAN BUAT PERKARA INI

Dari sudut segi psikologi, jika seorang anak itu dikejut dengan herdikan atau pukulan, maka minda separa sedar akan diaktifkan sedikit demi sedikit untuk membenci dan berdendam dengan orang yang membangunkan itu.

Seandainya rutin setiap dinihari kita mengejutkan anak-anak dengan cara yang kurang beradab, maka sebenarnya kita telah menyalakan api kebencian yang bahaya dalam minda separa sedar anak itu.

Oleh itu, elakkanlah perbuatan yang DILARANG sewaktu mengejutkan anak bangun dari tidur seperti :

  • Meninggikan suara.
  • Menggunakan kata-kata kesat atau makian.
  • Menepuk dengan pukulan kasar atau kuat.
  • Jangan menyimbah air.
  • Membebel berterusan tanpa henti.

Diharap cara dan langkah-langkah di atas mampu memotivasikan ibu bapa untuk mengejutkan anak pada waktu pagi dengan lebih tenang.

Sekiranya anak terus-terusan meragam dan liat untuk bangun di awal pagi, laluilah ia dengan sabar dan positif. Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan mengambil masa yang berbeza mengikut perkembangan masing-masing.

SUMBER: ExcelQhalif

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda