ANAK sulung yang baru saja dapat adik kecil memang banyak ragam dan emosi. Lebih-lebih lagi kalau adiknya itu muncul ketika umurnya 4 tahun. Memang letih mahu mengajar dia supaya mengalah dengan si adik.

Berikut perkongsian Sharifah Zahidah tentang 5 kata-kata keramat yang mampu melenturkan ego anak sulung yang terbukti berkesan.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


Inilah taktik paling cepat dan berkesan yang saya gunakan untuk ‘lenturkan’ ego kakak. Maklumlah, anak sulung ini kadang, ada ragam dia sendiri apabila dia sudah dapat adik.

Ada 5 ‘ayat keramat’ yang boleh digunakan supaya anak sulung langsung tidak anggap adiknya sebagai ‘pencabar’ baru kedudukannya sebagai makhluk paling disayangi ibu bapa.

Dan paling penting, ayat keramat ni bukan sekadar nak tone down anak sulung ketika marah saja, tetapi mahu TANAMKAN SISTEM PERCAYA YANG BETUL tentang SIAPA DIRINYA DI MATA IBU BAPA. Insya-Allah, jika kena cara, anak sulung akan jadi PEMBANTU kita yang berjaya dalam menjadi contoh teladan kepada adiknya.

Adiknya umur berapa tahun, itu tidak jadi masalah. Apa yang penting, taktik ini sudah boleh dipraktiskan kepada anak sulung yang berumur 2 tahun ke atas, atau sudah boleh faham bahasa. Paling sesuai, mula 3-4 tahun ke atas. Cuba gunakan ayat ini di depan anak sulung, dan perhatikan bagaimana egonya lentur dan tiba-tiba daripada jadi PESAING adik-adik, dia boleh berubah jadi ‘PELINDUNG’ mereka.

1. SITUASI BEREBUT BARANG

Selalukan anak-anak berebut barang?

Kalau anak-anak berebut barang, jangan sewenang-wenang menangkan adik kecil yang tidak mengerti apa-apa lagi.

Tetapi jagalah perasaan si anak sulung yang sudah mula pandai berkecil hati, cemburu dan kecewa. Jadi, dalam situasi berebut barang, tunjukkan macam kakak yang menang.

Guna ayat keramat, “Adik, minta izin dulu dari kakak/ abang..” Walaupun adik baru berusia 6 bulan yang jelas sekali tidak faham pun minta izin itu apa, tetapi sebenarnya kita bukan bercakap dengan adik, kita sebenarnya ‘bercakap’ dengan si anak sulung untuk lenturkan ego dia, biar dia mengalah, biar dia lembut hati dengan adiknya selalu.

Selalunya, lepas suruh adik ‘minta izin’ untuk guna sesuatu barang, secara automatik kakak pun akan beri izin dan BERHENTILAH sudah adegan berebut barang dalam masa kurang 10 saat.

Tidak perlu berceramah kepada kakak supaya mengalah, atau beri arahan kasar suruh kakak jangan berebut atau sebagainya. Cara marah dan guna kuasa veto suruh kakak lepaskan barang kepada adik, MEMANG BERKESAN, tetapi IA MENINGGALKAN KESAN TIDAK BAIK terhadap hubungan adik-kakak untuk jangka masa panjang. Guna taktik ayat keramat di atas, insya-Allah kakak mengalah dan hubungan adik beradik pun lebih harmoni selepas ini.

Jangan terkejut kalau tiba-tiba nanti semua mainan, si kakak sanggup kongsi dengan adik tanpa drama derita dan air mata lagi.

2. SITUASI BERGADUH, ADIK MENJERIT

Ini biasalah kan. Adik tidak pandai cakap lagi, apabila dia marah atau tidak puas hati, dia akan menjerit dan menangis. Selepas itu, apabila seorang sudah menjerit, seorang lagi pun selalunya akan sama-sama menjerit dan guna intonasi tinggi sebab tidak puas hati atau sebab rasa TERANCAM dengar adik menjerit.

Iyalah, selalu apabila adik menjerit, mesti ibu bapa serbu dan terus salahkan anak sulungkan?

Jadi, jeritan adik sangat memberi ‘ancaman’ yang membina rasa tegang dalam diri kakak. Ketegangan itu lama kelamaan akan buatkan si kakak membenci adik, sebab asalkan menangis, akhirnya dia yang kena.

Maka, kakak dan adik masing-masing jadi tidak rapat kerana kakak lebih selesa menjauhkan diri daripada si adik. Perasankan masalah ini?

Jadi kembali kepada situasi jerit-jerit, memang kita kena tenangkan si adik. Kadangkala, adik marah SEBAB ANAK SULUNG/KAKAK/ABANG yang kacau.

Jadi, guna ayat keramat; “Adik, cakap baik-baik dengan kakak.” Sebagai hint, hendak beritahu kepada kakak; “Kakak dulu yang kena ajar adik bercakap dengan baik.”

Adik yang menjerit menangis itu kita tenangkan macam biasa. Dan kakak yang dengar ayat keramat itu pun secara automatik akan mula lembut dan tone down. Tiba-tiba, dia pun mengadu dengan kata dengan nada suara rendah dan lembut. Tiada lagi adegan jerit-jerit dan marah-marah. Mudahkan?

Anak faham ke reverse phsychology macam ni?”

Jawapan saya, insya-Allah, dia faham. Tapi bukan buat sekali dua, buatlah beberapa kali. Jangan harap hasilnya pantas ye. Kita pun belajar sesuatu, kena ulang berkali-kali. Sama juga anak-anak. Berikan masa. Sabar itu ialah ASAS dalam mendidik anak-anak.

3. SITUASI MINTA TOLONG ANAK SULUNG JAGA ADIK

Ini antara ayat paling selalu saya guna.

Untuk ajar kanak jadi kakak yang betul-betul bertanggungjawab dan boleh diharapkan tengokkan adik sementara saya mesyuarat, mengajar, memasak, kemas rumah dan sebagainya. Untuk pastikan sesi kakak menjaga adik berjalan tanpa adegan tidak diingini, awal-awal lagi saya berpesan kepada adik; TETAPI PASTIKAN KAKAK YANG DENGAR…

Adik, adik dengar cakap kakak ya…” Selepas itu, sambunglah dengan segala amanat kita kepada si Kakak. Contohnya, “Adik, adik dengar cakap kakak ya. Kakak tak bagi panjat kerusi, adik jangan panjat ya.. Kakak suruh makan duduk, adik duduk ya. Adik DENGAR CAKAP kakak ya..”

Dan kemudian, baru ulangkan skrip di atas kepada kakak pula. Selalunya, kalau adik buat apa-apa yang bahaya atau yang saya tegah awal-awal, memang kakak akan bertindak sebagai penjaga dan penyelamat yang sangat berjaya. Dia takkan biar adiknya sendirian dalam bahaya. Syaratnya, kena buat taktik di atas.

Secara automatik, perasaan sebagai SEORANG KAPTEN KAPAL YANG BERTANGGUNGJAWAB terhadap anak kapalnya, akan terus teraktif dalam diri kakak.

4. SITUASI PUJUK ANAK SULUNG MERAJUK ATAU SEDIH HATI

Selalunya, anak berusia 2 tahun ke atas sudah pandai merajuk dan ‘bawa diri’. Ringkasnya, sebab keinginan yang tidak dipenuhi selalunya.

Logik anak-anak ini, kalau ibu bapa sayang mereka dan hargai mereka, semua kehendak mereka mesti ditunaikan. Mereka tidak faham, kadang-kadang larangan dan penegasan juga ialah salah satu tanda kita sayang mereka.

Jadi, dalam situasi anak-anak merajuk, depan-depan adik, kita tuturkan ayat keramat kita. Pastikan kakak dengar; “Adik, tengok kakak lukis ni, hebatkan Kakak? Subhanallah.” atau

Adik, tadi kakak solehah sangat, sebab kakak tolong ibu kemas mainan tadi. Adik TIRU/IKUT PERANGAI KAKAK ya.”

Sebaik saja anak sulung dengar yang DIA KENA JADI CONTOH/ROLE MODEL kepada adik-adik, selalunya dia pun akan terus sejuk dan tidak jadi nak buat perangai tidak solehah dia.

Ya, anak-anak umur 3 tahun ke atas, sudah boleh tahu perangai soleh dan perangai tidak soleh. Dia boleh kaitkan, mana perangai dia patut buat, dan mana yang dia patut tidak buat. Dengar ayat keramat tadi, terus dia malu hendak buat perangai bukan-bukan.

5. SITUASI BEREBUT PERHATIAN IBU, AYAH DAN ANAK SULUNG CEMBURU

Normal kadang-kadang anak sulung ambil masa untuk ‘move on’ dan terima hakikat yang dia kini berkongsi kasih sayang dengan adiknya.

Kadang-kadang, time kita hendak menyusu, beri makan, layan adik atau apa saja dengan adik, masa itu jugalah kakak pun buat-buat terdesak hendak itu ini sampai tergendala kerja kita. Dalam situasi ni, ingat ibu bapa, jangan sekali-kali ABAIKAN perasaan anak sulung.

Anak sulung kita sudah pandai kecil hati dan pandai buat penilaian sama ada kita sayangkan dia atau tidak. Sedangkan adik-adik yang masih bayi atau kecil lagi tubelum faham sepenuhnya apa yang berlaku.

Apabila akak/abang cemburu dengan layanan, secara mudah JELASKAN dengan ringkas keperluan adik dan minta adik minta maaf.

Adik nak Ibu suap makan ya? Ok, adik minta kakak tunggu sekejap, dan adik minta maaf kakak ya.. Lepas ni, Ibu suap kakak pula makan, ya?” Dan tarik tangan adik acah-acah minta maaf dengan kakak. Sambil beritahu kepada kakak, adik kecil lagi, adik lapar, adik minta maaf sebab adik nak makan dulu dan sebagainya.

Si kakak/abang yang DAPAT PENGHORMATAN sebegitu, lazimnya akan cair dan tiba-tiba keluarlah ayat keramat dia; “Tak apalah, ibu bagi adik makan dulu. Kesian adik tu lapar..”

Ini situasi benar yang selalu saya hadapi. Bila kakak rasa ‘hak’ dia terancam, minta adik minta maaf. Dan dia pun, akan mula bertolak ansur dan dia tahu, dalam ‘hak’ dia untuk dapatkan perhatian ibu bapa, adik juga mempunyai hak yang sama.

KESIMPULAN

Sampai bila kena guna taktik Ini? Takkan sampai bila-bila?

Ya, Memang tidak sampai bila-bila. Cuba buat beberapa hari ke beberapa minggu saja. Lambat laun, kakak memang tidak kisah lagi untuk beralah dengan adik apabila berlaku ‘perebutan’ meraih cinta dan perhatian ibu bapa.

Tapi yang penting, kita ibu bapa WAJIB layan kakak pula selepas itu. Jangan diabaikan kakak. Mentang-mentang dia sudah bertolak ansur, kita abaikan saja lepas itu. JANGAN ya!

HARGAI KEPERCAYAAN yang anak berikan kepada kita. Dah layan adik dan janji nak layan kakak pula, jangan buat-buat lupa dengan janji kita. ATAU nanti, SEMUA AYAT KERAMAT YANG KELUAR DARI MULUT KITA AKAN TERUS HILANG SEGALA ‘BISANYA.’ Pada saat tu, sebut apa saja kepada kakak, semuanya jadi tidak lut.

Sebab apa tidak lut? Sebab anak sudah hilang percaya. Ada banyak sebab kenapa kata-kata kita sudah kurang lut kepada anak, insya-Allah lain kali saya cerita.

Cuma asasnya, inilah 5 AYAT KERAMAT yang boleh kita gunakan untuk LENTURKAN ego anak sulung dan supaya hatinya terpujuk untuk SENTIASA BERSIKAP RAHMAH DAN BERTOLAK ANSUR dengan adiknya.

Ada banyak lagi ayat keramat lain, antara yang popular ialah, “Adik sayang kakak, adik rindu kakak, ibu sayang kakak” dan sebagainya. Tapi sebab ayat ini sudah ramai orang tahu, saya tulis ayat yang jarang disebut seperti 5 contoh di atas itu. Ada masa, kita sambung lagi.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda