ANAK kuat meragam memang menguji kesabaran diri. Silap sikit mesti habis menggelupur atas lantai, suka memberontak, menjerit dan menengking tanpa sebab.

Nanti dulu, masih belum terlambat kalau kita hendak memulihkan personaliti anak itu. Memukul, merotan dan menghukum boleh jadi punca kenapa anak kita akan jadi lebih kuat memberontak dan berdendam.

Ada cara yang lebih Islamik yang boleh kita lakukan.

1. AJAR ANAK CINTA AGAMA

Pupuk rasa cinta anak kepada Islam dan ajar dia mengikut sifat Rasulullah SAW. Inilah cara terbaik menyuburkan akhlak mulia dalam diri anak. Dengan menjadikan Nabi SAW sebagai idola sejak kecil, pastinya anak akan berusaha mengikut sikap baginda dan sahabat.

Selepas anak sudah reda memberontak, secara perlahan-lahan kita ceritakan kisah-kisah Rasulullah SAW sebagai peringatan kepada anak.

2. TANYA SEBAB 

Tanyalah kepada anak, kenapa dia meragam? Kemudian ambil peduli dengan apa yang diluahkannya. Jika puncanya adalah sesuatu yang remeh, kita tidak perlu penuhi keinginan itu.

Kita perlu jadi seimbang dalam memberi perhatian kepadanya. Jangan sampai ‘terlajak memanjakan’ anak, nanti boleh buatkan dia ‘naik lemak’.

3. BERI PENJELASAN

Selepas tahu punca anak buat hal, kita mesti jelaskan kelebihan dan kekurangan yang bakal dilalui akibat perbuatannya. Jelaskan kepadanya dalam bahasa yang mudah difahami. Selitkan contoh-contoh supaya anak dapat belajar daripada kesilapan.

4. TEGAS

Sekiranya selepas mendapat penjelasan anak masih berkeras, jangan mudah mengalah ataupun kita pula yang marah. Cuma kita perlu bertegas!

Awalnya mungkin anak merengek, tetapi perlahan-lahan dia akan faham kita memang tidak akan beri apa yang dia minta. Tegas tidak bererti berlaku kasar, tetapi tidak berkrompomi dengan apa yang sudah ditetapkan sejak awal.

5. HINDAR SIKAP EMOSIONAL

Hadapilah anak yang sedang meragam dengan tenang. Rasulullah SAW mengajar kita supaya mengawal rasa amarah dengan memohon perlindungan daripada godaan syaitan.

Jika saat itu kita sedang berdiri, maka duduklah. Jika sedang duduk, berbaringlah. Paling tidak pun, berdiam diri sebentar. Selalu ingatkan diri bahawa pahala menahan marah sangat besar. Rasulullah SAW ada bersabda: “Jangan kamu marah, maka kamu akan masuk syurga” – hadis riwayat Ath-Thabrani

6. JAUHI MEDIA NEGATIF

Jangan biarkan anak menonton apa-apa saluran dan rancangan media yang berunsur negatif. Misalnya filem yang berunsur ganas, permainan video ganas, kartun atau apa saja yang tidak patut ditonton mereka.

Kesannya boleh menyebabkan dia terikut-ikut dengan apa yang dilihat. Zaman sekarang semua serba canggih, kalau dibiar, anak boleh hanyut.

7. BERI PERHATIAN

Karenah anak yang mengada-ngada itu sebenarnya menjadi petunjuk yang dia mahukan perhatian. Jadi usahakan supaya setiap hari kita boleh luangkan masa bermesra dengan dia. Paling baik, cari masa berbual dan bertanya perkembangan hariannya.

8. AJAR CARA TENANGKAN DIRI

Apabila anak mula tunjuk tanda resah dan mahu buat perangai, pujuk dia dengan mengajarnya hadapai amarah.

Kita boleh suruh anak berwuduk, mengucapkan ta’awudz (auuudzu billaahi minasy-syaithaanir-rajiim) atau suruh dia duduk hingga tenang. Apabila berjaya menenangkan diri, jangan lupa puji.

9. JANGAN LEKEHKAN ANAK

Jangan sesekali gunakan intonasi seakan-akan merendahkan maruah anak ketika memujuk.

Rasulullah SAW selalu melayan anak cucunya dengan cara terbaik. Misalnya, ketika mengerjakan solat, walaupun cucu-cucu datang mengganggu, baginda langsung tidak pernah marah, tetapi dilayan dengan baik.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda