RENTETAN tular cerita sebuah televisyen pecah dek anak tetamu yang terlebih aktif ketika Hari Raya lalu, hingga kisah ikan sekolam mati akibat terlajak makanan, muncul pelbagai komen negatif dan positif boleh dibaca di laman sosial.

Rata-rata menyalahkan ibu bapa kerana tidak tahu mendidik anak mengenai adab sopan. Tidak kurang pula yang menyalahkan tuan rumah. Sudahnya, masing-masing saling menyalahkan satu sama lain dan tiada pula yang cuba memberikan penyelesaian.

Kali ini, Abdul Muiez Ruslee cuba berkongsi apa yang perlu dibuat untuk mengelak berlaku insiden seumpama itu sama ada kita sebagai pihak tuan rumah atau tetamu.


Sehari dua ini kecoh cerita pasal kanak-kanak dan open house. Apa yang saya lihat, baik tuan rumah mahupun tetamu, semuanya berkaitan adab.

Meh, saya kongsikan bagaimana cara saya dan isteri menguruskan hal ini.

SEBAGAI TUAN RUMAH

1. Sebarang barangan yang boleh mencetus keterujaan kanak-kanak, saya akan simpan dalam bilik. Antaranya, penapis udara Korea hutang 7 tahun, gajet seperti speaker, VR Box dan segala ‘mak nenek’ yang saya rasa ‘berbahaya’, saya simpan elok-elok. Apa yang diletakkan di ruang tamu termasuk stok permainan Ultraman, Kamen Rider adalah sedia dimainkan mereka.

2. Pintu bilik utama saya dikunci dan kuncinya saya simpan di tempat yang hanya kami anak-beranak saja tahu.

3. Permainan anak yang biasanya bersepah di ruang tamu, saya letakkan dalam bakul dan masukkan dalam bilik anak. Kalau hendak main, mainlah dalam bilik. Sepah ke, tergolek ke, tunggang-langgang ke, lantaklah. Sampai masa, saya minta anak-anak kemas semula.

4. Saya sediakan 2 kain buruk di ruang tamu. Mesti akan ada air yang tumpah. Tidak ada hallah.


SEBAGAI TETAMU

1. Dari rumah sampai ke lokasi open house, berbuih mulut saya hamburkan nasihat berserta ugutan kepada anak-anak supaya jaga tingkah laku.

2. Pernah sekali, saya simpan rotan dalam kereta. Apabila tidak puas hati dengan prestasi mereka di rumah orang, masuk saja kereta, saya rotan tapak kaki. Sampai kena sound dengan seorang kawan, “Aku anak 7, belum pernah letak rotan dalam kereta.”

3. Nampak anak buas sikit saja, saya jegil biji mata. Kalau tidak dengar kata, mulalah tangan saya bertukar menjadi ketam. Jalan terakhir, “Kau siap bila masuk kereta nanti.” Biasanya apabila dengar ayat itu, insya-Allah semua akan taat.

4. Apabila nampak anak ambil barang orang yang tidak sepatutnya, terus saya minta dan letakkan semula di tempatnya.

5. Kalau anak hendak buka penutup bekas kuih raya, cepat-cepat saya tolong bukakan. Kena pula set bekas kuih raya yang harganya setengah bulan gaji. Matilah kalau pecah.

6. Kalau dihidang air dalam cawan dan piring yang harga RM100 sepasang, saya akan pastikan mereka minum dengan cermat. Yang murah pun cermat juga, tapi kalau yang mahal, berganda-ganda siap sedianya.

Ini antara apa yang saya dan isteri buat. Saya tidak minta anda ikut dan mungkin juga tidak sesuai untuk anda.

Percayalah. Perkara berkaitan adab ini perlu kerjasama kedua-dua pihak. Takkan asyik nak saling salah menyalahi.

Kalau tak reti jaga anak, jangan bawa pergi open house.”

Kalau tak nak barang kena kacau, tutup je pintu tu, jangan bagi orang masuk.”

Come on. Kalau itu sikap kita (ibu bapa yang ada anak buas dan tuan rumah yang takut barang dirosakkan) percayalah, sikit masa lagi, amalan ziarah-menziarahi akan terus pupus.

Mendidik anak-anak bukan sahaja sekadar dengan perkataan tetapi juga dengan tindakan.

Sekadar berkongsi.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda