MENUNAIKAN haji dan terpaksa meninggalkan anak kecil yang masih menyusu tidak menghalang pasangan suami isteri ini untuk menyimpan stok perahan susu ibu selama 44 hari di Tanah Suci Makkah dan dibawa pulang ke Malaysia.

Perunding Kewangan Infaq Consultancy Sdn Bhd, Afyan Mat Rawi dan isteri berkongsi pengalaman membawa pulang stok susu ibu untuk keperluan bayi yang ditinggalkan di tanah air.

Bagaimanapun, tip yang dikongsikan ini boleh sahaja dipraktikkan untuk ibu bapa yang mahu membawa stok perahan susu ibu dalam tempoh perjalanan jauh.


Membawa pulang susu ibu dari Tanah Suci untuk si kecil di Malaysia merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang mengerjakan haji tempoh hari.

Sejak sebelum tiba ke Tanah Suci, isteri sudah google dan studi pengalaman jemaah-jemaah haji lepas yang mengalami perkara sama.

Dengan 1001 cabaran, akhirnya berjaya juga membawa pulang stok susu ibu untuk anak kecil yang ditinggalkan selama 44 hari.

Cabaran paling besar untuk menyelesaikan misi ini ialah untuk menyimpan stok susu. Terima kasih kepada rakan-rakan Jemaah Haji Hotel Fajr Badie 4 yang memahami dan sudi menumpangkan susu ini dalam peti sejuk masing-masing.

Masa minggu awal di sana, ada juga staf Tabung Haji mengatakan ia tidak akan lepas dan tidak digalakkan membuat simpanan susu.

Luluh juga hati kami ketika itu. Namun kami doa banyak-banyak dan usahakan sebaik mungkin.

Andai nanti tak lepas masa nak naik flight, kita tawakal sahajalah“, kata saya kepada isteri.

Cabaran-cabaran kecil lain ialah untuk mendapatkan cold storage beroda yang akhirnya dapat dibeli di pasaraya Bin Dawood di Mekah.

Kemudian apabila dibawa ke Madinah, sekali lagi perlu memohon bantuan rakan-rakan Jemaah Haji untuk menumpang di bilik-bilik mereka.

Kemuncaknya ialah untuk melepasi pemeriksaan imigresen sebelum dibawa naik menaiki kapal terbang.

Sehari sebelum berangkat, sangat sukar untuk ais batu yang perlu diisi di dalam cold storage. Jika di Mekah harganya 5 riyal sahaja, tapi di Madinah harga yang ditawar oleh penjual ialah 30 riyal untuk 1 paket!

Selepas negosiasi, dapat juga dengan harga 30 riyal untuk 2 paket.

Itupun perlu bertanyakan dari banyak kedai barulah dapat jumpa yang sudi menjualnya.

Tong cold storage ini diisi dengan ais dan garam untuk mengekalkan suhu susu dalam keadaan sejuk supaya ia dapat bertahan untuk sampai ke Malaysia.

Keluar dari hotel kira-kira jam 10 malam, sebelum bergerak ke lapangan terbang. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Abdul Aziz, Madinah, ia berjaya melepasi pemeriksaan imigresen selepas sedikit soal selidik kira-kira jam 4 pagi.

Selepas masuk ke balai berlepas, barulah tong ini dibalut dengan plastik supaya ia lebih lama bertahan.

Kira-kira jam 7 pagi ia dibawa naik ke kapal terbang, berlaku sedikit kekecohan kerana krew kabin tidak benarkan ia dibawa masuk ke dalam pesawat kerana saiznya yang besar. Akhirnya ia diletakkan di dalam kabin bersama beg-beg penumpang.

Alhamdulillah, jam 9 malam ia selamat sampai di KLIA.

Kira-kira 16 jam perjalanan susu ini dari hotel di Madinah sebelum ia dimasukkan kembali ke dalam peti sejuk di Malaysia.

Teringat ada seorang jemaah tanya:

Eh, nanti tak jadi keju ke?”

Alhamdulilah, dalam masa 16 jam perjalanan ia kekal sebagai susu.

#MemoriHaji1438

Afyan Mat Rawi
www.afyan.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda