MASA bujang dahulu, tiada siapa kisah jika cik suami buat semua perkara yang disebut di bawah ini. Tetapi selepas berkahwin, semuanya perlu dielakkan supaya tidaklah menguris hati isteri. Hati-hati ok!

Jadi, janganlah terkejut pula kalau isteri tiba-tiba tidak mahu bertegur sapa. Adalah 5 perkara ini yang sudah kamu langgar. Silap haribulan kena tidur luar!

Jadi, apa kata cik suami baca perkongsian Akhtar Syamir tentang apa perkara yang perlu dielakkan selepas berumah tangga demi menjaga hati isteri tercinta.

* Sudah disunting mengikut standard penulisan BumBumCak.


5 Pantang Larang Lelaki Berkahwin

Perkahwinan ialah perkara yang terindah dalam kehidupan. Tidak semua dapat merasainya. Kepada yang terpilih untuk berumah tangga dan menjadi teman hidup seorang wanita, banyak perkara yang jika anda tidak buat, akan memberi impak positif di dalam hubungan suami isteri.

Saya pasti, ramai lelaki rasa diri hebat dan tidak perlukan apa juga tip, pandangan dan nasihat orang lain mengenai hubungan suami isteri. Seringkali bermain dalam kepala mereka; “Keluarga aku, hak aku. Orang lain jangan nak masuk campur, pandailah aku jaga bini aku.”

Ini 50 peratus benar dan 50 peratus lagi ego. Benar kerana memang ia hak anda. Tetapi manusia lumrahnya sering melakukan kesilapan tanpa sedar. Mungkin ada juga yang sebelum ini biasa melakukan perkara ini tanpa sedar yang ia sebenarnya mengundang perasaan tidak baik daripada isteri. Jadi di sini saya senaraikan 5 perkara yang tidak patut dilakukan atau pantang larang bagi lelaki berkahwin.

1. JANGAN PUJI WANITA LAIN DEPAN ISTERI

Sebenar mana pun pujian itu, tidak perlulah anda lafazkan di depan isteri. Naluri isteri sentiasa akan memproses pujian itu sebagai perbandingan terhadap dirinya. Hatinya pasti akan terguris walaupun anda ikhlas memuji atau mengagumi. Simpan saja dalam hati.

Jika wanita itu cantik, cuba berusaha jadikan isteri anda lebih cantik. Jika perempuan itu ada kelebihan dalam suatu perkara, isteri anda juga pasti ada kelebihannya tersendiri. Lebih baik pujian itu diberikan kepada isteri.

2. JANGAN LIKE GAMBAR WANITA LAIN DI MEDIA SOSIAL

Ini perlu sedikit perincian. Pokok pangkalnya untuk menjaga hati isteri. Gambar yang tidak perlu LIKE ialah gambar wanita selfie sendirian atau beramai-ramai dengan kawan WANITA lain. Namun, gambar wanita dengan suami mereka atau anak-anak mereka boleh dikatakan selamat untuk di LIKE. Perkara yang menjurus ke arah kekeluargaan juga tiada masalah.

LIKE itu bermakna suka atau sokong. Jika gambar wanita selfie dan anda LIKE, bermakna anda SUKA kepada gambar dan wanita tersebut. Apa perasaan isteri jika nampak anda suka dengan wanita lain? Jika isteri tidak tegur pun, sudah tentulah hatinya terguris.

3. JANGAN KONGSI VIDEO DAN GAMBAR WANITA LAIN DI MEDIA SOSIAL DAN APLIKASI CHAT SEPERTI WHATSAPP

Ini satu perkara yang bagi saya amat tidak menghormati pasangan. Kerana mata anda sudah tentulah tidak dijaga, ditambah pulak menggalakkan orang lain melihat benda yang sama.

Adakah perbuatan ini memberikan keseronokan? Atau anda saja nak sedapkan hati bila rakan lain pun buat benda sama? Bayangkan kalau isteri anda tengok. Mesti dia rasa yang dirinya tidak cukup untuk anda. Ini satu perkara yang amat menyedihkan. Dan apa pula pandangan orang sekitar anda terhadap perbuatan itu? Saya jamin mereka akan memandang serong terhadap anda.

4. JANGAN TENGOK WANITA LAIN DI HADAPAN ISTERI

Apabila saya katakan hadapan tidak bermaksud kat belakang boleh tenung perempuan lain ya. Yang saya maksudkan ialah apabila bersama isteri, elakkan memandang wanita lain, secantik mana pun wanita itu. Sekali terpandang sudah mencukupi. Tak perlu dua tiga kali tengok. Kenapa? Mestilah sebab cemburu. Cemburu itu sayang. Lagipun bukankah tidak elok tengok wanita lain lama-lama? Isteri itu halal, tengoklah puas-puas. Nak lebih daripada tengok pun boleh.

Nak mudah, sentiasa anggap isteri anda sentiasa memerhatikan mata anda dan mereka bijak menyembunyikan perbuatan mereka. Sedar-sedar sudah kena cubit, sudah merajuk, dan sudah bergaduh. Cuba terus alihkan pandangan ke arah bertentangan atau kepada isteri. Ini akan memberikan gambaran yang positif kepada anda. Kalau tidak percaya buatlah cara mengelak ini. Isteri anda pasti akan lebih sayang kepada anda.

5. JANGAN CERITA PENGALAMAN BERCINTA MASA LALU KEPADA ISTERI

Seindah mana pun pengalaman itu, biarkan ia berkubur. Tidak perlu menabur bara di hati isteri. Benar, perkara itu berlaku sebelum ada isteri, tetapi isteri pasti sentiasa akan membandingkan dirinya dengan pasangan yang lalu. Akan berlaku ungkit-mengungkit dan perlian serta sindiran sama ada daripada isteri atau anda sendiri. Yang lepas itu lepaskanlah. Letakkan saat-saat ini sebagai yang terpenting dan terindah. Jika isteri memujuk untuk bercerita, jangan layan. Tiada perkara yang baik akan terhasil daripada situasi ini.

Pokok pangkalnya, 5 perkara ini ialah untuk mengelakkan ketegangan dengan isteri. Kurangnya konflik akan menghasilkan keluarga harmoni dan gembira.

Jika penulisan ini panjang bagi anda, saya doakan penulisan saya ini akan sampai melalui isteri anda. Ini kerana, saya percaya kunci kepada hati lelaki terletak kepada kebijaksanaan isteri.

Sila share jika anda percaya penulisan ini boleh memberi manfaat kepada ramai orang.

Jika nak tag suami, lakukanlah dengan berhemah ye. Hati suami pun perlu jaga tau.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda