“EHH… %&*567! Kau dah kenapa brek tak pasal-pasal? Tak reti bawak kereta ke makcik tua ni!”

Pernah atau tidak terkeluar dialog di atas ketika sedang memandu dengan anak?

Setiap ibu bapa di dunia ini mahukan anaknya jadi insan berkeperibadian mulia. Pelbagai cara kita untuk membentuk akhlak dan personaliti si anak supaya jadi insan baik.

Tetapi tanpa kita sedar, perangai dan tabiat buruk yang kita tunjukkan di depan anak mampu mempengaruhi perwatakan mereka. Kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Agaknya, apakah kelakuan buruk kita yang akan ditiru anak?

1. CAKAP KASAR DAN GUNA BAHASA KESAT

Sikit-sikit memaki hamun, panas baran betul. Apabila teremosi lebih, kita terlepas cakap perkataan yang tidak sepatutnya didengari anak. Mereka akan beranggapan apa dilakukan kita itu tidak salah dan meniru segala kelakuan kita apabila sudah pandai menunjukkan emosi nanti.

2. TERLEBIH FOKUS GAJET

Bangun tidur capai telefon, waktu sarapan godek telefon, sebelum pandu kereta main telefon, balik kerja main telefon, waktu makan main telefon, waktu menonton televisyen main telefon lagi, dan sebelum hendak tidur disudahi pula dengan main telefon.

Anda secara tidak sedar sedang menunjukkan perangai tidak dapat hidup tanpa telefon. Tabiat ini sangatlah tidak elok untuk perkembangan anak kerana mindanya akan beritahu, telefon ialah hidup dan nyawa ibu dan bapanya. Daripada penilaian itu, mulalah anak menggelupur meminta diberikan gajet tanpa faham dan tahu tujuan menggunakannya.

Inilah juga punca anak tidak pandai bersembang dan bersosial. Kita sendiri susah hendak bersembang dengan anak. Ye lah, sibuk sangat dengan telefon.

3. ASYIK KRITIK

Lepas bersiap, dialog yang selalu terkeluar dari mulut;

“Ishh… Kenapalah make-up hari ni buruk betul. Badan pun gemuk sangat. Asyik buat salah hari-hari, make-up tak jadi lagi.”

Sebaiknya, janganlah mengkritik diri sendiri atau orang lain di depan anak. Lama-kelamaan anak boleh merasai tekanan kita itu dan dia mula hilang aura positif. Apa tidaknya, asyik dengar benda tidak baik dan negatif.

Inilah juga punca anak jadi celupar. Disebabkan sudah terbiasa dengar ayah dan ibu mengkritik orang di sana sini. Makanan tidak sedap, orang badan gemuk, dan macam-macam lagi komplen, anak-anak pun sejak kecil jadi pandai celupar. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, jika mahu anak laser macam Azwan Ali, banyakkan kritik sana sini.

4. TEKANKAN PERANAN JANTINA

Masih ada lagikah kalangan kita yang selalu sangat tekankan peranan jantina? Contohnya:

“Anak ibu lelaki, mesti macho. Mana boleh menangis.”

“Anak perempuan tak boleh main panas, nanti hitam dah tak cantik.”

Mahu salahkan siapa kalau anak lelaki kita membesar dengan sikap keras kepala dan ego? Anak perempuan pula membesar dengan cenggeng dan mengada-ngada. Satu lagi, jangan ajar anak perempuan saja kena pandai buat kerja rumah. Anak lelaki pun mesti selalu membantu ibu dan bapa mengemas rumah.

5. MEROKOK TIDAK SALAH

Selamba saja si ayah hembus asap rokok dalam kereta. Padahal bukan dia tidak tahu asap rokok membahayakan orang di sekelilingnya!

Kalau ayahnya setiap hari merokok depan anak, dia akan menganggap merokok bukan kesalahan. Mahu salahkan siapa pula kalau cikgu disiplin tiba-tiba panggil kita ke sekolah sebab anak ditangkap merokok dalam kawasan sekolah?

6. BANDINGKAN ANAK

Tanpa sengaja kita suka sangat membandingkan kemampuan anak dengan adik-beradik lain. Ada juga jenis suka bandingkan dengan anak kawan sendiri. Tolong hentikan! Sikap ini akan merosakkan keyakinan diri anak.

Inilah punca kenapa anak hilang keyakinan sampai suka memencilkan diri di sekolah. Sebab dia rasa diri tiada kemampuan dan tidak hebat seperti rakan sebaya lain.

7. BERTENGKAR DEPAN ANAK

Memang marah boleh datang bila-bila masa. Sekiranya berlaku depan anak, tahan sekejap dan bawa bertenang. Anak akan menyimpan segala maklumat dan kata-kata kita ketika bertengkar.

Nanti ketika bergaduh dengan kawan, dia sudah boleh lontarkan dialog bertengkar. Umur baru 5 tahun, tetapi skripnya seperti drama bersiri. Agaknya, di manakah dia belajar kalau bukan daripada kita?

Ingat, kita ialah role-model dan teladan terbaik buat anak. Jika kelakuan baik yang ditunjuk, makan baiklah perwatakan anak kita. Ibu bapa cemerlang, akan melahirkan anak terbilang. Wah, bersemangat pula hendak berubah hari ini!

Jom kita sama-sama berubah demi kebaikan diri dan anak.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda