TIADA ibu bapa sempurna, tetapi mahu mencari kesempurnaan memang mencabar! Kadangkala boleh mendatangkan tekanan kepada ibu bapa. Lagi-lagi anak zaman ini yang terdedah dengan pelbagai perkara negatif.

Berikut 15 tip dikongsikan Dr Rizanizam Zakaria dalam laman Facebook tentang bagaimana ibu bapa perlu ada teknik menyerap tekanan dalam mendidik anak-anak.


15 TIP HADAPI TEKANAN BAGI IBU BAPA

Tekanan emosi dan perasaan dalam mendidik anak ialah sebahagian pakej yang datang dengan status menjadi ibu atau bapa. Mari bersikap jujur dengan diri sendiri. Kita bukan superhero! Menguruskan urusan diri sendiri, keluarga, kerjaya dan anak-anak dalam masa sama ialah sumber tekanan yang datang hampir setiap hari. Kalau tidak betul gaya menguruskan tekanan ini, kita mungkin tersilap langkah.

Saya kongsikan 15 tip ini untuk panduan bersama:-

1. TANGGUHKAN REAKSI ANDA

Tidak kira seteruk mana pun masalah ditimbulkan anak, jangan terus bertindak. Tindakan serta-merta, selalunya didorong emosi (baca: amygdala hijack). Selalunya kesilapan bertindak berlaku ketika kita impulsive, bertindak melulu tanda memikirkan kesan. Jadi berhenti sejenak, fikir dengan otak rasional, bukan otak emosi. Kemudian baru tentukan tindakan kita dalam situasi tersebut.

2. BELAJAR TEKNIK RELAKSASI

Macam-macam teknik kita boleh pelajari daripada buku, alam maya mahupun profesional. Tidak semestinya terlalu rumit. Teknik pernafasan dalam (deep breathing technique – sedut tahan hembus dengan kiraan dan kitaran teratur), teknik distraction dan sebagainya sudah cukup berkesan dengan syarat dilakukan dengan betul dan konsisten.

3. PERBETULKAN FOKUS

Kita mudah terkesan dengan perkara kecil dan remeh seperti anak tumpahkan air, anak hilang jadual, anak berebut remote televisyen hingga kita lupa fokus lebih besar. Pilih pertarungan kita. Jangan sampai isu kecil seperti air tumpah menjadi luka besar pada emosi dan anak-anak yang kekal sampai bertahun. Fikirkan apa yang kita inginkan capai dalam situasi itu. Tugas anda mendidik dan bukan mengherdik. Ada masa diam dan tunjuk cara penyelesaian lebih berkesan daripada membebel berjam-jam sambil menyumpah seranah.

4. FIKIR PANJANG

Orang putih kata, ‘begin with end in mind’. Apabila ingin berbuat sesuatu kepada anak atau diri sendiri, fikirkan apakah kesan jangka masa panjang tindakan kita? Apa yang kita ingin capai daripada situasi itu. Kita mungkin puas hati seketika dapat lepas geram dengan memukul anak, tetapi kesannya kepada anak mungkin sampai bila-bila.

5. CARI HARI HUJUNG MINGGU UNTUK ANDA

Anda juga perlu cuti rehat daripada menjadi ibu bapa. Bilakah kali terakhir anda bercuti berdua dengan pasangan? Kalau rumah tangga dan anak-anak kelam kabut tidak tahu punca, mungkin sebenarnya itu signal meminta kita mohon cuti. Parkirkan anak di rumah ibu bapa, ganjarkan diri anda dengan percutian seketika.

6. CARI HOBI/AKTIVITI SOSIAL

Jangan ingat hobi dan bersosial hanya layak untuk orang bujang. Cari semula minat yang anda tinggalkan dek kesibukan menjadi ibu bapa. Jangan pencen awal bermain bola, membakar kek, menjahit manik, melukis, berkebun atau apa juga hobi yang membantu anda rehat dan rawat enjin.

7. URUS MASA

Bangun lambat, kerja tidak siap, anak lewat ke sekolah, kerja sekolah anak tidak siap – bahan asas yang cukup sempura untuk memulakan hari dengan keadaan tertekan. Susun semula prioriti kehidupan. Senaraikan apa yang perlu dibuat sekarang, kemudian dan akan datang mengikut ketetapan yang realistik. Kaji penggunaan masa. Buang tabiat membuang masa seperti melayan Internet tanpa tujuan, bersembang tidak bertopik atau drama yang bersiri-siri.

8. CARI KAWAN

Jangan ingat berkawan maksudnya ‘tak ingat anak bini’. Kawan ada ruang khas dalam hidup. Ia membantu menampung kelompongan yang ada dalam jiwa. Jangan duduk dalam gua dan berharap kita akan hidup gembira.

9. BERKONGSI

Setiap ibu bapa ada pengalaman tersendiri. Kongsi masalah kita, kongsi kejayaan kita. Belajar antara satu sama lain membantu membesarkan lensa kita dalam melihat cabaran mendidik anak-anak.

10. UBAH CARA FIKIR

Cara fikir kita menentukan emosi dan reaksi kita. Kalau kita rigid dan negatif dalam berfikir, emosi dan tindakan yang datang juga akan negatif. Contohnya anak buat salah, kalau kita fikir, “Kenapalah anak aku ini tak faham-faham!” – sudah tentu emosi yang akan terbit juga sama rasanya. Adakala kita berhenti dan ubah cara fikir, “Ada yang tak kenalah tu, mungkin dia penat agaknya.” Emosi dan tindakan kita sudah tentu berbeza.

11. JANGAN TINGGAL RIADAH FIZIKAL

Badan kita satu unit yang sama – emosi, fizikal, dan spiritual. Terabai satu bahagian, terabailah yang lain. Jangan pandang rendah impak bersenam kepada emosi anda. Cubalah baru tahu.

12. JAUHI BAHAN TIDAK SIHAT

Pemakanan tidak sihat, kopi berlebihan, bahan terlarang semuanya ada kesan pada keseimbangan tubuh badan. Jangan ambil mudah.

13. DAPATKAN BANTUAN

Sekiranya tekanan berpanjangan, melarat dan beri kesan pada fungsi seharian. Jangan bertangguh dapatkan penilaian profesional. Kemurungan, anxiety, psikosis, masalah ketagihan dan seangkatan dengannya, semua itu bermula daripada stres kecil.

14. TERIMA HAKIKAT – ANDA TIDAK AKAN JADI IBU BAPA SEMPURNA

Jangan terlalu taksub jadi sempurna dan takut berbuat salah. Sedar kesilapan dan perbaiki keadaan ialah jalan terbaik menjadi ibu bapa ‘sempurna’ untuk anak-anak kita. Jangan bandingkan situasi kita dengan ilustrasi palsu drama bersiri dalam media.

15. JANGAN LUPA TUHAN

Anak ialah amanah Allah. Allah jualah yang menjadi sumber kekuatan kita semua. Lebih dekat dengan Pencipta, lebih dekat yang dicipta kepada kita.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda