JIKA cik abang semua tahu sakitnya bersalin, pasti tiada permintaan untuk isteri bersalin lagi. Sakitnya bersalin hanya wanita yang rasa.

Sakit itu bukan hanya pada saat kelahiran, tetapi sepanjang tempoh kehamilan seperti alahan dan muntah teruk, sakit belakang, susah tidur hingga detik bersalin.

Tipulah jika seseorang perempuan itu tidak takutkan kematian ketika hamil dan bersalin. Setiap ibu pasti memikirkan tentang nasib anak jika ketiadaannya. Apa yang penting, ibu mesti sentiasa menjaga kesihatan sepanjang kehamilan.

Berikut perkongsian Dr Taufiq Razif tentang kisah kematian mengejut seorang ibu ketika melahirkan anak.


Tolong beranak lagi sayang!

Saya dulu main order je nak anak 11 orang kat isteri saya. Kononnya nak cukupkan kuota satu pasukan bola sepak apabila semua sudah besar nanti, tapi apabila dah tengok sendiri kesusahan isteri menjaga anak dan berdepan risiko bersalin, saya termenung sendiri.

Risiko bersalin bukan main-main. Memang melibatkan kesakitan dan nyawa. Silap hari bulan boleh melayang tanpa amaran awal. Macam terjadi pada kes kematian Julia Fransiska Makatey di Manado yang menggemparkan Indonesia suatu ketika dulu.

Arwah meninggal dunia ketika proses melahirkan walaupun sebelum itu sihat walafiat je. Arwah mulanya sudah ada tanda-tanda nak melahirkan tapi selepas 8 jam menunggu, masih tidak ada perubahan dan janin pun sudah mula menunjukkan tanda-tanda fetal distress, jadi doktor pun putuskan untuk lahirkan secara pembedahan.

Semasa pembedahan, darah hitam keluar daripada potongan pertama! Itu menandakan oksigen dalam darah arwah sudah makin berkurang! Alhamdulillah bayi dapat dikeluarkan. Semuanya kembali tenang. Tiba-tiba keadaan arwah makin teruk, ketepuan oksigen makin berkurangan dan akhirnya arwah diisytiharkan meninggal 20 minit selepas pembedahan itu dilakukan.

Apabila dibedah siasat, rupanya arwah mengalami emboli udara. Emboli udara itu la yang mengganggu peredaran darah di tubuh arwah. Emboli itu dijumpai di ruang jantung sebelah kanan arwah. Kes ini betul-betul buatkan saya tersentap seketika. Apabila pandang muka isterim saya jadi sayu je.

Sekarang saya sudah faham. Saya dah faham, kenapa la seorang wanita ni sangat mudah untuk masuk syurga. Cukup buat kewajiban agama dan taat kepada suaminya. Dulu saya pelik dan rasa tidak adil. Sekarang saya sudah sedar. Kesanggupan mereka berdepan dengan risiko kematian dalam menjadi penyambung mata rantai zuriat la yang menyebabkan martabat seorang perempuan diangkat tinggi Tuhan!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda