SAYA bukan anti perokok tetapi terpaksa mengadap juga golongan macam tu yang selalu buat saya cukup menyampah!

Rasa hormat jauh sekali, terutama masa hembus asap tu, macam langsung tak pedulikan orang sekeliling. Perlu ke merokok kat situ? Tak ada common sense ke? Situasi macam ni dah biasa kita nampak di restoran, pasar, stadium, taman permainan dan tempat rekreasi.

Ada sekali ketika saya makan dengan anak dan suami di Shah Alam, saya dengan sopan tegur seorang brader supaya dia matikan asap rokok sebab restoran penuh dan terpaksa duduk di sebelahnya kerana tak ada tempat lain.

Nak tahu apa jawapan dia bagi? Punyalah sakit hati!

“Kalau tak suka asap rokok… Pergilah makan kat kedai aircond…”

Boleh pula selamba senyum sinis, siap kawan-kawan ikut gelak. Rasa bangga sangatlah tu gamaknya!

Geram punya pasal, terus ajak suami keluar kedai dan cari tempat makan lain. Isunya sekarang, kami yang bukan perokok ini memang tak ada hak ke apa?

PEROKOK BUTA HURUF?

Salah ke saya tegur? Sedangkan terang-terang ada notis sebesar alam tulis, ‘NO SMOKING’ atau dalam Bahasa Melayu – ‘DILARANG MEROKOK’! Geng-geng perokok ni memang BUTA HURUF eh?

Bukan saja restoran, tapi kat shopping mall pun ramai spesies sama. Entah apa yang dibanggakan sangat dapat merokok depan papan notis amaran merah tu, mungkin sebab sudah bertahun tak pernah kena apa-apa tindakan.

Ditegur cara sopan, langsung tak makan saman. Kalau dijeling, haram dia nak ambil pot. Jadi, nak tegur macam mana lagi?

Sejak itu, saya memang dah haramkan diri jejakkan kaki ke beberapa kedai makan. Pergi taman permainan pun sudah jarang bawa anak, mungkin setahun dua atau tiga kali saja. Mungkin itulah saja cara terbaik yang boleh saya buat untuk anak selamat dan bebas daripada asap rokok.

Tapi, itu bukan bermakna anak kita bebas penyakit. Apa yang saya buat ni lebih kepada ikut konsep ‘MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI.

BILA MAHU BERUBAH?

Saya boleh saja terus elakkan diri dan anak-anak daripada terkena asap rokok, tapi sampai bila? Perlu ke dihalang anak-anak ke kawasan umum untuk berseronok hanya kerana mahu elak terkena asap rokok?

Bilakah golongan perokok ni mahu sedar? Perlu ke tunggu sampai berlaku kes kematian berkaitan asap rokok kat keluarga sendiri?

Larangan merokok di tempat awam ni bukan benda baru, tahun lalu Kerajaan sudah umumkan larangan merokok di tempat seperti restoran (ada atau tiada aircond), taman-taman umum dan rekreasi, bagi melindungi golongan bukan perokok (yang majoriti) daripada terkena bahaya asap rokok.

Saya tegaskan tiga kawasan itu dulu sebab semua lokasi tersebut ada ramai kanak-kanak. Tapi nampaknya, zon larangan merokok tu macam tak pernah wujud!

AYAH, PRIHATIN KESIHATAN ANAK!

Beberapa bulan lalu, saya masih ingat lagi peristiwa seorang bapa merokok sambil main bola dengan anaknya di taman.

Saya tengok, dia macam sudah biasa sangat dengan tabiat tu (merokok depan anak). Saya terfikir, apakah isteri sendiri tidak kisah? Tak pun isteri dah penat berleter sampai fed up dan biarkan saja. Kalau kat rumah macam mana? Terfikir pula, tak apalah, itu anak dia, asalkan bukan anak kita.

Selepas beberapa teguran lembut tak berjaya, saya tarik anak ke kawasan lain. Sebenarnya, saya hilang mood, mahu angkut anak balik terus ke rumah, kasihan pula dia masih tidak puas main.

Kalau cik abang adik perokok semua rasa saya salah, mungkin pandangan kita berbeza! Kamu merokok, tapi suami saya tidak. Kalau suami saya sendiri tak merokok, kenapa perlu anak saya bau asap rokok kamu? Boleh terimakan alasan saya?!

Senang cerita macam ni. Saya cuma nak tegaskan, saya tak halang pun cik abang adik perokok semua merokok, tapi hormatilah orang sekeliling. Kalau nak merokok tu, pandanglah kiri kanan. Susah sangat ke?

MANA PEMANTAUAN?

Awal pelaksanaan larangan merokok tahun lalu, rancak juga pihak berkuasa buat pemantauan.Tapi lepas tu, krik krik!

Mungkin, pihak berkuasa tak ada cukup kakitangan nak laksanakan tanggungjawab tu. Jadi, memang pentinglah kerjasama semua untuk beri kesedaran kepada golongan perokok ni.

Tahu tak, perokok yang dicekup merokok kat kawasan larangan merokok boleh dikenakan denda? Kalau bersalah boleh dikenakan kompaun minimum RM250 hingga maksimum RM1,000.

​​​​​​​Kalau gagal bayar, perokok akan didakwa di mahkamah dan boleh dihukum maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-dua sekali.

Ye lah, tak pernah kena lagikan?

Paling tak pun, tuan kedai tegurlah pelanggan kamu tu! Notis larangan merokok kamu itu tak ‘jalan’ langsung. Perokok tu langsung tak pandang sebab mana pernah orang lain berani tegur mereka!

Tapi tuan kedai cuba la fikir, tak mungkinlah perokok rasa tergugat dengan teguran pelanggan lain. Kalau ikut pengalaman saya, antara teguran lembut dan kasar yang pernah saya buat, hanya 10 peratus perokok faham. Selebihnya buat BODOH! Ye lah, orang bodoh mestilah buat bodohkan?

Akhir kalam, saya tak ada masa nak larang cik abang adik perokok berhenti merokok. Sendiri punya badan, sendiri mahu tanggung. Tapi kalau melibatkan orang lain, buta hati dan perut namanya tu.

Tapi, kalau masih tak mampu nak tahan merokok kat tempat awam. Boleh je merokok. Tapi ada syarat, “HAH, SILA TELAN ASAP-ASAP ROKOK TU SEKALI!”

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda