JIKA diturutkan adat pantang zaman nenek moyang kita memang tidak dibenarkan untuk minum air yang banyak. Ada yang kata ia menyebabkan faraj berair. Allahualam!

Saya sendiri pernah mengalaminya ketika berpantang anak sulung. Tanpa pengetahuan dan hanya menurut, akhirnya saya mengalami sembelit teruk. Sakitnya!

Banyak lagi rupanya kesan tidak minum air ketika berpantang ini kepada ibu selepas bersalin. Ini kami kongsikan kisah pantang adat lama yang dipetik daripada Medical Mythbuster Malaysia, semoga kisah ini menjadi pengajaran buat bersama.

BACA>>> 15 Resepi Lauk Pauk Untuk Ibu Berpantang- Gerenti Sedap, Satu Keluarga Boleh Makan

CERITA BENAR PANTANG IKUT MAK MERTUA

Puan H berusia 35 tahun, baru melahirkan anak. Puan H tidak menghidap sebarang penyakit dan proses kehamilan berjalan lancar sehingga selamat melahirkan anak tanpa komplikasi. Pendek kata Puan H berisiko rendah dan sangat bernasib baik. Rupa-rupanya nasib baik Puan H hanya berhenti setakat saat melahirkan anak.

Kali ini Puan H berpantang di rumah mak mertua. Tiba di rumah bermulalah episod berpantang ikut nasihat mak mertua. Kalau dengan mak sendiri bolehlah nak merungut dan lawan cakap. Tapi dengan mak mertua susahlah, kena patuh, paksa relalah jawabnya. Kalau tidak ikut, takut betul pula cakap dia. Rupa-rupanya mak mertua ini taksub sungguh dengan pantang. Macam-macam makanan tidak boleh dimakan. Yang paling menyiksakan adalah kena pantang air. Bukan saja air minum dicatu, sebarang makanan yang berair pun tidak boleh ambil.

HARI KE-4 SELEPAS BERSALIN BERMULA TANDA-TANDA TIDAK SIHAT

Hari ke 4, Puan H dah mula rasa tidak sihat. Badan letih dan rasa macam nak demam. Hari demi hari, kesihatan merosot dan pada hari ke 7, Puan H rasa sesak nafas. Puan H di bawa ke unit kecemasan dan didapati mengalami dehidrasi (kurang air) yang teruk.

Pemeriksaan dan ujian menunjukkan ada tanda jangkitan paru-paru dan fungsi buah pinggang terjejas akibat dehidrasi. Urea darah 31 mg/dl dan creatinine 201 umol/L. Puan H dimasukkan ke ICU dan memerlukan rawatan rapi. Kelam kabut semua para doktor dari beberapa jabatan mengendalikan kes Puan H. Sehingga hari ini puan H masih di ICU dan bertarung nyawa untuk kali kedua selepas melahirkan anak.

BACA>>> Mahu Berpantang Sendiri di Rumah? Ikut 11 Tip Mudah Ini

Ini adalah cerita yang sering berlaku dalam masyarakat kita dan Puan H menghadapi kesan buruk daripada amalan berpantang yang keterlaluan. Dengan tahap nutrisi dan hidrasi yang teruk, tubuh lebih mudah dijangkiti penyakit dan apabila ini berlaku, badan tidak mampu utk melawan dan memerlukan bantuan tambahan.

Hanya kerana kepercayaan dan amalan yang salah, seseorang yang sihat semasa hamil dan melahirkan anak dengan selamat boleh jatuh sakit tiba-tiba semasa berpantang. Anak yang baru lahir pun tidak dapat disusukan.

Mungkin ramai lagi yang senasib dgn Puan H apabila terperangkap di dalam situasi yang sama berpantang di rumah mak mertua atau mungkin dgn emak sendiri. Ramai juga yang mempunyai emak dan mertua yang terpelajar dan berpengetahuan tetapi dikawal pula oleh opah atau nenek yang masih kuat berpegang dgn kepercayaan yang salah tentang pantang.

Dato’ Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Medical Mythbusters Malaysia

SUMBER: Medical Mythbuster Malaysia

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda