MUNGKIN ada kalangan anak kita yang sering mengadu sakit kepala walaupun simptom itu boleh dianggap perkara biasa dan tidak serius pada kanak-kanak.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna kita boleh abaikan saja masalah itu. Mesti ambil tahu kenapa mereka sakit dan cuba cari cara mengatasinya dengan betul.

TAHUKAH KITA?

Sakit kepala ialah antara 3 jenis kesakitan yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak. Dianggarkan 70 peratus kanak-kanak sekolah mengalami sakit kepala, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Sakit kepala berulang (chronic headaches) pula lebih banyak berlaku di kalangan kanak-kanak berumur 8-15 tahun. Selalunya, punca sakit kepala mereka tidak bahaya dan akan hilang secara semula jadi apabila meningkat dewasa.

Bagaimanapun, keadaan akan jadi serius disebabkan jangkitan kuman atau kecederaan kepala hingga menyebabkan pembentukan darah beku di otak.

Pemeriksaan lanjut seperti pengambilan darah atau pemeriksaan imbasan orak seperti CT Brain atau MRI Brain perlu dilakukan sekiranya simptom semakin serius.


KENAPA DAN JENIS SAKIT KEPALA?

Ada empat jenis sakit kepala utama yang boleh dibahagikan kepada sakit kepala akut, sakit kepala kronik dan berulang, migrain dan sakit kepala tegang. Setiap satu jenis sakit kepala itu bolehlah diperincikan seperti berikut:

1. SAKIT KEPALA AKUT

  • JANGKITAN VIRUS

Jangkitan virus ringan seperti selesema dan demam. Bagaimanapun, jangkitan penyakit berjangkit yang serius seperti demam denggi, malaria dan demam kepialu juga boleh jadi punca.

  • SINUS

Sinus ialah laluan udara yang terletak antara tulang muka dan tulang tengkorak. Kanak-kanak akan mengadu sakit kepala apabila laluan udara ini dijangkiti dan dipenuhi cecair atau lendir, keadaan ini dikenali sebagai sinusitis.

  • MATA PENAT

Sakit kepala boleh juga terjadi apabila otot di sekeliling mata jadi penat. Ia mungkin berlaku apabila kanak-kanak mengalami masalah rabun dekat atau lapisan kornea tidak rata (astigmatism) menyebabkan mereka mengalami ketegangan semasa melihat.

  • GLAUKOMA

Glaukoma ialah keadaan apabila tekanan bola mata meningkat dan keadaan ini menyebabkan sakit kepala.

  • GIGI BERNANAH

Gigi bernanah atau jangkitan gusi juga boleh menjadi punca kanak-kanak sakit kepala.


2. SAKIT KEPALA KRONIK ATAU BERULANG

Kanak-kanak yang mengalami sakit kepala kronik jarang mendapat masalah gangguan otak serius seperti ketumbuhan otak, pembesaran arteri secara berlebihan atau kemerosotan fungsi otak.

Gejala biasa berlaku ialah muntah, hilang penglihatan, lemah anggota badan, sawan atau kemerosotan ingatan. Mereka biasanya mengalami migrain atau sakit kepala disebabkan ketegangan.


3. MIGRAIN

Migrain ialah sakit kepala yang rasa seperti sebelah kepala menyucuk-nyucuk, bermula pada dahi dan tepi kepala atau kedua-dua bahagian kepala. Kanak-kanak mungkin juga rasa loya dan muntah serta mengadu mata berpinar selain turut menjejaskan ketenangan dan keselesaannya.

Kanak-kanak migrain lebih selesa dengan suasana senyap dan gelap untuk berehat, kerana suasana bising dan terang menyebabkan sakit kepala jadi semakin teruk.


4. SAKIT KEPALA TEGANG

Sakit kepala ini biasa terjadi pada kanak-kanak, dikenali sebagai sakit otot kepala. Ia berpunca daripada ketegangan otot pada bahagian dahi dan tepi kepala. Sakit kepala ini selalunya disebabkan rasa bimbang, tekanan emosi atau situasi tegang.


RAWATAN

1. UBAT

Biasanya, doktor akan memberikan ubat tahan sakit untuk mengurangkan sakit kepala seperti Paracetamol atau Neurofen. (Sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu)

2. JUMPA PAKAR

Sekiranya anak kita mengalami sakit kepala sehingga mengganggu aktiviti atau pembelajarannya, sila bawa berjumpa doktor pakar untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

3. CATAT

Catatkan kekerapan anak kita mengadu sakit kepala kerana ia penting bagi membantu doktor membuat keputusan sama ada membuat pilihan imbasan otak yang lebih tepat seperti CT Scan, MRI atau EEG.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda