MASALAH kaki kejang ketika hamil sebenarnya normal. Walaupun biasa berlaku, tetapi apabila sesekali ia datang, memang menyakitkan, tambahan lagi apabila berada pada fasa akhir kehamilan.

Kebiasaannya, kaki kejang berlaku ketika sedang tidur malam atau bangun pagi. Keadaan akan jadi lebih teruk jika tidur dalam keadaan suhu terlalu sejuk. Ini kerana perut yang besar menyukarkan pergerakan kita untuk meredakan kesakitan itu.

Apakah punca dan bagaimanakah mengatasinya?

PUNCA KAKI KEJANG SEMASA HAMIL

1. KALSIUM DAN MAGNESIUM TIDAK CUKUP

Ibu hamil memerlukan banyak kalsium, bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga bayi sebagai bekalan untuk pembentukan badan. Jika bayi tidak dapat kalsium mencukupi daripada sumber makanan ibu, bayi akan menyerap kalsium daripada tubuh ibunya.

2. LEBIH FOSFORUS

Fosforus biasanya ada dalam daging sudah diproses, minuman bergas dan makanan ringan. Jadi, elakkan semua makanan yang boleh menyebabkan fosforus berlebihan.

3. RAHIM SUDAH MEMBESAR

Uterus yang semakin membesar memberi tekanan kepada saraf bahagian kaki yang jadi punca kaki mudah kejang.

4. OTOT LETIH

Kaki akan mudah letih kerana berdiri terlalu lama atau disebabkan pergerakan yang membebankan kaki. Berat ibu yang semakin bertambah juga menambah beban kepada otot kaki.


APA PERLU BUAT KALAU KAKI KEJANG

Ketika kaki kejang, ada teknik melegakannya tetapi apabila hamil memang sukar kerana saiz perut yang besar.

Tetapi jika boleh mulakan dengan cara ini:

  • Luruskan kaki perlahan-lahan dan bangun (boleh minta bantuan suami atau sesiapa berdekatan ketika itu).
  • Cuba jalan beberapa minit hingga hilang rasa sakit pada bahagian kejang tadi.
  • Urut otot kaki pada bahagian kejang dengan minyak panas.
  • Mandi air suam atau tuam kaki dengan air suam.

Nota: Bagaimanapun ada beberapa ibu hamil yang langsung boleh menggerakkan kaki, jadi biarkan dahulu serangan kaki kejang itu hingga hilang sendiri. Hanya selepas itu, baru gerakkan kaki dan mulakan berjalan.


TIP ELAK KAKI KEJANG KETIKA HAMIL

1. MINUM BANYAK AIR

Ibu hamil disaran untuk minum banyak air supaya badan sentiasa terhidrat.

2. PAKAI KASUT SESUAI

Sebaiknya jangan guna kasut bertumit sepanjang kehamilan. Guna kasut sesuai yang tidak terlalu tinggi kerana boleh membebankan otot-otot kaki.

3. MANDI AIR SUAM

Bagi merehatkan keletihan otot-otot, cuba mandi air suam sebelum tidur.

4. TIDUR CARA BETUL

Betulkan cara tidur. Elakkan tidur dengan jari kaki menghala ke atas atau lebih tinggi daripada badan kita.

5. ELAK OTOT LETIH

Jangan berdiri terlalu lama atau menyilang kaki semasa duduk, nanti otot kaki cepat lebih.

6. SAPU MINYAK PANAS

Minta bantuan suami sapukan minyak panas dan urut bahagian kaki sebelum tidur.

7. YOGA

Senaman yoga baik ketika kehamilan. Jadi apa kata amalkan bagi membantu mengatasi masalah kaki kejang.

8. SENAMAN REGANGAN

Berdiri 1 meter dari dinding dan unjurkan badan ke depan dengan tangan diregangkan untuk menyentuh dinding. Pastikan tapak kaki melekap pada lantai. Tahan selama 5 saat. Boleh ulang senaman selama 5 minit, 3 kali sehari sebelum tidur.

9. SENAMAN TAPAK KAKI

Bengkokkan tapak kaki ke bawah dan kemudian tegakkan ke atas dengan cepat sebanyak 30 kali. Buat untuk kedua-dua belah kaki. Kemudian, ulangi dengan membengkokkan tapak kaki ke atas sebanyak 8 kali dan bawah 8 kali.

10. PASTIKAN KALSIUM MENCUKUPI

Boleh ambil makanan tambahan yang mengandungi kalsium sebagai alternatif tetapi dengan nasihat pakar.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda