PROSES berpantang ialah fasa mencabar bagi golongan ibu selepas bersalin kerana badan  sedang dalam proses pemulihan selain turut memerlukan masa rehat yang cukup.

Selain sebagai panduan kepada kaum ibu, simptom di bawah ini juga boleh dijadikan rujukan kepada suami supaya lebih peduli, dan ambil tahu mengenai kesihatan dan kesulitan yang sedang dihadapi isteri.

1. PENDARAHAN POSTPARTUM

Pendarahan ini akan diiringi dengan tanda lain seperti denyutan jantung pantas, pening kepala, berpeluh dan rasa seperti hendak pitam.

Sekiranya pendarahan semakin banyak dan tuala wanita asyik penuh atau keluar ketulan darah beku besar, perlu ke hospital dengan segera.

2. SAKIT KEPALA BERPANJANGAN

Ini antara kesan sampingan suntikan epidural, ibu akan mengalami sakit kepala yang teruk apabila duduk atau berdiri.

Jika dalam tempoh 3 hari selepas bersalin masih mengalami sakit kepala teruk, itu mungkin tanda pra-eklampsia yang disusuli tahap penglihatan kabur atau loya.

3. TEKANAN DARAH TINGGI

Tekanan darah akan diambil setiap enam jam pertama selepas bersalin. Jika angka di bawah (diastolik) lebih 90, ini mungkin tanda pra-eklampsia dan berisiko mengidap eklampsia sepenuhnya.

Namun, jika diiringi sakit kepala, penglihatan kabur atau rasa loya, terus ke hospital segera.

4. SAKIT ATAS ABDOMEN

Keadaan ini jarang berlaku dan dikenali sebagai sindrom HELLP. Pastikan tiada tanda lain selepas dua hari bersalin seperti penat, muntah, dan loya serta rasa sakit sekitar bahagian atas abdomen.

HELLP akan menjejaskan fungsi hati. Gejala ini perlu diperiksa segera. Pergi ke hospital terdekat.

5. NAFAS PENDEK

Jika rasa sesak nafas dan tidak pulih walaupun selepas berehat, kita memerlukan bantuan segera. Keadaan ini mungkin disebabkan darah beku tersekat pada salah satu saluran darah dalam paru-paru (embolisme pulmonari).

6. SAKIT DADA

Ini mungkin disebabkan jangkitan pada dada atau ketegangan otot akibat meneran semasa bersalin. Namun, mungkin juga tanda embolisme pulmonari. Pastikan segera ke hospital apabila sakit dada diiringi sesak nafas dan batuk berdarah.

 7. SAKIT BETIS

Kesakitan itu mungkin disebabkan trombosis vena dalam yang menyebabkan pembekuan darah pada otot dan berisiko membawa maut. Tanda lain ialah merah di pelipat dan rasa berat atau panas di bahagian darah beku.

8. DEMAM PANAS

Demam panas dan menggigil ialah salah satu tanda jangkitan. Bahagian yang biasa terkena jangkitan ialah ruang antara vagina dan rektum (perineum), luka pembedahan caesar, saluran kencing atau uterus (rahim).

Jika mengalami jangkitan dalam rahim, kita akan rasa sakit di bahagian perut dan keluar darah faraj yang busuk (lokia).

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda