PAKAI epidural saya sakit belakang bertahun-tahun lamanya lepas beranak! Menyesal!

Kakak kepada kakak angkat, sepupu belah ayah saya pakai epidural tu, dia lumpuh separuh badan pastu. Takut lak saya nak ambil

Tak apa doktor, saya nak rasa sakit bersalin tu. Boleh hapuskan dosa” (setengah jam lepas tu menangis minta epidural)

Suami saya tak bagi ambil epidural tu, boleh sebabkan lumpuh katanya

Ini antara sebab-sebab orang tidak mahu suntikan ini. Sakit bersalin bukan main-main oi. Setakat contraction sikit-sikit boleh senyum lagi. Cuba kalau sakit betul-betul datang tengok macam mana.

Kalau terpotong hujung jari masa membawang pun dah kalut, belum lagi rasa sakit bersalin macam mana.

BACA>>> Tentang Suntikan Epidural yang Perlu Ibu Hamil Tahu

EPIDURAL ITU APA?

Salah satu teknik pelega kesakitan yang diberikan untuk pesakit dalam konteks ini untuk orang nak bersalin. Ada saja sebab-sebab lain boleh pakai suntikan ini, memandangkan saya ini doktor bersalin, so saya cerita apa yang saya tahu saja ye.

Tidak ada ianya hilangkan 100% kesakitan itu, tapi rasa sakit itu akan jadi kurang dan ibu rasa selesa dan tenang nak ‘bertarung’ untuk berjam-jam lamanya.

Ada satu plastik halus dimasukkan ke dalam ruang epidural L4-L5 atau L5-S1. Memakan masa 20 minit untuk nak buat dan 20 minit untuk bertindak balas. Dipasang oleh doktor bius, bukan doktor bersalin.

Perlu berjaga-jaga jika seseorang itu pernah buat pembedahan pada tulang belakang atau ada masalah pembekuan darah.

Kalau sudah pasang ia kena ada pemantauan graf jantung anak (CTG) secara terus menerus dan pemantauan tekanan darah ibu.

APA BAGUSNYA EPIDURAL?

  1. Antara banyak-banyak cara untuk mengurangkan rasa bersalin ini, epidural adalah jenis yang terbaik.
  2. Tidak mengantuk. Baby dalam rahim pun tidak mengantuk.
  3. Kalau perlu caesaerean, tidak perlu ubat lain atau cucuk lain tempat untuk bius. Doktor akan ‘top up’ epidural sebelum caesarean dilakukan.

KESAN BURUK YANG BOLEH TIMBUL

  1. Tidak berkesan mengurangkan sakit (1 dalam 10)
  2. Mengigil dan gatal-gatal
  3. Tekanan darah menjadi terlampau rendah (1 dalam 50)
  4. Sakit kepala yang amat sangat (1 dalam 100)
  5. Gangguan sistem saraf sementara (1 dalam 1,000)
  6. Gangguan sistem saraf kekal (1 dalam 13,000)
  7. Jangkitan meningitis (kurang 1 dalam 50,000)

Dilaporkan bahawa hampir 25% ibu mengandung akan menghidapi sakit belakang sehingga 6 minggu selepas bersalin. Terdapat banyak kajian membandingkan ibu mengandung yang mendapat suntikan ini dengan yang tidak (hanya suntikan Pethidine sebagai penahan sakit) menunjukkan peratusan insiden sakit belakang yang SAMA dalam kedua-dua kumpulan.

Kajian menunjukkan bahawa tiada perbezaan dalam insiden sakit belakang selepas bersalin di antara kumpulan ibu yang tidak mendapat epidural dan ibu yang mendapat suntikan ini pada hari pertama dan hari ketujuh selepas kelahiran.

Namun, 3 bulan selepas bersalin, ibu yang tidak mendapat epidural pula lebih ramai yang masih sakit belakang berbanding yang mendapat suntikan ini. Macam mana itu? Tidak dapat epidural pun sakit belakang?

BACA>>> 9 Tip Legakan Rasa Sakit Saat Bersalin

KENAPA SAKIT BELAKANG TERJADI SELEPAS BERSALIN?

Sewaktu mengandung, perubahan hormon menyebabkan ligamen tulang termasuk ligamen di pelvis menjadi longgar dan memudahkan kecederaan terjadi kepada ibu. Bayi dan rahim yang membesar boleh menekan saraf-saraf dalam rongga pelvis menyebabkan sakit belakang.

Kandungan yang besar dan perubahan hormon juga menyebabkan perubahan kepada struktur tulang belakang (lebih melentik; lumbar lordosis) bagi menstabilkan pusat graviti ibu; malah proses tulang belakang untuk kembali ke kedudukan asal selepas bersalin itulah yang menyebabkan sakit belakang.

Sakit belakang antaranya disebabkan postur badan yang tidak betul (jalan dan duduk membongkok), kurangnya senaman (tulang belakang jadi keras dan tak fleksibel), otot perut dan belakang (core muscles) yang lemah, cara kerja yang tertumpu kepada satu posisi (duduk lama di pejabat) dan cara mengangkat barang berat yang tidak betul. Pendek kata, postur yang salah menyebabkan sakit belakang.

Penggunaan epidural semata-mata bukan punca utama sakit belakang. Betulkan fakta. Jangan dengar cakap-cakap orang

Yang menanggung sakit bersalin itu awak. Bukan suami atau makcik bawang yang mengecam penggunaan epidural.

Satu lagi, bukan semua hospital ada servis epidural ini. Kalau ada pun, untuk pesakit tertentu bergantung kepada kakitangan bius yang ada untuk pemantauan. Tanya dulu ok?

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai perubatan
Kesihatan Wanita & Kehamilan

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda