MUSIM beraya boleh jadi musim sakit juga kerana ramai orang cuai mengawal pemakanan yang diambil. Ini termasuk makan terlampau banyak dan tidak beringat tanpa menghiraukan aspek kebersihan dan kesihatan.

Musim raya juga jadi hari ‘balas dendam’ kerana sudah sebulan berpuasa. Inilah antara sebab yang mengundang pelbagai penyakit seperti gastrik, cirit-birit, keracunan makanan hingga gejala lain yang memudaratkan kesihatan.

Doktor Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah sudi berkongsi tentang beberapa penyakit yang sering berlaku ketika raya, berserta punca dan cara pencegahan supaya kita dapat mengelakkan diri daripada terkena ‘penyakit raya’ itu.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. 


Hari ini ramai datang klinik minta sijil sakit (MC). Katanya, sakit muntah dan cirit-birit selepas masuk hari kedua puasa. Berlarutan sampai hari ini.

Doktor kena beri cuti pada saya, jika tidak lagu mana saya nak pergi kerja? Terpaksa bertuala sepanjang masa.” Gesa seorang pesakit separuh umur. Nampak kerut muka, memang sah dia cirit.

Saya terpaksa ambil MC juga doktor. Walaupun tidak cirit-birit, tapi anak saya loya muntah dan berak cair sejak kelmarin lagi. Naik pusing sudah kepala ini berjaga malam.” Rungut seorang ibu muda yang bawa anaknya berubat kerana muntah dan berak.

Biasanya doktor akan berikan MC kepada yang berindikasi tinggi jika mereka pergi kerja akan menyusahkan kehidupan. Cirit-birit tidak dapat disahkan mana-mana ujikaji darah pun. Ia hanya melalui penceritaan pesakit dan kaum kerabat yang boleh dipercayai.

Jika peringkat teruk baru doktor boleh perhatikan nadi, tekanan darah dan lendur kulit, mengesahkan bahawa pesakit dalam kekeringan. Selain itu, hanya kepercayaan jalan cerita, lalu doktor memberikan rawatan dan keluarkan surat cuti.

Kami sudah mengagak kejadian cirit-birit akan berlaku setiap kali musim perayaan. Puncanya, keracunan makanan.

APA MAKSUD KERACUNAN MAKANAN?

Ia bukan bermakna pesakit makan racun, tetapi makanan yang diambil pesakit itu boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh sama ada baru dihidangkan atau sudah disediakan sejak sehari lalu.

5 PUNCA UTAMA KERACUNAN MAKANAN

1. MAKANAN BASI

Mengambil makanan yang sudah lama disediakan. Makanan tersebut sudah hampir basi atau basi tanpa disedari kita.

2. MAKANAN PELBAGAI

Makan makanan dalam bentuk pelbagai. Interaksi sesama bentuk resepi dalam perut kita menyebabkan cirit-birit. Contohnya mengambil kuih raya, minum kopi atau air bergas dan tapai.

Interaksi makanan ini boleh menyebabkan perut bergelora. Tapai mempunyai sedikit alkohol di dalamnya. Ia bukan arak, tetapi hasil penapaian beras dengan ragi menyebabkan terbentuknya alkohol yang manis itu.

3. INTERAKSI UBAT DENGAN JUADAH

Keadaan ini juga boleh berlaku. Oleh itu, sila perhatikan masa yang tepat ubat-ubatan perlu diambil. Jika arahan menyebut makan ketika perut kosong, wajib diambil ketika perut belum berisi dengan juadah raya kerana interaksi negatif antara ubat dan makanan akan menyebabkan penyerapan ubat terganggu. Jika timbul cirit-birit, lagi menyusahkan diri kita.

4. MINUM AIR TIDAK DIMASAK

Tahap suhu memasak air paling minimum ialah 85ºC. Dipanaskan selama 3 minit. Biasanya dapur gas di rumah kita, tahap menggelegak itu, suhu rebusan sudah mencapai 100ºC. Minimum 60 saat ketika menggelegak sudah memadai. Tetapi lebih lama lebih baik agar semua bakteria dan virus mati.

Air tidak dimasak ini dikatakan ‘racun’ apabila mengandungi kuman berbahaya. Dahulu wabak taun (kuman kolera) boleh merebak. Tetapi sekarang sudah jarang didengari. Ini kerana sistem kumbahan, kebersihan dan kawalan punca sudah dijaga dengan baik.

Namun, ia boleh muncul jika kita tidak berhati-hati. Kuman-kuman lain seperti pencemaran e-coli juga boleh menyebabkan kehidupan kita tidak keruan akibat cirit-birit. Justeru, minumlah air dimasak.

Bagaimana pula ais? Ia juga boleh menjadi punca jika sumber pengilang ais tidak menjaga kebersihan dan menggunakan air yang tidak dijamin mutunya. Syarikat pengilang ais wajib mematuhi syarat-syarat yang dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

5. PENGGUNAAN PERALATAN TIDAK BERSIH

Biasanya boleh berlaku dalam keadaan sibuk, lupa untuk membersihkan segera pinggan mangkuk selepas digunakan. Kemudian kita basuh semula dalam keadaan cincai. Makanan basi tidak terhapus seluruhnya. Kuman pun banyak melekat pada pinggan.

Basuh menggunakan sabun sudah memadai tetapi perlu dilakukan dengan teliti, jangan tergesa-gesa. Kepada ibu bapa yang ada anak kecil, basuh botol susu anak dengan cara yang betul. Sental baki susu yang ada dalam botol. Kemudian rendam dengan air panas. Tidak perlu direbus botol susu itu.


LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

1. PEMERIKSAAN DAN RAWATAN SEGERA

Sila dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di klinik, sama ada klinik Kerajaan atau swasta. Doktor akan menilai sejauh mana keterukan cirit-birit melalui pemeriksaan tanda-tanda vital seperti tekanan darah, suhu dan sebagainya.

2. AMBIL UBAT YANG DIBEKALKAN

Ambil ubat yang dibekalkan (jika tidak dimasukkan ke hospital). Doktor akan membekalkan garam gantian bagi menggantikan semula air dan garam galian selepas cirit-birit.

3. BANYAK MINUM AIR

Banyakkan minum air, walaupun selalu muntah dan berak. Setidak-tidaknya sebahagian kecil dapat diganti dengan minum air tadi.

4. ELAK MAKAN MAKANAN BASI

Elakkan makan makanan yang sudah basi atau tidak diketahui status apabila dimasak. Tuan rumah rasanya tidak berkecil hati jika kita tidak makan. Buatlah alasan perut sudah penuh. Memang pun, sebelum tengah hari perut sudah sendat dengan makanan. Kita makan juga kerana nafsu saja.

5. ELAK MAKAN JUADAH BERLEMAK, GAS, KAFEIN DAN PEDAS

Elakkan juga percampuran makanan seperti  disebutkan di atas tadi.

6. JAGA DENGAN TELITI KEBERSIHAN

Pastikan kita jaga kebersihan dengan teliti seperti menyediakan makanan termasuk pinggan mangkuk dan air.

7. REHAT YANG CUKUP

Banyakkan doa, jangan hiraukan segelintir manusia yang anti-doa.

Cirit-birit biasanya akan hilang dalam tempoh 24 jam. Jika berlarutan, sila kembali semula ke klinik. Kemungkinan besar kita akan dimasukkan ke wad hospital bagi rawatan lanjut.

SUMBER: Suhazeli.Com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda