KITA mungkin pernah dengar tentang masalah air ketuban kurang hingga menyebabkan ibu hamil terpaksa bersalin awal kerana khuatir menyebabkan anak lemas.

Tetapi adakah kita sendiri pernah mengambil tahu tentang berapakah jumlah air ketuban dalam kandungan? Adakah pernah tanya kepada doktor sama ada air ketuban kita normal atau sebaliknya.

Ya, kita juga perlu ambil tahu tentang air ketuban. Air ketuban berlebihan atau kurang adalah tidak normal untuk bayi dalam kandungan. Sekarang, baca artikel ini untuk ketahui lebih lanjut tentang air ketuban:

APA ITU AIR KETUBAN?

Air ketuban ialah cecair yang melindungi janin dalam rahim ibu. Air ketuban terhasil selepas kantung ketuban terbentuk, iaitu sekitar 12 hari selepas pembentukan janin. Fungsi air ketuban ialah melindungi janin, membantu perkembangan, otot, paru-paru dan sistem pencernaan janin.

Air ketuban terletak dalam kantung ketuban. Warna air ketuban jernih dan sedikit kekuningan serta tidak berbau. Dalam air ketuban inilah janin terapung, bernafas dan bergerak.

Janin juga menelan air ketuban dan mengeluarkannya sebagai urin kemudian menelannya lagi yang bertujuan menjaga kestabilan jumlah air ketuban. Jumlah air ketuban yang terlalu banyak atau terlalu sedikit boleh membahayakan kehamilan.

KOMPOSISI DAN JUMLAH AIR KETUBAN

Air ketuban mengandungi nutrisi, hormon dan sel pembentuk kekebalan tubuh yang berguna untuk membantu perkembangan janin. Pada usia kandungan 20 minggu, komposisi air ketuban dihasilkan urin janin.

Jumlah air ketuban akan terus meningkat sepanjang kehamilan. Ketika usia kandungan  mencapai 38 minggu, jumlahnya akan menjadi sedikit berkurangan sebagai persediaan kelahiran.

JUMLAH AIR KETUBAN NORMAL?

  • 60ml pada usia 12 minggu kehamilan.
  • 175ml pada usia 16 minggu kehamilan.
  • 400–1200ml pada usia 34-38 minggu kehamilan.

Jumlah air ketuban boleh jadi terlalu banyak (polyhydramnios) atau terlalu sedikit (oligohydramnios). Kedua kondisi ini berbahaya bagi perkembangan dan keselamatan janin.

Jadi, penting ibu hamil menjalani pemeriksaan sepanjang kehamilan dengan doktor sakit puan untuk memantau dan mengetahui jumlah air ketuban normal ketika kehamilan.


FUNGSI AIR KETUBAN

1. MEMBERI RUANG GERAK UNTUK JANIN

Air ketuban membolehkan janin memiliki ruang bergerak. Janin yang sering bergerak menandakan dia mendapat cukup nutrisi dan oksigen.

2. MEMBANTU PERKEMBANGAN OTOT DAN TULANG

Pergerakan janin dalam kandungan membantu membentuk dan meningkatkan kekuatan otot dan tulang.

3. MENJAGA SUHU IDEAL

Kantung dan air ketuban menjaga suhu ideal agar janin tetap selesa. Suhu air ketuban biasanya lebih tinggi daripada tubuh ibu iaitu sekitar 37ºC.

4. MENGESAN KELAINAN GENETIK

Dalam keadaan tertentu, doktor mungkin menyarankan pemeriksaan genetik melalui sampel air ketuban dalam rahim ibu. Pemeriksaan ini disebut amniosentesis yang dilakukan ketika usia kandungan masuk trimester kedua. Ia boleh dikesan melalui air ketuban kerana cairan itu mengandungi serpihan sel kulit janin.

5. MELINDUNGI JANIN

Air ketuban melindungi janin daripada goncangan atau tekanan pada perut ibu.

6. MEMBANTU PERKEMBANGAN PARU-PARU

Janin tidak bernafas seperti cara kita bernafas. Janin bergantung kepada pernafasan ibu untuk menerima oksigen. Pada usia kehamilan 10-11 minggu, janin mulai menghirup sedikit air ketuban. Walaupun menghirup, gerakan lebih seperti menelan.

Aktiviti ini membantu perkembangan paru-paru. Menjelang usia 32 minggu kehamilan, janin akan mula bernafas dengan paru-paru.

7. MEMBANTU PERKEMBANGAN SISTEM PENCERNAAN

Menelan air ketuban penting dalam perkembangan sistem pencernaan janin. Kesulitan menelan air ketuban dapat mengakibatkan jumlah air ketuban terlalu banyak yang menyebabkan risiko komplikasi kehamilan.

8. MELINDUNGI DARI JANGKITAN

Air ketuban berperanan melindungi janin daripada jangkitan dengan cara menghentikan pertumbuhan jenis bakteria tertentu.

Ketika janin sudah siap dilahirkan, air ketuban akan mengalir dari vagina. Setelah itu, kita akan mengalami kontraksi lebih kuat dan teratur.

Bagaimanapun, jika air ketuban sudah pecah dan berwarna hijau kental dan berbau busuk atau mengalami demam menjelang persalinan, disarankan segera berjumpa doktor.

SUMBER: AloDokter

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda