TAHI telinga mengeras kerap juga berlaku ke atas kanak-kanak dan salah satu tanda ialah anak sering mengadu sakit telinga.

Jangan ambil mudah, ibu bapa kena tahu cara betul membersihkan telinga anak untuk mengelakkan tahi telinga terkumpul dan mengeras dalam telinga.

Bagi mengetahui cara dan rawatan sewajarnya, baca perkongsian Doktor Telinga Hidung dan Tekak Dr Ezairy M Salih tentang punca, cara dan rawatan yang betul apabila anak mengadu sakit telinga akibat tahi telinga mengeras.

* Sudah disunting mengikut standard bahasa BumBumCak tanpa menjejaskan maksud penulis.


“Doktor, saya periksa anak ni banyak sangat tahi telinga dia, saya korek-korek pun masih ada, sekarang dah sakit pula. Saya nak buat macam mana doktor?”

Apabila sebut berkenaan masalah ini, pelbagai persoalan biasa akan ditemui. Saya akan cuba jawab satu-persatu.

Bagaimana sebenarnya tanda-tanda anak anda sedang mengalami ‘impacted ear wax’ iaitu tahi telinga keras?

1. Kurang pendengaran disebabkan bunyi berdesing, bunyi luar biasa, tidak normal dan sebagainya.

2. Rasa telinga tertutup atau ‘block’.

3. Mengalami sakit telinga tiba-tiba dan tiada tanda jangkitan seperti demam.

Apa sebenarnya yang menyebabkan tahi telinga boleh mengeras?

1. Salur telinga kecil. Ini mengakibatkan tahi telinga lebih mudah terperangkap dalam salur telinga.

2. Tabiat cuci yang teruk, kerap sangat cuba bersihkan sendiri di rumah. Tahukah anda tindakan menggunakan putik kapas (cotton bud) atau alatan lain hanya akan menyebabkan tahi telinga lebih masuk ke dalam!

3. Penghasilan tahi telinga (ear wax) terlalu banyak. Ini berbeza mengikut individu. Sesetengah orang memang akan menghasilkan lebih tahi telinga berbanding orang lain.

4. Kerap berkumpul air dalam telinga bersama kekerapan jangkitan atau kecederaan di salur telinga boleh menyebabkan masalah salur telinga. Dalam sesetengah keadaan, tahi telinga lebih mudah tersumbat disebabkan salur telinga mengecil akibat sebab-sebab saya sebutkan tadi.

Perlu ke saya bawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan?

1. Ya, anda perlu bawa anak bertemu doktor jika mengalami gejala seperti saya sebut di atas.

2. Pemeriksaan mata kasar atau sekadar menggunakan lampu tidak akan mampu mengesahkan masalah ini. Ia perlu pemeriksaan doktor.

Perlukah saya bersihkan sendiri telinga anak saya di rumah?

1. Tidak boleh. Tahi telinga tidak perlu dibersihkan sendiri. Ini amat berbahaya. Anda boleh mencederakan salur dan gegendang telinga.

2. Jika tahi telinga tidak mendatangkan sebarang masalah kepada pesakit, doktor juga tidak akan melakukan sebarang perkara kepada pesakit.

3. Tindakan membersihkan di rumah menggunakan apa juga alat seperti putik kapas atau alatan besi hanya akan menyebabkan tahi telinga masuk lebih ke dalam!

Oleh itu, bagaimana impacted ear wax atau tahi telinga dirawat?

GAMBAR 3 menunjukkan keadaan telinga yang dilihat menggunakan otoscope. Bagaimana ia sebelum (penuh dengan tahi telinga) dan selepas dibersihkan oleh doktor (gegendang telinga dapat dilihat).

1. Ubat titis telinga untuk melembutkan tahi telinga akan diberikan jika pesakit mengalami simptom seperti saya sebutkan.

2. Ear syringing. Ada sesetengah doktor menggunakan teknik ini untuk membersihkan telinga iaitu dengan menggunakan air.

3. Teknik paling berkesan pada saya ialah ear suctioning yang mana doktor akan menyedut tahi telinga keluar. Ini hanya akan dilakukan jika pesakit ada masalah pada ear wax tersebut. Tidak akan dilakukan jika pesakit tiada apa-apa masalah.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda