SELEPAS bersalin sama ada normal atau pembedahan, sesetengah ibu akan mengalami masalah buang air besar. Ada ibu tidak dapat buang air besar selepas beberapa hari bersalin dan ada juga yang akan mengalami sembelit.

Sebab itu, kadangkala ibu selepas bersalin, sesetengah hospital sudah siap bekalkan ubat yang  boleh membantu mereka membuang air besar dengan lebih mudah. Apa sebabnya ibu lepas bersalin sukar buang air besar? Apakah cara mengatasinya?

PUNCA SUKAR BUANG AIR BESAR SELEPAS BERSALIN

  • Perut kosong menjelang bersalin.
  • Menggunakan enema sebelum bersalin.
  • Kadar hormon progesteron tinggi dalam tubuh ketika kehamilan dan selepas melahirkan.
  • Ketika melahirkan sistem pencernaan menjadi lambat.
  • Kesan samping ubat-ubatan tahan sakit tertentu yang digunakan semasa bersalin hingga menyebabkan proses usus lambat.
  • Dehidrasi.
  • Otot-otot pinggul lemah.
  • Masalah pada anus seperti luka atau buasir.
  • Zat besi dalam suplemen prenatal juga boleh menyebabkan kita sukar buang air besar setelah melahirkan.
  • Perineum (bahagian antara vagina dan anus) yang sakit atau menjalani episiotomi saat melahirkan.

CARA MENGATASI MASALAH SUKAR BUANG AIR BESAR SELEPAS BERSALIN

1. BANYAK BERGERAK

Disarankan ibu selepas bersalin supaya banyak bergerak kerana sering duduk dan berbaring boleh menyebabkan risiko sembelit lebih tinggi.

2. MAKAN MAKANAN SERAT TINGGI

Makan makanan yang ada serat tinggi seperti gandum atau bijirin, beras merah, kekacang, buah-buahan, dan sayur-sayuran setiap hari. Jus epal dan anggur dapat mengurangkan risiko sembelit kerana kaya dengan kandungan sorbitol.

3. MINUM AIR SUAM

Minum air suam boleh membantu kita mengatasi masalah sembelit. Kita boleh campur air tersebut dengan lemon, teh herba atau teh chamomile. Banyak minum air dapat membuatkan najis jadi lebih lembut dan lebih mudah dikeluarkan.

4. ELAK STRES

Stres juga punca kepada sukar buang air besar. Jadi, seeloknya hindarkan tekanan.

TANDA-TANDA BAHAYA

Bagaimanapun, jika masih mengalami kesukaran membuang air besar selepas bersalin sesudah mencuba semua tip di atas, anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

Antara tanda-tanda kita perlu berjumpa dengan doktor ialah:

  • Najis berdarah
  • Terdapat lendir atau nanah pada najis
  • Sembelit parah disertai sakit perut kuat dan demam.

SUMBER: Alodokter

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda