ADA sesetengah ibu hamil dikehendaki mendapatkan suntikan mematangkan paru-paru bayi untuk mengelakan risiko kelahiran bayi pramatang. Suntikan itu bukan lagi satu pilihan, tetapi wajib diambil untuk keselamatan bayi dalam kandungan.

Mari baca penjelasan lanjut doktor Obstetrik & Ginekologi, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak tentang corticosteroid atau suntikan mematangkan paru-paru bayi.


ADOOOIII, sakitnya cucuk ubat matangkan peparu bayi ni doktor. Kalau tak cucuk tak apa ke?” – ujar Amy sambil mengosok-gosok punggungnya. Matanya bergenang menahan kesakitan.

Corticosteroid ialah sejenis ubat yang diberikan kepada ibu, jika seseorang ibu itu dijangka melahirkan bayi pramatang atau tidak cukup bulan. Ubat ini diberikan secara suntikan pada otot, sama ada paha, lengan atau punggung. Ia diberikan melalui 2 dos atau ada yang diberikan 4 dos dalam tempoh 24 – 48 jam.

Mengapa corticosteroid membantu mengurangkan risiko berkaitan bayi pramatang?

Ubat ini sudah digunakan bertahun-tahun lama, diberikan kepada ibu yang dijangka melahirkan bayi pramatang, dan meningkatkan peluang bayi pramatang hidup selepas dilahirkan. Selain itu, ia mengurangkan risiko bayi pramatang mendapat komplikasi serius seperti masalah pernafasan (disebabkan peparu bayi masih tidak matang), pendarahan dalam otak, jangkitan kuman serius ataupun masalah salur pencernaan.

Adakah corticosteroid berbahaya kepada saya dan bayi?

Suntikan sebanyak 2 atau 4 kali dianggap selamat untuk ibu dan bayi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengatakan suntikan lebih daripada itu ialah selamat.

Bilakah sepatutnya saya mendapat suntikan corticosteroid ?

Suntikan diberikan pada minggu kehamilan ke 24 dan 34 minggu 6 hari. Jika anda akan menjalani pembedahan elektif, suntikan corticosteroid amat digalakkan jika pembedahan itu berlangsung pada 35 hinggga 38 minggu 6 hari kehamilan.

Suntikan corticosteroid boleh diberikan sebelum 24 minggu kehamilan, tetapi bukti corticosteroid dapat membantu bayi seawal itu, masih lagi tidak jelas. Pakar perunding akan berbincang dengan anda terlebih dahulu.

Berapa lama suntikan corticosteroid ini jadi efektif?

Suntikan corticosteroid ini membantu jika dos terakhir diberikan antara tempoh 24 jam sehingga 1 minggu sebelum bayi dilahirkan. Ada juga kebaikan sekiranya bayi dilahirkan dalam tempoh 24 jam dari dos pertama.

Siapakah yang sepatutnya menerima suntikan corticosteroid?

Anda akan dinasihatkan untuk menerima suntikan ini jika anda berpotensi melahirkan bayi pramatang, sebelum 35 minggu kehamilan. Ini termasukl:

  • Anda sedang mengalami kontraksi pramatang
  • Air mentuban sudah pecah, walaupun tiada kontraksi
  • Bayi dikehendaki lahir awal, misalnya bayi tidak membesar dalam rahim
  • Anda mempunyai masalah dan bayi perlu dilahirkan awal untuk menyelamatkan ibu, misalnya pre-eklampsia
  • Jika anda akan menjalani pembedahan caeserean elektif sebelum 39 minggu, anda akan disarankan menerima suntikan corticosteroid.

Kelahiran pramatang tidak boleh disekat-sekat walaupun doktor guna pelbagai ubat untuk hentikan proses bersalin. Apa yang boleh dibuat, bantu mempersiapkan bayi pramatang yang bakal lahir untuk mematangkan paru-parunya supaya kurang komplikasi berhubung kelahiran pramatang.

Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ini ikhtiar kita.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda