TEMBIKAI ialah antara buah paling popular setiap kali Ramadan bermula. Buah ini memang kaya dengan air yang dapat mengurangkan dahaga. Apatah lagi jika dimakan ketika sejuk, pasti hilang dahaga selepas seharian berpuasa.

Kepada peminat tembikai yang mungkin belum mengetahui kelebihan buah tersebut, boleh baca perkongsian  Dr Zubaidi Hamid menerusi laman Facebook mengenai khasiat tembikai dalam kesihatan tubuh badan.


MANFAAT MENGAMBIL TEMBIKAI KETIKA BERBUKA (IFTAR)

Ramai kalangan kita yang berpuasa Ramadan mengambil tembikai ketika berbuka puasa. Sama ada buah dipotong atau diambil sebagai jus tembikai. Tetapi tidak ramai yang tahu manfaat buah tembikai.

Ada hadis mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah memakan tembikai. Ini menunjukkan tembikai ialah buah yang bernutrisi, selamat dan baik untuk dimakan.

Ada ulama (tidak diketahui sumber) memberitahu wanita hamil digalakkan memakan tembikai kerana anak yang bakal dilahirkan akan baik akhlak dan sempurna sifatnya.

Mengikut kajian sains pula, tembikai sangat sesuai dijadikan hidangan pertama ketika berbuka puasa bersama kurma. Satu atau dua ulas tembikai bersama beberapa biji kurma dan segelas air kosong cukup untuk memberikan tenaga segera kepada mereka yang berpuasa.

Tembikai mempunyai Glycemic Index yang tinggi, bermakna penyerapan gula ke dalam darah berlaku pantas. Oleh kerana kita hanya mengambil beberapa ulas sahaja, ia tidak memudaratkan.

Nasi putih GI: 72 (tinggi) 150 kalori/100g
Tembikai GI: 72 (tinggi) 30 kalori/100g
Kurma GI: 42 (rendah) 282 kalori/100g

Semasa menjalankan ibadah puasa, beberapa perubahan fisiologi dalam tubuh akan berlaku. Antaranya enzim yang berada dalam tubuh dikeluarkan perlahan-lahan disebabkan kita tidak makan sepanjang hari.

Lapisan lendiran yang menyelaputi dinding dalam saluran penghadaman (perut dan usus) menipis. Oleh itu, apabila berbuka puasa, mulakanlah dengan makanan yang bersifat mudah (simple real food). Antaranya buah-buahan seperti tembikai, anggur, pisang dan betik.

Tembikai mengandungi Vitamin A, C, thiamin, riboflavin, niacin, vitamin B6 dan folate. Vitamin-vitamin ini membantu menstabilkan mood dan menguatkan ingatan. Berbuka puasa dengan tembikai dapat mengekalkan kesihatan tubuh. Ia mengandungi 92 peratus air dan nutrisi yang tinggi, sesuai untuk menghilangkan dahaga ketika berbuka puasa dan menggalakkan perpeluhan ketika musim panas.

Tembikai juga mengandungi sebatian lycopene iaitu sebatian antioksida yang boleh didapati daripada buah-buahan berwarna merah seperti tomato. Satu gelas tembikai mengandungi 10mg lycopene, sementara satu gelas tomato mengandungi 5-6 mg lycopene.

Lycopenen sangat baik untuk merendahkan risiko mendapat penyakit jantung dan osteoporosis, juga membantu mengelakkan penyakit kanser payudara dan prostat. Lycopene juga antioksida yang bagus diamalkan bagi pesakit diabetes, katarak, kulit dan juga membantu masalah kesuburan.

Tembikai juga mengandungi sebatian citrulline, yang merangsang pengeluaran bahan nitrik oksida, yang berfungsi sebagai merehatkan, melembutkan dan mengembangkan saluran darah yang sangat sesuai diamalkan pesakit yang mengalami mati pucuk (erectile dysfunction) dan tekanan darah tinggi. Apabila saluran darah mengembang, ia mengekalkan perjalanan darah dalam saluran koronari pada jantung.

Selamat berbuka dan semoga bermanfaat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda