MEMANG ada wanita kurang bernasib baik kerana terpaksa berhadapan pengalaman keguguran berulang-ulang yang pasti mengundang tekanan kepada pasangan yang memang berhajat memiliki zuriat sendiri.

Jangan risau, potensi hamil masih ada untuk anda. Jadi, apa kata kita baca dahulu perkongsian doktor pakar sakit puan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak di laman Facebooknya tentang punca dan rawatan keguguran berulang.


Keguguran Berulang-ulang, Punca dan Rawatan

Apakah keguguran?

Kehilangan bayi sebelum 24 minggu kehamilan dipanggil keguguran. Jika ia berlaku pada 3 bulan pertama kehamilan dipanggil keguguran awal. Keguguran awal ialah perkara yang biasa berlaku 10-20 kes dalam 100 kehamilan (10-20 peratus).

Keguguran lewat berlaku selepas 3 bulan pertama kehamilan, tidak biasa berlaku – 1-2 kes dalam 100 kehamilan (1-2 peratus).

Apakah keguguran berulang-ulang?

Apabila berlaku tiga keguguran atau lebih berturut-turut, ia dipanggil keguguran berulang (recurrent miscarriages). Berlaku 1 dalam 100 pasangan yang cuba mendapatkan zuriat.

Kenapa berlaku keguguran berulang-ulang dan keguguran lewat kehamilan?

Kadang-kadang doktor dapat mengenal pasti sebab berlaku keguguran lewat kehamilan. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, doktor tidak dapat mengenal pasti sebab berlaku keguguran itu, lebih-lebih lagi jika semua ujian dijalankan normal belaka.

Ada beberapa faktor dikenal pasti mungkin menyumbang kepada keguguran lewat kehamilan:

1. UMUR

Semakin berusia wanita itu, semakin tinggi peluang mendapat keguguran. Jika wanita berusia lebih 40 tahun, lebih 1 dalam 2 (50 peratus) kehamilan akan berakhir keguguran. Bukan saja wanita, jika suami berusia pun, peluang keguguran tinggi.

2. ANTIPHOSPHOLIPID SYNDROME ( APS)

APS ialah sindrom darah seseorang wanita itu senang membeku dan menyumbang kepada keguguran berulang dan keguguran lewat kehamilan.

3. FAKTOR GENETIK

2-5 dalam 100 pasangan (2-5 peratus) yang mengalami keguguran berulang, salah satu pasangannya akan ada ketidaknormalan salah satu kromosom (struktur genetik yang terkandung dalam sel manusia yang mengandungi DNA dan perwarisan daripada ibu bapa). Walaupun masalah genetik mungkin tidak menunjukkan apa-apa masalah kepada bapa atau ibu, tetapi ia boleh menyebabkan keguguran.

4. PANGKAL RAHIM YANG LEMAH

Kelemahan pangkal rahim (cervical incompetence) boleh menyebabkan keguguran dalam 14 hingga 23 minggu kehamilan. Susah sikit mengenal pasti keadaan pangkal rahim lemah untuk wanita yang tidak hamil. Mungkin ini penyebabkan keguguran jika kehamilan sebelumya gugur dengan cara air ketuban pecah awal, ataupun pangkal rahim membuka awal walaupun si ibu tida rasa sakit.

5. PERKEMBANGAN BAYI TAK NORMAL

Perkembangan bayi tidak normal boleh menyebabkan keguguran, tetapi bukan penyebab keguguran berulang.

6. JANGKITAN KUMAN

Sesetengah jangkitan kuman yang membuatkan ibu tidak sihat boleh menyebabkan keguguran. Bagaimanapun, bagaimana jangkitan boleh menyebabkan keguguran ini masih lagi dalam kajian dan kesahihannya masih belum pasti.

7. BENTUK RAHIM

Tidak sahih lagi faktor bentuk rahim tidak normal boleh menyebabkan keguguran.

8. KENCING MANIS DAN MASALAH TIROID

Kencing manis dan masalah tiroid yang tidak terkawal boleh menyebabkan keguguran, bagaimanapun ia tidak menyebabkan keguguran berulang-ulang, asalkan masalah kencing manis dan tiroid dirawat dan dikawal sebaiknya.

9. FAKTOR IMUN (IMMUNE FACTORS)

Ada kajian mengatakan wanita keguguran disebabkan sistem imun tidak berfungsi normal, dinamakan sebagai alloimmune reaction. Bagaimanapun, tiada bukti sahih yang menyokong kenyataan ini. Lebih banyak kajian diperlukan.

10. BERAT BADAN BERLEBIHAN

11. MEROKOK, PENGAMBILAN KAFFEIN DAN ALKOHOL SECARA BERLEBIHAN.


Peluang keguguran meningkat apabila berlakunya satu keguguran. Wanita dengan 3 kali keguguran berturut-turut ada risiko 4 dalam 10 peluang untuk mengalami keguguran sekali lagi.

Penyiasatan yang boleh dilakukan untuk keguguran berulang-ulang:

i. UJIAN DARAH

Mengenal pasti antiphospholipid syndrome dan thrombophilia. Ujian darah untuk mengenal pasti ketidaknormalan kromosom jika bayi menunjukkan kromosom tidak normal.

ii. UJIAN DARAH UNTUK MENENTUKAN JANGKITAN KUMAN

Rawatan akan diberikan berdasarkan sebab-sebab berlaku keguguran berulang-ulang. Jika doktor tidak dapat mengenal pasti sebab selepas melakukan pemeriksaan dan ujian, wanita itu tidak perlu menerima rawatan.

Wanita dan pasangan sepatutnya mendapat rawatan dan kaunseling pakar. Wanita yang mendapat sokongan perubatan sejak awal kehamilan mempunyai peluang mendapatkan kehamilan sihat. Walaupun tidak dapat mengenal pasti sebab keguguran berulang-ulang, 75 dalam 100 kes (75 peratus) akan berjaya hamil hingga penghujung.

Tenangkan hati dan ingat kebanyakan pasangan akan berjaya dengan kehamilan, walaupun pernah gugur 3 kali berturut-turut.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda