SALAH satu dugaan besar kepada ibu bersalin secara caesarean ialah luka pembedahan terbuka. Mungkin ada kalangan kita yang bakal mengalami masalah itu tidak lama selepas bersalin ataupun mungkin selepas sebulan.

Perit luka yang dicuci tanpa sebarang ubat bius itu memang menyakitkan hingga boleh menyebabkan fobia. Artikel kali ini akan berkongsi tentang punca dan cara merawat luka caesarean sebagai rujukan.

PUNCA LUKA TERBUKA

1. JANGKITAN KUMAN

Punca utama luka terbuka ialah disebabkan jangkitan kuman pada kawasan pembedahan. Risikonya 1 peratus.

2. OBESITI

Berlaku kepada ibu hamil yang obesiti kerana ketebalan tisu lemak dan kulit melambatkan proses penyembuhan. Lipatan kulit juga menyebabkan kawasan sentiasa lembap dan berpeluh yang menjadi punca pembiakan kuman.

3. ANEMIA

Ibu hamil yang mengalami anemia berpotensi mengalami masalah luka pembedahan terbuka kerana kekurangan oksigen kepada tisu aktif yang melambatkan proses penyembuhan.

4. KEBERSIHAN DIRI

Tidak mengamalkan kebersihan diri ketika berpantang juga boleh menjadi punca seperti tidak mandi atau tidak membersihkan kawasan luka hingga luka dicemari peluh dan daki.

5. KURANG MINUM AIR

Kurang air menyebabkan kita mengalami dehidrasi yang melambatkan proses penyembuhan.

6. MAKANAN TIDAK SEIMBANG

Tidak mengamalkan makanan seimbang ketika berpantang boleh melambatkan proses penyembuhan. Jadi, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan.

7. GERAKAN LASAK

Kurangkan gerakan yang melibatkan tekanan pada abdomen seperti menjemur kain, meneran, batuk dengan kuat dan mengangkat benda berat.

8. UBAT TRADISIONAL

Perbuatan menyapu ubat-ubatan tadisional pada luka pembedahan boleh menyebabkan pembiakan bakteria. Jangan lakukan sembarangan.


TANDA-TANDA LUKA TERBUKA

1. SAKIT PADA BAHAGIAN LUKA

Kita mungkin akan mengalami rasa sakit pada bahagian luka selama 2-3 hari disebabkan jangkitan kuman pada luka.

2. DEMAM

Ada juga yang didahului dengan demam kuat disebabkan jangkitan pada luka pembedahan.

3. LUKA MERAH DAN BERNANAH

Perhatikan luka pembedahan sekiranya ada tanda-tanda ini. Segera ke klinik atau hospital terdekat.

4. KELUAR CECAIR

Ada sesetengah pesakit mendapati ada cecair keluar daripada luka pembedahan. Sekiranya cecair sentiasa mengalir (dan ia bukan peluh), itu salah satu tanda ada jangkitan pada luka. Segeralah ke klinik atau hospital berhampiran.


KOMPLIKASI LUKA TERBUKA

  • Menjadi punca jangkitan merebak dalam badan
  • Hubungan dengan anak terganggu kerana tidak mampu menyusukan kerana menahan sakit pada perut
  • Sukar buang air besar
  • Luka lambat sembuh
  • Luka akan dijahit semula tanpa bius
  • Tinggalkan parut yang tidak cantik

CARA PASTIKAN LUKA CEPAT BERCANTUM

  • Selepas mandi, pastikan kita mencuci luka dengan betul.
  • Bersihkan luka guna alkohol terlebih dahulu sehingga bersih. Boleh buat 2 hingga 3 kali.
  • Selepas yakin bersih, sapu ubat kuning dan antibiotik pada luka guna putik kapas.
  • Keringkan ubat dan kawasan luka.
  • Tutup luka guna balutan dibekalkan hospital.

Mungkin sukar mahu bersihkan luka sendiri. Boleh minta bantuan suami atau ibu. Bersihkan luka dua kali sehari. Biasanya, dalam tempoh seminggu, cecair yang keluar daripada luka akan mula kering dan bercantum semula.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda