SALAH satu fasa perlu dilalui ibu hamil ialah minum air gula. Dalam keadaan selera makan berkurangan dan perut rasa mual, terpaksa pula meneguk air manis. Jadi, mulalah kepala naik pening dan muntah semula.

Ramai mengeluh apabila diminta minum air gula. Ketahuilah, minum air gula bukan penyebab kencing manis, tetapi untuk mengenal pasti sama ada kita ada kencing manis atau sebaliknya.

Apakah ada teori relevan yang dapat menjelaskan kenapa kita perlu minum air gula ketika hamil?

APAKAH FUNGSI AIR GULA?

Minum air gula ialah proses memeriksa sama ada kita ada kencing manis ataupun tidak. Soalan yang sering didengar tentang air gula ialah kenapa perlu minum air gula? Bagaimanakah doktor boleh mengesan kita ada kencing manis menggunakan air gula?

Kencing manis terjadi apabila badan tidak dapat memproses gula berlebihan. Dalam keadaan normal gula akan dicerna menjadi glukosa. Glukosa amat penting sebagai sumber tenaga untuk sel dalam badan. Tetapi jika glukosa berlebihan, hati akan menukar glukosa menjadi sebatian glikogen untuk disimpan.

Insulin pula ialah hormon yang berfungsi menukarkan glukosa tadi pada glikogen untuk disimpan dalam hati dan sel-sel otot apabila glukosa berlebihan. Dalam kencing manis, insulin menjadi kurang reaktif (insulin resistant). Jadi insulin tidak dapat mengawal paras atur gula dalam darah.

Maka, kita minum air gula adalah untuk menguji insulin itu boleh berfungsi atau tidak. Jika insulin berfungsi dengan baik selepas 2 jam minum air gula, paras gula dalam darah masih normal. Sebaliknya, jika insulin bermasalah, paras gula akan naik dan mungkin kita ada kencing manis (diabetes) ketika hamil.

SIAPAKAH IBU HAMIL YANG BERISIKO HIDAP KENCING MANIS?

  • Indeks Jisim Badan (BMI) 30 atau lebih.
  • Sejarah kelahiran bayi besar melebihi 4 kilo atau lebih.
  • Sejarah kandungan yang ada diabetes ketika hamil.
  • Ibu bapa atau adik-beradik ada diabetes.

BAGAIMANAKAH PROSES MINUM AIR GULA?

Kita akan menjalani ujian toleransi glukosa atau dikenali sebagai minum air gula, ketika awal peringkat kehamilan akan diulang pada usia kandungan 24 hingga 28 minggu.

Ujian ini memerlukan kita untuk berpuasa dan hanya boleh minum air kosong sahaja. Ujian darah akan dijalankan terlebih dahulu pada awal pagi. Selepas itu, kita perlu minum air gula yang disediakan. Kemudian, ujian darah akan diulang sekali lagi selepas 2 jam minum air gula.

Air gula yg diberikan oleh klinik kerajaan biasanya tidak berperisa dan sedikit suam. Tetapi ada juga yang berperisa oren.

Jika kita mempunyai sejarah kencing manis pada kandungan sebelumnya, kita akan diminta membuat ujian ini lebih awal. Walaupun keputusan ujian normal, kita tetap perlu minum air lagi ketika usia kandungan 24 hingga 28 minggu.

KESAN KENCING MANIS PADA KEHAMILAN

Walaupun ramai ibu yang mempunyai kencing manis ketika mengandung tidak ada masalah sepanjang proses kehamilan. Tetapi terdapat juga kes serius pada ibu dan bayi terutamanya kencing manis tidak dikesan awal dan dirawat dengan optimum.

1. BAYI DILAHIRKAN BESAR

Kita perlu memastikan paras glukosa dalam darah terkawal. Jika paras gula kekal tinggi dan tidak terkawal, bayi akan membesar secara berlebihan dalam rahim.

Kita akan diminta untuk bersalin lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin (induction) dan risiko berakhir dengan pembedahan caesarean kerana bayi besar ataupun kegagalan proses induksi (induction).

2. RISIKO BAYI TERSANGKUT

Jika anda bersalin normal, risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran dan kecacatan saraf mungkin berlaku.

3. KEMATIAN DALAM RAHIM

Risiko kematian bayi dalam rahim (in utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula dalam darah tidak dikawal.

KESAN KEPADA BAYI

1. PARAS GULA RENDAH

Bayi yang menghasilkan lebihan hormon insulin akan mengalami paras gula rendah pula selepas kelahiran. Maka, anak perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi untuk pemerhatian pakar pediatrik.

2. RISIKO HIDAP KENCING MANIS BILA DEWASA

Bayi dilahirkan ibu yang ada kencing manis juga berisiko mengidap kencing manis dan masalah kegemukan apabila meningkat dewasa.

SUMBER: Mmgazette.Com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda