SELEPAS bersalin secara pembedahan Ceasarean, doktor biasanya akan menyarankan pesakit ibu menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun supaya ada cukup masa untuk pulih.

Namun, jika sudah rezeki Allah, kita hamil lebih awal, janganlah risau pula! Cuba baca penerangan ini terlebih dahulu.

KENAPA LUKA MEMERLUKAN MASA UNTUK SEMBUH?

Dalam pembedahan secara caesarean, doktor akan memotong kulit, otot-otot pada abdomen, saluran darah dan akhir sekali memotong otot rahim untuk mengeluarkan bayi. Pada masa sama, pesakit mengalami kekurangan darah antara 200ml-1,500ml.

Jadi, proses penyembuhan mengambil masa lama bergantung kepada individu. Proses penyembuhan otot akan pulih 50 peratus selepas tiga bulan dan otot hanya akan ada kekuatan 80 peratus selepas setahun pembedahan.

Tetapi perlu diingat walaupun otot sudah sembuh, itu tidak bermakna fizikal diri kembali seperti sebelum pembedahan.

Wanita muda dan sihat akan mengambil masa lebih cepat untuk sembuh, mungkin selepas setahun. Tetapi bagi wanita berusia 35 tahun atau ada penyakit kronik seperti diabetes, sudah pasti mengambil masa lebih lama.

BILAKAH MASA SESUAI HAMIL SEMULA?

Pakar sakit puan atau O&G menyarankan pesakit hamil semula selepas 18-24 bulan selepas pembedahan caesarean bagi membolehkan rahim sembuh dan proses penggantian darah yang hilang selesai.

Semakin jauh jarak kehamilan, semakin bagus untuk proses penyembuhan.

RISIKO JIKA HAMIL LEBIH AWAL

1. OTOT RAHIM TERKOYAK

Jika luka pembedahan belum sembuh sepenuhnya, otot rahim mungkin terkoyak sekiranya kelahiran kedua secara normal. Bagaimanapun, keadaan itu akan menimbulkan komplikasi lebih besar. Doktor mungkin akan melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bayi bagi mengelakkan situasi itu berlaku.

2. PLACENTA PREVIA

Kita juga berisiko uri berada berdekatan pintu rahim yang akan menyebabkan pendarahan banyak.

JIKA HAMIL LEBIH AWAL?

Wanita muda dan sihat yang hamil selepas enam bulan bersalin secara pembedahan tidak perlu menggugurkan kandungan kecuali atas faktor yang boleh mengancam nyawa.

Jadi, jangan panik dan berbincanglah dengan doktor yang merawat kita. Ramai ibu yang hamil semula selepas 6 bulan bersalin dapat melahirkan bayi yang sihat dan selamat.

Kepada pesakit mahu tempoh kelahiran cepat, berbincanglah dengan doktor kerana mereka akan memberikan perhatian dan tumpuan kepada kehamilan seperti ini kerana dianggap kehamilan berisiko.

SUMBER: DrZubaidi.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda