BUKAN semua ibu hamil akan mengalami masalah gusi berdarah. Tetapi kepada mereka yang ada masalah ini, memang rasa bimbang kerana khuatir ia punca penyakit tertentu.

Sering menjadi persoalan dalam kalangan ibu hamil, “Adakah gusi berdarah ini tanda-tanda berlaku gangguan kepada ibu dan bayi dalam kandungan,”?

Berikut penjelasan tentang kenapa ibu hamil boleh mengalami masalah gusi berdarah dan bagaimanakah pula cara mengatasinya.

KENAPA IBU HAMIL MENGALAMI GUSI BERDARAH

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan, 5 daripada 10 ibu hamil mengalami masalah gusi berdarah, yang biasa dialami dalam 3 bulan pertama kehamilan.

Keadan ini akan menggangu ibu hamil, bagaimanapun boleh hilang sendiri ketika ibu bersalin dan kadar hormon kembali normal.

Selain gusi berdarah, ada juga ibu hamil, iaitu 5 Р10 peratus, akan mengalami gusi bengkak (epulis gravidarum) atau dikenal dengan istilah pregnancy tumor. Gangguan ini ialah pembengkakan gusi yang terjadi pada gusi antara dua gigi, terutama gigi depan.

Ibu hamil tidak perlu bimbang apabila mengalami masalah ini kerana tidak berbahaya kepada kehamilan. Bagaimanapun, jika ibu hamil mengalami pendarahan yang terlalu banyak dan tidak berhenti, anda dinasihatkan segera berjumpa doktor bagi mengelakkan masalah anemia kepada ibu hamil kelak.

PUNCA GUSI BERDARAH KETIKA HAMIL

1. PERUBAHAN HORMON

Ketika hamil, kita akan mengalami perubahan hormon, yang mana berlaku peningkatan hormon progesteron yang menyebabkan gusi dan gigi ibu hamil lebih mudah terkena bakteria daripada plak gigi.

Selain itu, ia juga menyebabkan ada peningkatan aliran darah pada tubuh ibu hamil. Peningkatan aliran darah ini akan menyebabkan gusi mudah luka dan berdarah ketika menggosok gigi, kadangkala juga boleh berlaku ketika makan.

2. RADANG GUSI

Apabila menggosok gigi tidak bersih, ia boleh menyebabkan keradangan pada gusi yang menjadi penyebab kepada gusi berdarah. Keadaan ini perlu diatasi segera sebelum menjadi lebih parah.

3. KURANG VITAMIN C

Ibu hamil yang kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi vitamin C akan mudah mengalami gangguan gusi berdarah.

4. KURANG VITAMIN K

Ibu hamil yang kekurangan vitamin K akan mengalami situasi darah dalam badan sukar membeku. Keadaan ini membuatkan badan mudah terluka dan berdarah, manakala jika berlaku pendarahan, ia sukar berhenti.

5. MEROKOK

Ibu hamil perlu elak menghisap rokok atau terhidu asap rokok kerana akan menggangu perkembangan janin dan kesihatan gigi.


CARA MENGATASI GUSI BENGKAK

1. MENGGUNAKAN BERUS GIGI YANG LEMBUT

Seeloknya guna berus gigi lembut. Gosok gigi dengan perlahan dan lembut bagi mengurangkan gusi terluka dan berdarah. Selain itu, pastikan juga berus gigi yang digunakan sentiasa bersih bagi mengelakkan bakteria.

2. BERKUMUR DENGAN UBAT KUMUR BEBAS ALKOHOL

Ubat ini akan membersihkan sisa-sisa makanan yang sukar dicapai berus gigi. Selain itu, ia juga dapat mematikan bakteria yang terdapat dalam mulut bagi mengurangkan berlaku jangkitan pada gusi.

3. ELAK MAKANAN MANIS

Makanan manis akan mempercepatkan pertumbuhan bakteria dalam mulut yang akan menyebabkan gusi mudah berdarah.

4. AMBIL KALSIUM DAN VITAMIN C

Vitamin C akan mengurangkan sakit gigi dan jangkitan gusi, manakala, kalsium akan mengatasi masalah gangguan gusi berdarah dan mengurangkan risiko sakit gigi buat ibu hamil.

SUMBER: Hamil.co.id

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda