RAMAI ibu bapa memilih menidurkan anak dalam buai untuk memudahkan kerja. Sebabnya, anak senang tidur, dan dia dapat lena lama. Jadi, kita ada banyak masa untuk buat kerja rumah atau kerja lain.

Betulkan? Walaupun ramai sedar tentang bahaya buai terhadap bayi, tetapi masih ramai pula yang tetap memilih cara mudah itu.

Memang ada dalam kalangan anak kita jenis susah tidur. Asalkan bising sikit, dia terkejut dan terjaga. Walaupun mungkin sudah diajar sejak awal supaya tidak menggunakan buai, tetapi dibuat juga kerana tidak mahu menyusahkan bakal pengasuh.

Sebenarnya, penggunaan buai sudah tidak dibenarkan, tetapi di Asia Tengara termasuk Malaysia, cara tradisional itu masih lagi jadi keperluan kepada ibu bapa yang menimang cahaya mata.

KENAPA BUAI TIDAK DIGALAKKAN?

Di Malaysia, rata-rata pakar pediatrik tidak menyarankan menggunakan buai. Pakar kanak-kanak di BabyCenter, Dr Winston Wong berkata:

“Saya sentiasa menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati menggunakan buai kerana kecederaan boleh berlaku. Selalunya saya menggalakkan bayi tidur dalam kot.”

Pendidik Antenatal dan Parent Craft, Jenifer Hor turut menegaskan  tidur dalam buai tidak patut digalakkan.

“Buaian tidak memberi sokongan mencukupi pada tulang belakang bayi, dan bahu bayi selalunya membongkok. Di samping itu, ada juga aspek keselamatan lain seperti risiko jatuh yang tinggi. Apabila buai dihenjut terlalu kuat, ia meningkatkan risiko bayi jatuh keluar atau tertolak ke dinding.”


KESAN BUAIAN KEPADA BAYI

1. BAYI TERJATUH ATAU DIHEMPAP MOTOR ELEKTRIK

Risiko bayi terjatuh boleh berlaku apabila kayu besi yang menjadi penyangkut antara kain dan spring terputus. Jika menggunakan buai dengan motor elektrik, ada kemungkinan bayi dihempap motor tersebut.

2. TIDAK SOKONG STRUKTUR TULANG BELAKANG

Buai tidak memberi sokongan penuh kepada tulang belakang bayi. Jika kita perhatikan dengan teliti, bahu bayi selalunya kelihatan membongkok ketika dalam buai.

 3. LEMAS

Keadaan ini sering berlaku pada bayi yang mula belajar memusingkan badan. Apabila anak memusingkan muka ke bawah sama ada secara sedar atau ketika tidur, perbuatan itu boleh menyebabkan dia lemas. Ini kerana bayi tidak tahu memusingkan badannya kembali.

 4. SINDROM OTAK GEGAR  

Apabila bayi kerap dibuai, cara itu secara tidak langsung boleh menyebabkan gegaran terhadap otak. Kekerapan gegaran boleh menyebabkan pendarahan dalam otak.

Henjutan perlahan tidak berbahaya, tetapi perbuatan menaikturunkan buai dengan spring secara atas-bawah dan kuat, yang seakan meniru cara mendodoikan bayi dalam tangan, tetap berisiko menyebabkan kecederaan sama.

5. TERSEDAK SUSU

Jangan meletakkan bayi yang baru selesai menyusu ke dalam buai. Sebaliknya, sendawakan dia terlebih dulu sebelum ditidurkan. Tindakan ini dapat mengurangkan kes tersedak susu.


TIP PASTIKAN ANAK SELAMAT DALAM BUAI

Berikut tip keselamatan mendodoi bayi dalam buai yang perlu diambil berat. Namun itutidak bermakna tiada risiko kecederaan. Sekiranya tidak perlu, elakkan memperkenalkan buai kepada anak kita.

1. GUNA BUAIAN 4 SEGI

Bagi keselamatan, gunakan rangka buaian berbentuk 4 segi (yang ada 2 tiang) kerana lebih stabil berbanding rangka 3 segi.

2. GUNA ALAS BAWAH BUAI

Alaskan tilam atau bantal di bawah buai sebagai persediaan jika bayi terjatuh.

3. RENDAHKAN BUAI

Laraskan buai serendah mungkin untuk mengurangkan risiko kecederaan jika bayi jatuh.

4. ELAK GUNA MOTOR ELEKTRIK

Penggunaan motor elektrik untuk menghayun buaian secara automatik sebenarnya tidak sesuai kerana mengurangkan perhatian kita terhadap bayi yang sedang tidur.

5. PASTIKAN JARAK LANTAI DAN DINDING

Pastikan jarak antara buai dan lantai, termasuk buai dan dinding dalam keadaan jauh supaya kepala bayi tidak terhentak ketika dibuai.

6. JANGAN GUNA BANTAL DAN SELIMUT

Ramai ibu bapa suka meletakkan bantal dan selimut dalam buai. Elakkan kerana dikhuatiri akan menutup muka bayi dan menyebabkan dia lemas.

7. PASTIKAN BAYI SENTIASA TERLENTANG

Pastikan bayi sentiasa dalam keadaan terlentang ketika tidur dalam buai.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda