ANTIBIOTIK adalah ubat-ubatan yang kuat dan dikenali sebagai antibakteria yang berfungsi untuk melawan, menghancurkan serta memperlambat pertumbuhan bakteria dalam badan.

Sebab itu, tidak semestinya anak demam memerlukan antibiotik. Biasanya doktor akan memberikan antibiotik jika anak didapati demam disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria. Hal ini kerana, virus tidak mati sekiranya makan antibiotik!

Baca perkongsian Dr Ezairy M Sallih yang dipetik daripada laman Facebook tentang mengapa ada anak demam yang diberikan antibiotik dan ada yang tidak. Semoga perkongsian ini memberi maklumat berkaitan ubat-ubatan kepada ibu bapa!


Jangan jadi doktor google

Tidak semua demam dan masalah kesihatan perlukan ubat antibiotik!

Anak saya demam, batuk… saya nak ubat antibiotik…” rintih seorang ibu.

Ramai ibu bapa yang begitu risau jika anak mereka mengalami demam panas. Ada yang cepat saja nak ambil ubat antibiotik. Rasa kalau tidak makan ubat, penyakit anak tidak akan sembuh. Kalau doktor tidak beri, siap pesan kepada doktor supaya beri antibiotik. Betul?

Tuan-tuan dan puan-puan… Hakikatnya ubat-ubatan yang diberi kepada pesakit khususnya kepada kanak-kanak perlu ada rasionalnya. Kena ada sebab. Ia perlu ada indikasi.

Doktor tidak akan dengan mudah memberi ubat kepada pesakit tanpa justifikasi klinikal yang sepatutnya.

Anak-anak kita mengalami demam pasti ada sebab. Peningkatan suhu yang tinggi juga berlaku hasil daripada tindak balas di dalam sistem tubuh kita. Demam boleh berlaku oleh banyak sebab! Tidak semestinya setiap jangkitan yang berlaku perlukan antibiotik.

Beberapa keadaan yang lazimnya tidak perlukan ubat antibiotik:-

1. Hanya mengalami sakit tekak sahaja.

2. Rasa tidak sedap badan, lenguh-lenguh sendi sahaja.

3. Ujian darah menunjukkan tiada bacaan signifikan menunjukkan adanya jangkitan bakteria.

4. Jangkitan virus tidak perlukan antibiotik.

Oleh sebab itulah, ubat antibiotik tidak boleh dibeli melalui kaunter di klinik dan hospital. Ia perlu kepada pemeriksaan doktor. Bawa dulu anak-anak ke hospital atau klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.

Beberapa tanda anak anda mungkin perlu kepada antibiotik:-

1. Demam melebihi tiga hari beserta sakit tekak, batuk dan selsema. Ini disokong selepas hasil pemeriksaan klinikal kepada pesakit.

2. Sakit telinga berserta demam panas dan cairan kuning daripada telinga. Perlu kepada pemeriksaan klinikal.

3. Masalah sinusitis atau resdung dialami dengan simptom berat kepala, sakit pada kawasan sinus, demam dan lendir serta hingus kuning atau kehijauan.

4. Banyak lagi simptom-simptom lain yang perlukan ujian klinikal, ujian darah dan sampel kahak untuk mengesahkan jangkitan kuman.

Jumpalah doktor. Anda akan dibantu. Diagnosis tepat akan diberi.

Jika anda rasa artikel ini suatu yang bernilai, #kongsi kepada mereka yang anda sayang. Semoga lebih ramai mendapat manfaat.

Dr Ezairy M.Sallih
Jumpalah doktor jika anda ada sebarang masalah kesihatan. Jangan jadi doktor ‘google’.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda