TANGGUNGJAWAB ibu bapa yang memiliki anak Sindrom Down memang berat kerana memerlukan perhatian dan tumpuan yang lebih berbanding kanak-kanak normal lain.

Berdasarkan data diperoleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), nisbah pesakit Sindrom Down ialah 1 daripada 1,000 kelahiran di dunia dan dianggarkan kira-kira 3,000-5,000 nayi dilahirkan dengan kelainan kromosom itu.

Berikut beberapa fakta penting yang ibu bapa perlu tahu tentang Sindrom Down.

APAKAH SINDROM DOWN?

Sindrom Down ialah penyakit genetik yang menimpa bayi sejak dalam kandungan ibu dan pesakit itu bakal mengalami masalah pembelajaran dan kesihatan, termasuk jantung, darah, sistem penghadaman dan organ lain sepanjang membesar kelak.

Sindrom Down berlaku disebabkan masalah unit genetik asas (dikenali sebagai kromosom) yang mengandungi maklumat asas pembentukan manusia. Kanak-kanak Sindrom Down memiliki jumlah kromosom berlebihan. Situasi ini menyebabkan fizikal pesakit berbeza berbanding kanak-kanak lain.

KENAPA DIPANGGIL SINDROM DOWN?

Kanak-kanak istimewa ini dinamakan ‘Down’ sempena nama John Langdon Haydon Down, iaitu doktor perubatan British yang juga individu pertama pertama mengenal pasti ciri bayi istimewa itu.

RISIKO MENDAPAT ANAK SINDROM DOWN?

Sebab utama kenapa seseorang bayi itu dilahirkan dengan kromosom berlebihan yang membawa kepada Sindrom Down masih tidak dapat dipastikan.

Namun, sindrom ini lebih cenderung berlaku ke atas ibu berumur. Sebagai contoh, pada kadar 1 dalam 400 kelahiran bayi bagi golongan ibu berumur 35 tahun dan meningkat kepada kadar 1 dalam setiap 30 kelahiran untuk golongan ibu berusia 45 tahun.

BOLEHKAH SINDROM DOWN DIKESAN AWAL?

Ya, kandungan bayi Sindrom Down boleh dikesan lebih awal, seawal dalam kandungan. Pemeriksaan saringan, termasuk imbasan ultrabunyi (ultrasound) pada usia kandungan tertentu dan juga mengambil sampel darah ibu.

Sekiranya keputusan saringan lebih menjurus kepada bayi Sindrom Down, maka ibu hamil disarankan menjalani ujian pengesahan lanjut seperti pengambilan sampel air ketuban pada usia kandungan 15-18 minggu yang dilakukan pakar dengan cara selamat. Perkhidmatan saringan itu lebih disyorkan kepada ibu mengandung pada usia 35 tahun ke atas.

APA KEPENTINGAN PENGESAHAN AWAL?

Kelebihan pengesanan awal penting supaya ibu bapa dapat bersedia lebih awal dari segi mental dan emosi sebelum kelahiran bayi. Kita juga dapat berbincang dengan doktor tentang cara penjagaan terbaik dan rawatan susulan selepas bayi dilahirkan, termasuk pembedahan susulan yang perlu dibuat jika melibatkan masalah organ dalaman.

APAKAH CIRI-CIRI SINDROM DOWN?

  • Muka leper
  • Kulit tebal atau berlebihan di belakang leher
  • Leher pendek
  • Mata berbentuk badam disebabkan lipatan pada kelopak mata
  • Lidah yang terjulur
  • Kedudukan telinga yang agak rendah
  • Satu garisan tunggal sahaja pada telapak tangan
  • Otot yang lemah
  • Mereka juga mempunyai masalah kesihatan pada struktur organ dalaman, darah, kelenjar tiroid, telinga, tulang dan kulit.
  • Masalah kelewatan dari segi perkembangan motor, pergerakan dan pertuturan.
  • Daya intelek yang rendah dan lebih cenderung atau awal mengalami masalah nyanyuk apabila meningkat usia tua.

JANGKA HAYAT PESAKIT SINDROM DOWN?

Jangka hayat pengidap Sindrom Down kini meningkat kepada sekitar 60-70 tahun. Perlu diingatkan, dengan rawatan perubatan dan susulan lain, mereka mampu hidup sihat seperti individu lain.

Walaupun mempunyai masalah perkembangan lewat, mereka mampu bekerja dan berdikari dengan bantuan dan latihan serta dorongan. Mereka juga boleh berkeluarga dan mempunyai zuriat.

ADAKAH SINDOM DOWN BOLEH SEMBUH?

Masalah kelebihan kromosom ialah kekal. Bagaimanapun, rawatan perubatan dan pembedahan boleh dilakukan untuk mengubati masalah dan komplikasi dialami pesakit Sindrom Down supaya kualiti hidup mereka bertambah baik.

Kerjasama pihak fisioterapi dan pakar pertuturan juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebolehupayaan pesakit Sindrom Down untuk hidup sihat seperti individu lain.

Pesakit Sindrom Down dan ahli keluarga memerlukan sokongan dan bantuan pelbagai pihak. Mereka tidak perlu didiskriminasi tetapi perlu difahami. Kanak-kanak Sindrom Down juga mempunyai emosi dan perasaan sama seperti manusia lain.

SUMBER: Mmgazette.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda