SUSU ibu ialah susu terbaik untuk anak, tetapi tidak semua ibu bernasib baik dapat menyusukan anak sepenuhnya disebabkan beberapa perkara yang tidak boleh dielakkan. Jadi, sudah tentu alternatif lain kepada susu ibu ialah susu formula.

Mahu pilih susu terbaik untuk anak memang payah. Kalau salah pilih, anak boleh mengalami alahan, ada juga boleh sembelit. Jadi, artikel ini akan menghuraikan secara ringkas mengenai susu formula.

JENIS-JENIS SUSU FORMULA 

1. SUSU LEMBU

Kebanyakan susu formula bayi ialah berasaskan susu lembu yang diubah suai hampir sama dengan susu ibu. Pengeluar produk mengubah suai susu lembu untuk bayi dengan menyesuaikan tahap karbohidrat, protein dan lemak serta menambah vitamin dan mineral. Ada juga susu formula yang dihasilkan khas untuk bayi pramatang.

Dari segi khasiat, bayi hanya perlukan formula peringkat pertama. Namun, kita mungkin boleh memilih untuk bertukar kepada formula peringkat kedua apabila bayi sudah besar.

Bagaimanapun, perlu berhati-hati apabila menukar susu bayi. Jika beralih daripada susu peringkat pertama kepada susu peringkat kedua terlalu awal, bayi boleh mengalami sembelit.

Susu lembu tidak disyorkan sebagai minuman utama bayi di bawah umur setahun kerana kandungan zat besi dan vitamin C yang rendah. Tetapi kita boleh gunakannya dalam jumlah kecil sebagai bahan masakan untuk bayi apabila dia mula mengambil makanan pejal atau untuk diberi bersama bijirin sarapan.

2. PROTEIN DIHIDROLISIS

Ini susu formula khas untuk bayi yang mempunyai alahan atau intoleransi terhadap susu lembu. Jika bayi kita alah susu lembu, protein dalam susu akan menyebabkan reaksi alahan dan jika anak kita ada intoleransi terhadap susu lembu, sukar untuk dia menghadam laktosa atau gula yang terkandung dalam susu lembu.

Susu formula protein dihidrolisi ialah berasaskan susu lembu dan mempunyai nilai nutrisi sama dengan susu formula. Bezanya, protein dalam susu ini dihidrolisis, bermakna ia diuraikan supaya bayi kurang mendapat reaksi.

Susu seperti ni juga secara am bebas laktosa, jadi bayi yang ada intoleransi terhadap susu lembu boleh menghadamnya dengan mudah.

3. KACANG SOYA

Diperbuat daripada kacang soya dan diubah suai dengan tambahan vitamin, mineral dan nutrien supaya sesuai sebagai susu formula.

Susu formula berasaskan soya boleh diberikan hanya atas nasihat doktor atau pakar kanak-kanak kerana pakar kesihatan profesional tidak mengesyorkan susu ini untuk bayi di bawah 6 bulan.

Formula soya juga tidak digalakkan untuk diberi kepada bayi yang mempunyai alahan terhadap susu lembu. Biasanya, bayi yang alah terhadap susu lembu juga alah terhadap soya.

Tiada manfaat tertentu dari segi kesihatan yang diperolehi bayi daripada formula soya berbanding susu formula lain. Malah, susu formula soya sebenarnya boleh merosakkan gigi bayi dalam jangka masa panjang kerana ia mengandungi sirap glukosa. Jika anda memberi bayi anda susu soya, anda perlu lebih berhati-hati dalam menjaga giginya.


CARA MEMILIH SUSU FORMULA 

1. JENAMA TERKENAL DAN REPUTASI BAIK

Salah satu jalan paling selamat ialah memilih jenama produk yang sudah terkenal dan mempunyai reputasi baik.

Berdasarkan kajian U.S. News and Pharmacy Times, 49 peratus ahli farmasi menyarankan jenama Enfamil, 21 peratus menyarankan Similac dan 17 peratus mencadangkan PediaSure.

2. PILIH HARGA MAMPU MILIK

Jangan terlalu berkira membeli susu anak dengan memilih susu murah. Mungkin ada anak tidak sesuai dengan susu itu atau sebaliknya. Di pasaran, ada pelbagai jenama terkemuka yang menawarkan harga berpatutan.

Jadi, pilihlah jenama dikenali dan dipercayai mengikut kemampuan kita. Jenama yang dikenali mempunyai khidmat pelanggan terbaik dan akan menjamin kesihatan dan keselamatan anak kita.

Perlu diingat, jangan juga membeli susu formula daripada pengedar atau penjual yang tidak diketahui sumber susu formula kerana dikhuatiri susu tersebut susu tiruan yang kini sudah banyak di pasaran.

3. PILIH IKUT KEPERLUAN ANAK

Pilih jenis susu formula mengikut keperluan anak sama ada susu lembu, susu soya atau susu dihidrolisis. Kita boleh meminta nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya anak kita mempunyai alahan pada mana-mana jenis susu.

4. KANDUNGAN TAMBAHAN DALAM SUSU

Semua susu formula sudah ada kandungan seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral. Apa yang membezakan ialah kandungan tambahan seperti jenis karbohidrat dan lemak yang digunakan dalam susu tersebut.

5. PILIH SUSU IKUT USIA ANAK

Akhir sekali, pilihlah susu formula mengikut usia anak kita kerana setiap produk sudah pun diformula secara khas mengikut keperluan badan mengikut usia kanak-kanak. Keperluan mineral dan vitamin bayi berusia 6 bulan sudah semestinya berbeza dengan kanak-kanak 2 tahun.

SUMBER: BabyCenter | TheAsianParent

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda