BAYI diklasifikasikan sebagai pramatang sekiranyan dilahirkan pada usia kandungan belum melepasi 37 minggu. Biasanya bayi pramatang mengalami masalah pernafasan dan kurang berat badan. Malah, sering juga dikaitkan dengan masalah kulit.

Masalah kulit dihadapi bayi pramatang ialah antara penyakit yang sering dialami hampir semua bayi pramatang kerana kulit mereka masih tidak berkembang sempurna.

Apakah jenis masalah kulit itu dan bagaimanakah cara menjaga?

1. KULIT MERAH

Kulit bayi pramatang biasanya berwarna sangat merah, terutama yang lahir sebelum 34 minggu. Kulit kemerahan ini disebabkan jaringan kulit yang belum berkembang dengan sempurna dan sangat sensitif.

Bagaimanapun, kulit merah bayi pramatang ialah normal dan bukan masalah kepada bayi kecuali ada luka atau ruam.

2. KULIT KUNING

Kuning pada kulit bayi ialah ciri penyakit kuning atau jaundis, yang sering berlaku pada bayi pramatang. Jangan risau, keadaan ini bersifat sementara disebabkan bilirubin dalam darah.

Keadaan ini terjadi disebabkan hati yang masih belum berkembang sepenuhnya kerana kelahiran awal. Sakit kuning dapat dikesan melalui darah dan doktor selalunya akan membiarkan ia sembuh sendiri. Bagaimanapun, jika penyakit kuning tidak dirawat betul boleh menyebabkan cacat perkembangan dan fizikal yang kekal.

3. RUAM KULIT

Kulit bayi baru lahir sangat sensitif, tetapi kulit bayi pramatang mungkin lebih kerap mengalami ruam. Ruam akan semakin banyak ketika bersentuhan dengan bahan yang membuat kegatalan kulit.

Ruam pada bayi juga terjadi disebabkan ekzema, yang mana keadaan kulit mengalami tanda keradangan, kemerahan dan rasa gatal teruk. Ruam ini paling sering muncul di pipi, dagu, leher, pergelangan tangan dan lutut.

Bagi bayi pramatang, ekzema ialah masalah kulit jangka pendek. Bayi dengan alergi mungkin memiliki ekzema lebih lama sepanjang masa kanak-kanak.

4. LUKA PADA KULIT

Selain ruam, luka juga boleh terjadi pada kulit bayi lahir pramatang disebabkan perbuatan menggaru atau menggosok kulit yang sangat sensitif. Jadi, penting bagi kita untuk melihat tanda jangkitan pada luka.

Bayi mudah terkena jangkitan kerana memiliki sistem imun yang masih lemah. Tanda-tanda jangkitan kulit bayi pramatang ialah:

  • Ada benjolan
  • Luka terbuka yang berwarna merah
  • Luka menjadi lebih besar dan semakin parah
  • Terdapat nanah

Bila tanda tersebut kelihatan pada kulit bayi, segeralah merawat sebelum jadi lebih serius kerana bayi pramatang lebih mudah dijangkiti sepsis iaitu komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

5. GATAL PADA KULIT

Kulit gatal ialah masalah kulit bayi pramatang yang biasa terjadi. Biasanya keadaan ini tidak lama dan hilang sendiri apabila bayi meningkat usia. Bagaimanapun, untuk membantu melegakan gatal, kita boleh lakukan:

  • Memandikan bayi dalam air hangat dan sabun yang tidak mengandung parfum.
  • Mengaplikasikan ubat untuk menghilangkan ruam.
  • Mencuci pakaian secara berasingan daripada anggota keluarga lain dan menggunakan sabun cucian lembut.
  • Tidak menggunakan pelembut pakaian untuk pakaian si kecil.
  • Sering menggunakan pelembab yang tidak mengandung parfum untuk melindungi kulit daripada peluh.

SUMBER: HelloSehat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda