Wanita hamil kali pertama memang akan keliru tentang cara pengiraan tarikh bersalin atau ‘due date’. Ini termasuk kalangan wanita yang sudah ada pengalaman bersalin, pun masih keliru, dan ada yang terlupa tentang tarikh akhir haid.

Persoalannya, adakah perlu mengikut tarikh haid akhir atau berdasarkan keputusan scan dilakukan doktor, walaupun kedua-dua pemeriksaan itu berbeza? Jadi, apa kata kita baca penjelasan Dr Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak.


Tarikh jangka bersalin, mana satu yang betul?

Semua ibu hamil akan melalui proses imbasan atau scan, ini dinamakan dating scan. Dating scan ini maksudnya scan awal kehamilan, bukan terlalu awal tetapi dilakukan antara minggu ke-10 dan 14 kehamilan. Biasanya dibuat pada minggu ke-12 kehamilan. Apabila doktor tanya, scan awal-awal buat tak? Inilah scan yang dia nak.

Scan sebelum 10 minggu itu HANYA dibuat apabila si ibu ada rasa sakit atau pendarahan atau ibu pernah mengalami masalah pada kandungan terdahulu misalnya kehamilan luar rahim atau pernah ada keguguran berulang kali.

Selain daripada itu, tiada sebab perlu buat scan sebelum 10 minggu kehamilan. Ya, saya tahu memang teruja nak tengok bayi dalam rahim, tetapi buatlah perkara yang perlu sahaja, jangan berlebih-lebihan.

Dating scan ini cara terbaik menjangka bilakah sepatutnya tarikh jangka bersalin atau dalam erti kata lain, scan ini untuk menentukan berapa minggu sebenarnya anda sudah hamil.

Anda memang boleh tahu apabila tarikh hari pertama haid akhir atau last period, tetapi bila sebenarnya persenyawaan berlaku kita tidak tahu.

Jika haid tidak teratur ataupun sebelum ini ada mengambil pil perancang kehamilan, mahu dapatkan tarikh dijangka bersalin berdasarkan tarikh haid akhir mungkin kurang tepat. Maka, tarikh yang diberikan berdasarkan dating scan ialah tarikh tepat yang boleh dipakai.

Jika tarikh yang diberikan scan tidak lari jauh daripada tarikh yang dikira berdasarkan tarikh haid akhir, maka tarikh dijangka bersalin akan ikut perkiraan dari tarikh hari pertama haid akhir. Jika perbezaan tarikh jangka bersalin itu lebih 2 minggu, maka kita akan gunakan tarikh dijangka bersalin yang didapati melalui dating scan.

Dating scan selain menentukan minggu kehamilan dan tarikh dijangka bersalin, boleh digunakan untuk melihat sama ada kehamilan itu ialah kandungan kembar dua atau tiga atau hanya 1 bayi saja.

Apa yang diukur masa 12 minggu?

Bayi akan diukur dari kepala ke bahagian bawah. Ukuran ini dinamakan crown rump length (CRL) dan sangat tepat jika dilakukan pada trimester pertama kehamilan.

  • Pada 10 minggu, bayi berukuran lebih kurang 3sm
  • Pada 12 minggu, bayi berukuran lebih kurang 5 hingga 6sm
  • Pada 13 mingu, bayi berukuran 7sm

Lepas 13 minggu, bayi boleh memanjang atau membongkok, maka ukuran itu jadi kurang tepat. Maka, dari 13 minggu , jika bayi itu lebih panjang daripada 84mm, ukur lilit kepala bayi (head circumference) ialah cara terbaik membuat ukuran.

Jangan nak keliru mahu ikut tarikh mana. Tanya doktor dan dapatkan kepastian tarikh mana hendak diikut.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda