RAMAI wanita tidak tahu tentang bahaya hamil luar rahim yang mampu mengundang maut kepada ibu dan janin jika tidak diberikan perhatian dan rawatan sepatutnya.

Mari baca artikel lengkap hasil perkongsian Pakar Sakit Puan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak dalam status laman Facebook tentang kehamilan luar rahim.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.

BACA PENERANGAN TERPERINCI INI… 

Kehamilan luar rahim ialah kehamilan yang terjadi dan membesar di luar rahim dengan nisbah 1 dalam 90 wanita. Malah, wanita yang mempunyai sejarah kehamilan luar rahim mempunyai risiko tinggi untuk berulang.

Kehamilan luar rahim sangat berisiko dan berbahaya kepada wanita.

Secara normalnya, telur wanita yang disenyawakan akan digerakkan masuk ke dalam rahim melalui tiub Fallopio, di dalam rahim inilah telur yang disenyawakan menempel dan berkembang menjadi janin dan seterusnya bayi. Jika keadaan ini tidak berlaku, telur yang disenyawakan ini akan menempel di luar rahim dan berlaku kandungan luar rahim.

Kehamilan luar rahim berbahaya kerana apabila kehamilan ini berkembang dan menjadi besar, ia boleh pecah dan menyebabkan kesakitan dan pendarahan di ruang abdomen.

Kebanyakan kehamilan luar rahim terjadi pada tiub Fallopio (tubal pregnancy), tetapi 3-5 peratus kehamilan luar rahim boleh juga berlaku di mana mana.

SIMPTOM KEHAMILAN LUAR RAHIM

Setiap wanita dengan masalah ini mengalami gejala berbeza. Ada tiada langsung simptom, ada mempunyai beberapa simptom, dan ada mengidap pelbagai simptom.

Lazimya wanita akan mengalami simptom pada minggu ke-6 kehamilan (selepas 2 minggu tidak datang haid). Anda mungkin sedar atau tidak sedar diri sedang mengandung lebih-lebih lagi jika haid tidak teratur ataupun kaedah perancangan keluarga gagal atau tidak berjaya.

Simptom berbeza antara individu ke individu lain menyebabkan ia bukan perkara mudah untuk membuat diagnosis kehamilan luar rahim.

  • Sakit bahagian bawah perut – Kadangkala sakit datang tanpa sebab musabab dan secara tiba-tiba untuk beberapa hari, dan boleh terjadi pada sebelah bahagian sahaja.
  • Pendarahan alat kelamin atau vagina – Tompokan darah mungkin kelihatan, ataupun mengalami pendarahan yang bukan seperti haid biasa.
  • Sakit pada bahu (shoulder tip pain) – Sakit ini disebabkan darah terkumpul dalam ruang abdomen akibat kehamilan luar rahim yang pecah. Anda boleh mengalami sakit perut dan boleh pengsan tiba-tiba akibat kehilangan banyak darah. Dalam keadaan kecemasan, seharusnya berjumpa kakitangan kesihatan atau doktor dengan segera.

SIAPA BERISIKO HAMIL LUAR RAHIM?

Semua wanita dalam umur reproduksi (child bearing age) boleh mengalami kehamilan luar rahim. Risiko ini meningkat sekiranya:

  • Mempunyai sejarah kehamilan luar rahim. 
  • Mempunyai tiub Fallopio rosak, sama ada pernah mengalami pembedahan pada tiub Fallopio, termasuk pembedahan mengikat tiub Fallopio (tubal ligation) atau mempunyai jangkitan tiub Fallopian (pelvic inflammatory diseases).
  • Hamil walaupun sudah memakai alat dalam rahim (intrauterine device) atau memakan pil perancangan keluarga yang mengandungi hormon progesteron sahaja (mini pill).
  • Kehamilan kali ini ialah melalui in vitro fertilisation (IVF) atau intracytoplasmic sperm injection (ICSI)
  • Merokok.

BAGAIMANA KEHAMILAN LUAR RAHIM DIKENAL PASTI?

Hampir semua kandungan luar rahim dijangka berlaku dalam tempoh kandungan 6-10 minggu. Bagaimanapun, kehamilan luar rahim boleh dikesan cepat.

Perlu ingat, sekiranya masih berada di peringkat awal kehamilan, doktor boleh mengambil masa sedikit lama untuk melakukan diagnosis kehamilan luar rahim.

Diagnosis dibuat berdasarkan:

1. PEMERIKSAAN DOKTOR

Doktor akan tanya beberapa soalan berhubung sejarah perubatan sebelum buat pemeriksaan abdomen. Dengan kebenaran, doktor akan melakukan pemeriksan vagina dengan kehadiran caperon wanita atau female chaperone sebagai teman sepanjang pemeriksaan. 

2. UJIAN KEHAMILAN

Jika ujian kehamilan belum dibuat, sampel kencing akan diminta untuk ujian ini. Jika keputusan negatif, biasanya bukan kehamilan luar rahim.

3. PEMERIKSAAN ULTRASOUND

Alat ultrabunyi (ultrasound) akan dimasukkan secara perlahan ke dalam alat kelamin atau vagina (transvaginal scan) kerana pemeriksaan jenis ini lebih tepat berbanding imbasan ke atas abdomen (transabdominal scan).

Anda akan diberikan cadangan untuk melalui pemeriksaan transvaginal ultrasound untuk mengenal pasti lokasi sebenar kehamilan. Namun, bukan mudah mengenal pasti kedudukan kehamilan, lebih-lebih lagi peringkat awal kehamilan, dan anda mungkin perlu mengulangi pemeriksaan itu selepas beberapa hari. 

4. PEMERIKSAAN DARAH

Bagi memeriksa paras hormon kehamilan (beta- HCG). Lazimnya, pemeriksaan darah dijalankan setiap 48 jam. Jika hormon meningkat sebanyak 63 peratus setiap 48 jam (doubling time), kehamilan selalunya berada dalam rahim.

Sebaliknya, jika paras hormon ini rendah dan tidak meningkat seperti sepatutnya atau kekal pada nilai sama, berkemungkinan besar mengalami kandungan luar rahim.

5. LAPAROSKOPI

Jika keadaan masih tidak pasti dan masih tidak dapat mengenal pasti lokasi kehamilan, sejenis pembedahan akan dilakukan dengan diberikan bius penuh. Beberapa lubang kecil akan dilakukan pada abdomen supaya kamera dan peralatan lain boleh dimasukkan.

Jika kandungan luar lahim sudah dikenal pasti, rawatan membuang tiub yang mengandungi kandungan luar rahim akan dilakukan atas kebenaran anda, melainkan situasi kecemasan yang boleh meragut nyawa.

BAGAIMANA KEHAMILAN BERIKUTNYA?

Peluang hamil seterusnya bukan masalah walaupun anda cuma ada satu tiub Fallopian tiub sahaja.

Bagi kebanyakan wanita, kehamilan luar rahim terjadi sekali sahaja. Bagaimanapun, secara keseluruhan, peluang anda mendapat sekali lagi kehamilan luar rahim meningkat 7-10 peratus jika dibandingkan nisbah 1 dalam 90 dalam populasi amnya.

Anda seharusnya segera berjumpa doktor apabila mengetahui diri hamil. Pemeriksaan ultrabunyi akan dilakukan awal 6-8 minggu kehamilan untuk memastikan kandungan berada dalam rahim.

Jika belum bersedia untuk hamil, boleh dapatkan khidmat nasihat perancangan keluarga dari klinik perancangan keluarga ataupun doktor sendiri kerana ada jenis perancangan keluarga yang lebih sesuai selepas mengalami kehamilan luar rahim.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda