SITUASI bercakap seorang diri memang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak terutama mereka yang masih kecil. Jika selalu memang boleh buat risau pula.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada Universiti Sultan Azlan Shah, Hazhari Ismail berkata, sebenarnya perkara ini tidak perlu dirisaukan kerana ia mempunyai kebaikan kepada kanak-kanak. Biarkan! Apabila meningkat usia, ia akan hilang sendiri.

Berikut kelebihan dan kebaikan kanak-kanak yang suka bercakap seorang diri. Mungkin ramai ibu bapa tidak tahu.


ANAK BERCAKAP DENGAN DIRI SENDIRI

Anak saya 4 tahun selalu bercakap sorang-sorang. Anak saya bermasalah ke?”

Kadangkala, ibu bapa risau jika melihat anaknya bercakap dengan seorang sendiri. Self-talking atau bercakap seorang diri dalam kalangan kanak-kanak ialah sesuatu yang normal sama ada mereka bercakap dengan diri sendiri atau bercakap dengan barang-barang seperti anak patung dan sebagainya. Keadaan ini wujud pada umur-umur tertentu.

Kenapa ia terjadi?

Bercakap sendiri selalu dikaitkan dengan perkembangan kognitif. Ia menunjukkan kanak-kanak berkomunikasi dengan dunia yang penuh dengan imaginasi. Ya, kanak-kanak itu sendiri yang bayangkan dunia imaginasi mereka. Dalam dunia mereka, akan ada karakter-karakter yang wujud dan kadangkala karakter itu sama seperti dunia sebenar (seperti sifat, perwatakan, percakapan etc), dan kadangkala berbeza.

Kita akan lihat kanak-kanak akan jadi diri sendiri atau jadi orang lain. Ini kerana mereka sedang memainkan watak atau karakter orang lain. Mereka cuba untuk meniru sekeliling.

Bercakap dengan objek tidak bernyawa?

Selalunya kanak-kanak juga akan memilih untuk bercakap dengan objek yang tidak bernyawa atau tiada reaksi. Contoh terdekat ialah anak patung. Itu salah satu cara mereka meluahkan diri tentang perasaan dan berfikir. Ciri-ciri ini membantu mereka membiasakan diri dengan sekeliling seperti penggunaan bahasa dan tingkah laku.

Yakinlah, apabila ibu bapa melihat anak bercakap sendiri, mereka memang tengah melalui fasa ini. Dan lama-lama ia akan hilang.

Kanak-kanak akan bercakap sendiri dengan kuat berbanding orang dewasa. Mereka tidak sedar atau tidak perasan dengan sekeliling kerana terlalu asyik berimaginasi. Sebab itu jika kita tegur ketika mereka sedang bercakap sendiri, mereka akan tersentak dan berhenti untuk teruskan bercakap.

Kadangkala mereka bercakap macam sedang beria-ia berlakon. Penuh dengan eskpresi muka, intonasi suara , gerak badan dan lain-lain. Itu sesuatu yang baik!

Kebaikannya?

Banyak kajian dijalankan tentang kebaikan bercakap dengan diri sendiri untuk kanak-kanak. Antaranya:

• Menunjukkan kebijaksanaan kanak-kanak. Lebih banyak kanak-kanak bercakap dengan diri sendiri, lebih bijak mereka akan jadi.
• Kanak-kanak kecil (toddler) sedang memahami konsep dunia sekeliling. Mereka akan memerhati, berkenalan dan membiasakan diri mereka sendiri.
• Mereka sedang meningkatkan kawalan diri.
• Mengukuhkan perbendaharaan kata. Mereka menggunakan perkataan yang sudah ada dan ‘memainkan’ semula ketika sesi bercakap dengan diri sendiri.
• Meningkatkan kreativiti. Ya, mereka akan jadi lebih kreatif. Mereka akan menyoal dan mereka juga akan menjawab persoalan tersebut. Kalau dengar betul-betul, kadangkala kita tidak faham apa cerita mereka, but kids always be kids.

Bercakap sendiri ini ialah sesuatu yang normal pada umur 3 hingga 5 tahun. Jangan risau, lama-lama tabiat itu akan hilang.

Kalau tak nak hilang, rakamlah diam-diam. Anda akan ketawa apabila melihatnya semula.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda