JANGAN tidak tahu kanak-kanak pun ada yang mengidap kencing manis, atau diabetes walaupun baru berusia seawal 5 tahun. Situasi itu memang sangat merisaukan, kerana ibu bapa sedia maklum tentang bahaya penyakit tersebut.

Artikel kali ini akan membincangkan tentang faktor penyebab kenapa kanak-kanak boleh mengidap diabetes dan bagaimanakah cara mengelakkan penyakit itu?

APAKAH DIABETES?

Diabetes menyebabkan paras gula dalam darah seseorang lebih tinggi daripada normal. Ada dua jenis utama diabetes: diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. Kanak-kanak kerap mendapat diabetes jenis 1.

1. DIABETES JENIS 1

Berlaku apabila kelenjar pankreas yang berfungsi menghasilkan hormon insulin untuk mengawal paras gula darah, gagal berfungsi baik. Ini menyebabakan paras gula dalam darah lebih tinggi daripada sepatutnya. Pesakit diabetes jenis ini bergantung sepenuhnya kepada suntikan hormon insulin setiap hari.

PUNCA?

Punca sebenar masih belum dikenal pasti dengan jelas dan masih dikaji pakar. Antara faktor yang cuba dikaitkan ialah faktor genetik dan persekitaran.

2. DIABETES JENIS 2

Masih mampu menghasilkan hormon insulin. Bagaimanapun, tisu badan kurang sensitif terhadap hormon insulin yang dihasilkan. Akhirnya, paras gula dalam darah berada pada tahap lebih tinggi berbanding normal.

Pesakit boleh dirawat dengan memakan ubat diberikan doktor ataupun menerusi suntikan insulin bagi mengawal paras gula darah supaya berada pada tahap baik.

PUNCA

i) GENETIK

Berpunca faktor genetik, apabila salah seorang ibu bapa mengidap diabetes, anak juga berisiko lebih tinggi mendapat diabetes jenis 2.

ii) OBESITI

Obesiti juga memainkan peranan besar. Peningkatan kadar diabetes jenis 2 di kalangan kanak-kanak juga mungkin selari peningkatan kadar obesiti seluruh dunia dan Malaysia. Peningkatan kadar obesiti ini sudah tentu dipengaruhi faktor pemakanan kurang sihat dan berlebihan, termasuk kurang melakukan aktiviti fizikal mencukupi.

BAGAIMANAKAH CARA MENGETAHUI ANAK ADA DIABETES?

  • Kerap buang air kecil
  • Kerap minum air
  • Dahaga berlebihan
  • Penurunan berat badan
  • Cepat letih daripada biasa

Apabila gejala ini berlarutan dan paras gula dalam darah berterusan tinggi, asid yang dinamakan ketone akan berkumpul dalam darah.

Ketone tinggi boleh menyebabkan kanak-kanak mendapat komplikasi serius, dipanggil diabetic ketoacidosis (DKA). 

  • Muntah
  • Sakit perut
  • Bernafas laju

DKA sangat berbahaya dan rawatan hospital amat diperlukan dalam kadar segera.

BAGAIMANAKAH CEGAH DIABETES DARIPADA KANAK-KANAK

Tidak ada langkah pencegahan yang diketahui buat masa ini untuk diabetes jenis 1. Kanak-kanak yang mengidap diabetes jenis 1 memerlukan rawatan insulin sepanjang hayat bagi memastikan kawalan gula pada darah optimum.

Kawalan paras gula yang baik dapat mencegah risiko komplikasi diabetes jangka panjang seperti komplikasi buah pinggang dan saraf. Jangan risau, walaupun mengidap diabetes, anak masih boleh membesar dengan baik dan menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Diabetes jenis 2 boleh dicegah dengan inisiatif ibu bapa sendiri dalam mengekalkan berat badan ideal dan sesuai untuk anak mengikut peringkat tumbesaran badan.

i) AMALAN PEMAKANAN

Amalan pemakanan seimbang dan tiada gula berlebihan sangat penting untuk anak.

ii) AKTIVITI SIHAT

Kanak-kanak perlu menjalankan aktiviti fizikal dan riadah untuk mengekalkan tahap kesihatan dan mengurangkan risiko obesiti dan diabetes.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda