KANAK-KANAK memang aktif, tambahan lagi jika sudah mula bersekolah atau dihantar ke pusat asuhan. Berpeluh dan terdedah dengan ramai kanak-kanak lain sudah jadi perkara biasa. Tidak hairanlah jika ibu bapa sering terjumpa kudis baharu setiap kali balik rumah.

Ada pula jenis kudis yang tidak hilang dan sering berganti-ganti. Mungkin ada ibu bapa yang anggap kudis itu hanya penyakit kulit biasa. Namun, jangan ambil mudah kerana kita perlu mengetahui sama ada kudis yang menjangkiti anak itu berbahaya atau sebaliknya.

Berikut perkongisian Dr Aishah Alsagoff mengenai kudis yang sering menyerang kanak-kanak tadika dan taska.

* Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan isi kandungan asal.


3 kes impetigo saya jumpa minggu ini di kalangan kanak-kanak tadika.

Orang kita biasa panggil kudis.

Kudis ini impetigo namanya. Sejenis jangkitan kuman di kulit yang biasa kena di bahagian mulut dan hidung, muka, kaki dan kulit kepala. Kadang-kadang bahagian lain juga boleh terkena.

Sebab apa saya nak cerita? Sebab impetigo ini sangat mudah berjangkit!

Ia bermula bintik merah, kemudian membesar dan jadi berkerak kekuningan. Inilah honey-colored crust yang sangat tipikal untuk impetigo.

CARA JANGKITAN?

Risiko untuk berjangkit sangat mudah melalui:

  • Sentuhan tangan yang kotor
  • Kongsi tuala yang tercemar
  • Melalui cecair hidung dan mulut

Kudis impetigo biasanya tidak berserta dengan demam. Jadinya, kanak-kanak akan aktif seperti biasa, berlari makan minum macam biasa, jadi ibu bapa pun hantarlah ke taska seperti biasa. Hah, di sinilah risiko untuk kanak-kanak lain dijangkiti sangat tinggi. Seorang demi seorang akan mula kena jangkit nanti.

Walaupun ini bukan jangkitan serius tetapi ia mudah berjangkit, maka tidak digalakkan bercampur kanak-kanak lain.

Bagi jangkitan impetigo biasa, boleh sembuh tanpa berparut. Bagi jangkitan seperti bullous impetigo iaitu kudis berair, ia lebih dalam dan mudah berparut.

RAWATAN

Rawatannya mudah, ubat sapu seperti mupirocin atau fucidin dan antibiotik minum.

  • Jaga kebersihan
  • Potong kuku
  • Kerapkan cuci tangan anak
  • Jangan kongsi tuala, baju, botol susu dan straw minuman dengan pesakit.

Harap sedikit sebanyak dapat membantu. Boleh kongsi untuk ibu-ibu lain ya.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda