GAMBAR HIASAN

KES ibu bunuh anak bukan perkara baru di Malaysia dan kerap kali kesalahan ditundingkan kepada wanita atau ibu semata-mata.

Masa berpantang memang mencabar, lebih-lebih lagi jika suami langsung tidak membantu. Ketika inilah emosi ibu mudah terganggu. Jika ada ibu mengadu stres, penat atau letih sepanjang berpantang, tolong jangan buat tidak endah. Jagalah mereka, dan sila ambil berat, bukan abaikan dengan menuduh mereka mengada-ngada.

Berikut perkongsian jururawat bertauliah, Bel Nawhen tentang gejala kemurungan yang sering melanda wanita pasca melahirkan anak.


Pagi tadi ada dengar berita tentang ibu mengelar anaknya yang berusia 2 tahun.

Daripada apa dikatakan si suami, isterinya ada simptom kemurungan (depression) atau halusinasi dan tidak pernah mendapatkan rawatan di mana-mana pusat kesihatan mental.

Halusinasi dialami si ibu ialah salah satu tanda si ibu mempunyai kecelaruan mental yang sering tidak dipandang berat dan diremehkan atas alasan si ibu mengada-ngada ataupun sengaja cari perhatian.

Pada usia muda dalam lingkungan 31 tahun dan sudah ada 3 orang anak, terkadang berikan satu tekanan fizikal dan mental dalam membesarkan anak yang sedang dalam proses membesar.

Dalam hal ini, banyak sudut perlu diperhatikan dari segi mula melahirkan hingga anak semakin membesar kerana gejala kemurungan boleh berterusan jika tidak dirawat.

Sebenarnya, ada beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu berkemungkinan mengalami gejala kemurungan selepas bersalin tetapi anda tidak perasan atau menyangka itu tanda biasa kerana cuba menyesuaikan diri dengan tempoh berpantang.

• BERFIKIRAN NEGATIF

Sering memikirkan sesuatu yang negatif jika terjadi sesuatu ketika proses berpantang. Sebagai contoh, rasa akan mencederakan anak jika sering meragam atau menangis tanpa sebab. Ada merasakan perlu melarikan diri daripada semua orang kerana tidak mampu mengawal keadaan antara diri dan anak yang baru lahir.

Dalam keadaan ini, anda akan mengharapkan bantuan dan sokongan keluarga, terutama suami atau bantuan profesional daripada doktor.

Kesukaran menyesuaikan diri dalam keadaan ini ialah antara gejala kemurungan selepas melahirkan.

• CEPAT MARAH ATAU MUDAH BARAN

Ada waktu, anda akan rasa mudah marah dan cepat melenting atau naik angin. Anda akan melepaskan amarah itu tidak kira kepada bayi, pasangan, ahli keluarga ataupun rakan sekerja walaupun atas perkara kecil. Anda juga mudah rasa sakit hati atas apa orang lain lakukan yang menyinggung perasaan anda.

Cepat marah, lambat sejuk ialah salah satu gejala kemurungan kerana anda terlalu memendam rasa dan apabila tidak boleh dikawal, anda akan lepaskan perasaan itu.

• MUDAH LUPA

Anda tiba-tiba jadi pelupa. Terkadang benda kecil seperti sudah beri anak menyusu atau mandi pun terpaksa mengambil masa untuk mengingat semula.

Ini bukan tanda ada ‘wayar sudah putus’, atau ada urat sudah putus ketika proses melahirkan. Kemurungan itu sebenarnya memberi kesan terhadap daya ingatan seseorang.

• SUKAR TIDUR (INSOMNIA)

Ini rasanya ramai yang alami, lebih-lebih lagi walaupun letih selepas melahirkan, anda masih tidak mampu tidur. Ataupun. Walaupun sudah tidur, anda masih rasa letih dan lesu. Ini menunjukkan mental anda sedang penat, bukan tubuh anda.

• RASA KOSONG

Anda tidak ada apa-apa perasaan tidak kira emosi ataupun rasa kasihan kepada apa pun. Apa anda buat umpama robot tanpa sedar perlakuan yang anda sedang buat. Anda tidak teruja lagi dengan kelahiran anak, menikmati pengalaman menyusu atau merasakan perlu memujuk dan menjaga anak apabila dia menangis.


Dari segi perubatan dan sains, gangguan perasaan wanita selepas bersalin dibahagikan kepada 3 peringkat mengikut tahap teruk iaitu gangguan perasaan ringan (postpartum blues), kemurungan (depression) dan gila meroyan (postpartum psychosis).

1. GANGGUAN PERASAAN RINGAN (Post Partum Blues/Baby Blues)

Seorang ibu yang mengalami postpartum blues akan rasa sedih, penat dan mengalami mood tidak menentu. Semua orang mungkin akan mengalami keadaan ini, termasuk orang yang tidak pernah mengalami masalah mental ataupun tekanan emosi sebelum atau ketika mengandung, terutama ibu yang melahirkan anak buat kali pertama.

Beberapa penyesuaian diperlukan wanita dalam menghadapi aktiviti dan peranan baru sebagai ibu pada minggu atau bulan pertama selepas melahirkan, baik dari segi fizikal mahupun psikologi. Sebahagian wanita berjaya menyesuaikan diri dengan baik tetapi sebahagian lain tidak berhasil menyesuaikan diri dan akan mengalami gangguan psikologi.

Namun, gejala ini sangat ringan dan biasanya akan baik sendiri tanpa rawatan. Perubahan emosi ini kerap berlaku pada hari ke-3 hingga 5 selepas bersalin, dan berkurangan selepas hari ke-10. Kemudian emosi biasanya kembali stabil. Mungkinlah apabila orang komen mengenai bayi, penyusuan ibu dan sebagainya, ibu rasa sentap dan terus memendam perasaan dan menyebabkan kesedihan itu berpanjangan.

2. KEMURUNGAN (Postpartum Depression)

Kemurungan ialah masalah yang lebih serius dan perlu mendapatkan rawatan. Keadaan ini menimpa 1 daripada 8 ibu dan lebih kerap berlaku pada bulan pertama hingga setahun selepas melahirkan anak. Bermakna, postpartum depression mengambil masa yang lebih lama untuk terjadi. Ibu juga mungkin sudah mengalami masalah mental atau tekanan beberapa bulan sebelum gejala kemurungan ketika berpantang muncul.

Gejalanya sama saja dengan postpartum blues, tetapi biasanya lebih teruk .Ibu-ibu ini mempunyai faktor risiko tertentu dan lebih cenderung mendapatkan kemurungan selepas bersalin (kemungkinan berlaku rentetan gejala postpartum blues berpanjangan).

Faktor yang boleh meningkatkan risiko kemurungan selepas bersalin ialah:

  • Stres.
  • Sejarah kemurungan selepas bersalin untuk kelahiran sebelum.
  • Mempunyai masalah tekanan emosi yang tiada kaitan dengan kandungan.
  • Kehidupan alam rumah tangga bermasalah.
  • Tiada tempat meluahkan perasaan.
  • Tekanan hidup sebelum, semasa atau selepas bersalin.
  • Tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada suami dan keluarga dalam menguruskan bayi dan diri sendiri (terutama kes ibu melahirkan bayi sulung).
  • Trauma yang terbawa-bawa jika pernah mengalami kehilangan bayi sebelum kelahiran sekarang.
  • Kesukaran menangani masalah bayi menangis tengah malam, ditambah badan letih akibat ‘labour stage’ yang lama dan sakit akibat luka bersalin atau pembedahan.
  • Masalah dengan orang tua atau mertua (terutama dalam amalan berpantang yang kadangkala terlalu ketat).
  • Bayi mengalami jaundis/perlu ulang alik ke hospital atau klinik.
  • Masalah dalam menyesuaikan diri dengan bayi baru lahir selain anak sedia ada yang juga memerlukan perhatian.
  • Menahan rasa rindu dan rasa jauh dari suami (untuk ibu yang kali pertama melahirkan).
  • Perilaku anak semakin nakal hingga ibu jadi stres.
  • Gangguan corak tidur ibu pada malam hari kerana bayi menangis.
  • Setiap kegiatan ibu jadi terbatas kerana kehadiran seorang bayi.
  • Takut melakukan hubungan suami isteri kerana takut mengganggu bayi selain trauma di bahagian sulit ketika melahirkan.

3. PSIKOSIS

Psikosis selepas bersalin atau gila meroyan ialah peringkat paling teruk dan jarang berlaku selepas bersalin. Gila meroyan boleh berlaku secara tiba-tiba, biasanya dalam 2 minggu pertama selepas bersalin dan ada yang berlaku dalam masa 48 jam.

Ibu-ibu ini biasanya tidak lagi berpijak di bumi nyata dan mengalami simptom psikosis, termasuk nampak sesuatu yang tiada atau mendengar suara yang tidak didengari orang lain. Ini boleh meningkatkan kecenderungan mencederakan diri sendiri atau orang sekeliling, terutama bayi selain idea bunuh diri sendiri muncul dalam kepala.

Ibu yang berisiko untuk mendapat psikosis selepas bersalin:

  • Mempunyai sejarah masalah mental atau pernah mengalami gila meroyan dalam kandungan sebelum ini.
  • Sejarah keluarga yang mempunyai masalah gila meroyan, terutama ibu atau kakak.
  • Gelaja kemurungan berpanjangan selain punca masalah kemurungan gagal dikenal pasti sejak awal.

Antara tanda yang kelihatan buat ibu yang bermasalah kemurungan seperti diatas ialah:

  • Cemas tanpa sebab
  • Menangis tanpa sebab
  • Tidak sabar
  • Tidak percaya diri
  • Sensitif
  • Mudah tersinggung
  • Merasa kurang menyayangi bayinya
  • Merasa seperti tidak disayangi suami/ibu/mertua/adik beradik kerana perhatian berlebihan kepada bayi
  • Cemburu terhadap perhatian diberikan terhadap bayi
  • Merasa tangisan bayi terlalu menyakitkan telinga

Masalah kemurungan yang dikenal pasti awal boleh dielakkan dan diatasi dengan kerjasama suami dan ahli keluarga lain, terutama dalam pengurusan bayi dan anak sedia ada. Selain itu, beberapa cadangan diberikan kepada ibu baru bersalin, antaranya:-

1. BANYAK BEREHAT

Buat suami, tidak salah rasanya membantu isteri menguruskan bayi tidak kira memandikan bayi, menukar lampin, membancuh susu dan menjaga bayi sebentar bagi memberi peluang kepada isteri berehat selepas mengeluarkan seluruh tenaga ketika proses melahirkan.

Pernah dengar seorang ustaz memberi ceramah, lelaki ialah satu-satu manusia yang paling penyabar kerana walaupun anak menangis tengah malam, dia tetap sabar dan malah mampu terus tidur.

2. MAKAN MAKANAN SIHAT DAN BERKHASIAT

Makanan sihat dan berkhasiat mampu memberi dan membantu dalam penyembuhan luka selepas bersalin selain memulihkan tenaga hilang. Pemakanan juga membantu dalam penghasilan susu badan yang lancar.

3. LIBATKAN DIRI DENGAN KUMPULAN SOKONGAN

Dengan pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram, blog dan Twitter, ibu boleh mengaktifkan diri dalam kumpulan sokongan ibu berpantang dan menyusu. Di sini, ibu boleh berkongsi pengalaman, dan bertanya tentang perihal masalah dihadapi ketika berpantang serta penjagaan bayi. Tetapi pastikan cari kumpulan sokongan yang membina dengan ahli di kalangan pakar laktasi, pakar nutrisi dan mungkin doktor.

4. BERFIKIRAN POSITIF

Walaupun pelbagai dugaan menimpa, sentiasa ingat bahawa Allah selalu ada untuk kita. Pasti ada sesuatu yang baik sedang menunggu kita. Jangan bebankan diri dengan memikirkan sesuatu yang negatif. Nikmatilah waktu berpantang dengan penuh gembira.

Kerjasama ahli keluarga, terutama suami dalam memantau proses penyesuaian diri si ibu ketika lepas bersalin, ketika membesarkan anak dan memerhati simptom yang mungkin ada mampu mencegah keadaan si ibu jadi lebih parah.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda