JIKA pernah menjalani pembedahan caesarean, kita pasti akan dimaklumkan tentang risiko pundi kencing terpotong sebelum pembedahan. Namun, risiko sama amat jarang berlaku jika bersalin normal.

Jadi, ramai terkeliru dan isu begini seringkali disalah tafsir. Artikel kali ini akan berkongsi penjelasan daripada status Facebook jururawat terlatih, BelNawhen yang cuba menjawab beberapa persoalan tular kebelakangan ini mengenai isu bersalin normal dan terputus pundi kencing.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


TERPOTONG PUNDI KENCING

Saya rasa masa kelas Sains zaman sekolah dulu, ada belajar anatomi bladder (pundi kencing) dan uterus (Rahim). Saya ada sertakan pada Gambar 1 lokasi bladder dan uterus di mana jelas menunjukkan kedudukan betapa dekatnya dua benda ini.

* Sebab itulah bila kandungan makin membesar, anda akan rasa kerap hendak kencing kerana uterus yang besar menekan bladder dan memberikan sensasi mahu kencing.

* Sebab itu juga, sebelum caesarean dilakukan, maka tiub kencing (CBD) dipasang kerana mahu elak risiko kecederaan pada pundi kencing semasa proses pembedahan dilakukan gara-gara pundi kencing penuh.

Bagi kes pembedahan biasa, penerangan WAJIB diberi doktor berhubung risiko kecederaan yang boleh berlaku, tetapi amat jarang seperti kecederaan pundi kencing sebab kita memang sudah elak kemungkinan keadaan ini dari poin saya di atas.

Risiko kecederaan pundi kencing memang boleh berlaku, lebih-lebih lagi apabila keadaan pundi kencing itu agak tinggi atau pundi kencing kencing melekat dengan rahim kerana parut luka pembedahan dahulu.

Dalam kes kecemasan, kecederaan pundi kencing tidak boleh dielakkan (jika kedudukan pundi kencing agak tinggi dan menghalang laluan untuk insisi di rahim) kerana mahu menyelamatkan nyawa si ibu dan anak itu lebih penting.

Selepas fasa kritikal seperti mengeluarkan bayi dan perdarahan dapat dikawal, proses membaiki semula pundi kencing akan dilakukan. Dan ibu dikehendaki memakai tiub kencing (CBD) selama 2 minggu atau lebih bagi memberi peluang penyembuhan pada punci kencing cedera itu.

Penyampaian cerita daripada pihak pertama kepada pihak kedua dan seterusnya kebiasaannya akan berubah-ubah kerana mereka sendiri tidak tahu ada logik atau tidak di situ.

Sebab itu, kami tidak menggalakkan anda terlalu ghairah hendak cepat sembuh luka pembedahan dengan mengambil macam-macam pati sepanjang dua minggu hingga sebulan pertama selepas pembedahan, kerana hendak elak sebarang risiko pertumbuhan tisu terlalu cepat yang tidak normal yang menyebabkan kejadian pelekatan yang kita sebut sebagai adhesion.

Dalam kejadian bersalin normal, amatlah mustahil berlaku kejadian terpotong pundi kencing ataupun salur kencing kerana apa yang doktor atau jururawat gunting semasa melalukan episiotomi ialah kawasan perineal.

Dan kalau berlaku koyakan ketika meneran hanya melibatkan kawasan anus kerana mereka gunting ke bawah bukan ke atas!

Nota Kaki: Lain kali, bukan masa topik organ pembiakan dan persenyawaan saja kamu perlu fokus, topik-topik lain pun perlu ambil berat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda