TERSEDAK atau tercekik susu hingga menyebabkan kematian bayi dan kanak-kanak bukan insiden baru. Malah, kes kanak-kanak atau bayi maut akibat tersedak susu semakin banyak pula berlaku.

Sebenarnya, situasi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sebagai penjaga dan ibu bapa, penting kita mempelajari rawatan kecemasan apabila berdepan insiden mangsa tersedak susu ini.

Berikut perkongsian jururawat Bel Nawhen mengenai rawatan kecemasan sekiranya ada mangsa tercekik, termasuk tip mengelakkan anak tercekik susu.


Tercekik dan Rawatan Kecemasan

Baru saja cerita seorang bayi meninggal di taska kerana tercekik susu. Keadaan itu disedari agak terlewat petugas di sana.

Sebenarnya,tercekik ialah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak.

Kematian berlaku disebabkan saluran pernafasan jadi sempit, tersekat separuh atau sepenuhnya hingga menyebabkan kekurangan (menghalang) oksigen memasuki paru-paru dan seterusnya ke otak.

Apa-apa jenis objek boleh menjadi sebab kepada tercekik tidak kira duit syiling, manik, tulang ikan atau ayam, buah pinang, gigi palsu, mainan kanak-kanak dan lain-lain.

Mereka yang tercekik boleh dilihat melalui tanda:

• Sesak nafas secara tiba-tiba dan bunyi nafas seolah bersiul (ada sekatan berlaku).
• Spontan menggenggam kerongkong.
• Kawasan bibir kebiruan tanda kekurangan oksigen.
• Mereka kelihatan cuba bernafas dengan cepat.
• Pengsan.
• Berhenti bernafas.
• Tersedak tiba-tiba.
• Batuk dan cuba batuk lebih kuat.

Jika anak atau mangsa tercekik:

  • Kenalkan diri dan tanya jika perlukan bantuan.
  • Minta mangsa untuk batuk dengan kuat.
  • Kalau tidak keluar, cuba tepuk belakang mangsa.
  • Minta bantuan jika keadaan tidak terkawal.
  • Buka mulut anak atau minta mangsa membuka mulut bagi melihat lokasi objek yang menyekat. Jika objek JELAS kelihatan, keluarkan dengan menggunakan jari kelingking, jika tidak, JANGAN jolok jari kedalam tekak (dibimbangi akan menyebabkan objek lebih tersekat dan membawa kemudaratan).
  • Tepuk belakang mangsa (antara tulang belikat) dengan menggunakan tapak tangan dan kepala mangsa menunduk kebawah.

** JANGAN mendongakkan kepala mangsa.

Jika tercekik tidak dapat diberikan bantuan segera, beberapa komplikasi boleh berlaku. Antaranya radang pada paru-paru, dan kerosakan otak akibat kekurangan oksigen ke otak dan kematian.

Boleh juga gunakan kaedah Heimlich Maneuver seperti gambar disediakan (atas). Boleh juga cari di YouTube tentang kaedah Heimlich Maneuver yang betul.

Kanak-kanak, sering ingin mencuba beberapa perkara baru. Bagi mengelakkan kejadian tercekik kerana mereka rajin mengutip dan memasukkan objek ke dalam mulut, boleh lakukan:

• Sediakan makanan dalam saiz kunyahan. Asingkan tulang dan isi bagi ikan dan ayam.
• Jangan beri anak masa makan dan bermain SERENTAK. Dibimbangi mereka menyuap mainan ke dalam mulut kerana menyangka ia juga boleh dimakan.
• Pastikan kawasan gapaian anak-anak seperti meja, lantai, almari mini dan kawasan bermain bebas daripada objek kecil, berwarna warni seperti manik, duit syiling, guli dan lain-lain.
• Elakkan makanan yang boleh menyebabkan anak-anak yang belum pandai mengunyah dari tercekik seperti kacang, dan buah berbiji seperti mata kucing/rambutan dan gula-gula.
• Beri mainan bersesuaian dengan umur kanak-kanak, bukan objek kecil yang menarik perhatian untuk dimasukkan ke mulut.

Nota Tambahan:

1. JANGAN beri anak minum susu secara langsung dengan menyendal sebarang objek di bawah botol susu. Saiz puting yang tidak serasi boleh menyebab susu keluar lebih banyak dan bayi tidak dapat menelan sempurna hingga menyebabkan anak tercekik susu.

2. TINGGIKAN kepala bayi sedikit ketika menyusukan bayi untuk beri keselesaan kepada bayi selain memberikan bukaan ruang di dada lebih luas.

3. BELI PUTING mengikut saiz bayi dan pastikan tidak terlalu besar hingga membuatkan susu keluar terlalu cepat.

Nota Kaki: Tercekik ialah kes kecemasan, bukan kes biasa yang boleh lewat dirawat.

#BelNawhen
#SayaJururawat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda